Menjadi pemandu yang berhemah di jalan raya adalah penting bagi mengelak berlakunya kemalangan. Namun begitu, kebanyakan pemandu yang ada di jalan raya tidak memiliki ciri-ciri tersebut.
SERINGKALI kita berdepan dengan pemandu yang tidak sopan dan gopoh di jalan raya. Mereka dengan sewenang-wenangnya membunyikan hon atau memotong barisan tanpa memberikan lampu isyarat. Ini akan membahayakan pemandu lain terutama bagi mereka yang baru memiliki lesen.
Remaja mungkin terdedah dengan bahaya apabila sesetengah daripadanya begitu ego di jalan raya. Pantang dicabar pasti mereka akan melenting.
GenK senaraikan beberapa tip pemanduan berhemah buat remaja:
Tali pinggang: Pakai tali pinggang keledar ketika memandu dan tegaskan penggunaannya kepada penumpang lain.
Rancang perjalanan: Dapatkan maklumat secukupnya jika anda tidak tahu destinasi yang ingin dituju. Anda perlu mengenal pasti laluan yang akan diambil untuk mengelakkan diri daripada memandu dalam keadaan teragak-agak. Memasuki lorong secara tiba-tiba akan menyebabkan anda atau pemandu lain berdepan dengan bahaya.
Rehat: Elakkan diri memandu pada tengah malam atau awal pagi kerana ketika itu tubuh memerlukan rehat. Perjalanan jauh selepas bekerja atau makan menyebabkan anda letih dan mengantuk.
Ubat-ubatan: Elak mengambil minuman atau ubat yang memberi kesan mengantuk seperti minuman bersusu, ubat selesema atau demam.
Perasaan negatif: Tenangkan diri dahulu sebelum memandu. Ini kerana jika memandu dalam keadaan marah atau sedih, ia bakal mendorong anda melanggar peraturan jalan raya seperti memandu laju atau secara berbahaya.
Jarak: Kekalkan jarak selamat antara kereta anda dengan kenderaan di hadapan. Jika memandu ketika hujan lebat, kekalkan jarak yang jauh sedikit antara kereta dengan kenderaan di hadapan atau belakang anda.
Peka: Peka dan berhati-hati jika sesebuah kereta membelok dengan tiba-tiba untuk mengelak daripada masuk ke dalam lubang besar atau lopak air di jalan raya.
Tayar: Periksa keadaan tayar kereta anda. Pastikan tekanan angin mencukupi dan bunga tayar masih ada untuk mendapat pemanduan serta cengkaman yang baik. Ia penting untuk menjamin keselamatan anda ketika memandu di jalan raya terutamanya ketika hujan.
Sumber : Kosmo Online
HARAP DAPAT MANFAAT DARI TIP INI
No comments:
Post a Comment