TIADA kata lain yang mampu dizahirkan daripada segenap jiwa penyanyi popular, Noraniza Idris atau lebih mesra disapa sebagai Kak Ani selain memohon maaf daripada pihak yang melenting dengan tindakannya pada minggu lalu.
Saat ditemui pada program separuh akhir Muzik-Muzik 24 bahagian pertama yang berlangsung di Plaza Alam Sentral, Shah Alam, Selangor sehari selepas episod hitam tersebut, wanita berusia 41 tahun itu dengan riak jujur namun disulami emosi duka menghulurkan kemaafan kepada pihak yang tersinggung dengan kekhilafannya.
"Mula-mula sekali saya hendak minta maaf kepada TV9 dan program realiti Gadis Melayu musim kedua atas kesilapan yang dilakukan baru-baru ini.
"Gara-gara tidak muncul tepat pada masanya untuk membuat persembahan pada peringkat akhir program Gadis Melayu yang disiarkan secara langsung Khamis lalu, pihak penerbitan pula yang terpaksa berdepan dengan masalah.
"Saya tahu kegagalan datang menjalankan tanggungjawab sebagai artis yang membuat persembahan awal acara tidak seharusnya berlaku sekali gus menyusahkan ramai orang.
"Bukan sengaja saya buat hal dan tidak datang pada masanya. Lagipun produksi Gadis Melayu tahu sejak awal-awal lagi saya sudah menunjukkan sepenuh komitmen untuk menjayakan program mereka," jawabnya sepantas kilat tanpa sedikitpun berselindung setelah mengetahui dia berada pada posisi tertuduh yang melakukan kesalahan.
Walaupun bukan tergolong sebagai 'dosa' besar, hakikatnya penyanyi itu ditawarkan amanah untuk menjadi penyanyi jemputan yang pertama sekali membuat persembahan menyanyikan lagu Dikir Puteri.
Bukan hanya ditonton secara terus oleh audiens di skrin televisyen TV9, program itu sebaliknya turut dihadiri oleh Sultanah Kedah, Tuanku Sultanah Haminah Hamidun dan orang kenamaan di negara ini.
Tunggu punya tunggu sehingga hampir tiba giliran Kak Ani membuat kemunculan di pentas, malangnya batang hidung penyanyi itu masih tidak kelihatan.
Bahkan, jauh sekali melihat kelibatnya berada di celah-celah kehadiran orang ramai yang datang ke Auditorium Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur itu.
Salah seorang pihak produksi Gadis Melayu akhirnya dihubungi oleh Kak Ani bahawa dia masih terperangkap dalam kesesakan lalu lintas walaupun cukup berdekatan dengan lokasi program itu diadakan.
Lantaran dia tidak dapat tiba seperti dijadualkan maka lintang-pukanglah tenaga penerbitan mencari rancangan B apatah lagi ia bukannya sebuah program rakaman yang boleh disunting itu dan ini.
Lantaran itu, kalau diperhatikan semula, permulaan persembahan hanya diserikan dengan persembahan pembukaan 12 peserta Gadis Melayu tanpa orang pentingnya yakni Kak Ani yang sepatutnya mendendangkan lagu di atas pentas.
Situasi haru biru itu dapat dilihat dengan jelas oleh penonton termasuk pihak media yang merasakan ada yang tidak kena berlaku di atas pentas. Ditambah dalam jadual aturcara ada menyebut nama penyanyi itu membuat persembahan maka bertambah kuatlah andaian bahawa sesuatu yang kurang elok sudah terjadi.
Kepada Kak Ani soalan demi soalan diajukan bagi mendapatkan penjelasan sebenar. Tidak sesekali melarikan diri, dia masih boleh tersenyum apabila dihadapkan pertanyaan daripada wartawan. Sikap pengecut bukan menjadi amalannya sementelah dia sudah berada dalam liga seni selama 24 tahun.
Mengungkapkan kisah sebetulnya, Kak Ani sebenarnya berada di Shah Alam pada hari yang sama untuk menjalani latihan program separuh akhir Muzik-Muzik 24. Dia membawakan lagu Enjut ciptaan Cat Farish, Roxy Tail dan Ahmad Fedtri Yahya.
"Sepatutnya raptai bermula pukul 6 petang namun dianjakkan setengah jam kemudian. Selepas siap semuanya, saya terus bersiap dan bersolek di Plaza Alam Sentral dengan harapan dapat sampai ke Auditorium Dewan Bahasa dan Pustaka lalu terus menyanyi.
"Pukul 7.30 malam saya terus berangkat ke tempat program Gadis Melayu dengan beranggapan waktu selama sejam mencukupi untuk saya sampai ke situ tanpa sebarang halangan.
"Setibanya di Jalan Loke Yew kereta yang dinaiki saya dan pekerja saya tersangkut dalam kesesakan jalan raya sedangkan pada pukul 8.30 malam sepatutnya saya kena ada di sana untuk menyanyi.
"Tidak dinafikan, daripada situ ada kekacauan dari segi masa, namun saya tidak cepat naik angin atau menyalahkan pembantu peribadi dan pasukan saya yang lain.
"Sikap terlalu fokus dengan jadual separuh akhir Muzik-Muzik 24 dan tidak fikir tentang pelan lain serta faktor kecemasan tertentu memang menjadi salah saya sendiri.
"Dalam situasi yang mencemaskan ini, penerbit bagaimanapun memberitahu masalah saya diselesaikan dengan adanya peserta-peserta Gadis Melayu yang membuat persembahan walaupun mereka cakap ada banyak cacat-celanya.
"Sampai saja di sana, saya dapati Datuk Seri Farid Ridzuan (Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad) agak berang dengan kelewatan saya. Memang pada waktu itu, wajahnya cukup tegas dan kurang berpuas hati.
"Tetapi dia bagaimanapun bersikap profesional menyelesaikan masalah ini disebabkan saya datang sendiri kepadanya untuk meminta maaf dan menerangkan keadaan sebenar.
"Pihak Media Prima bakal mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada saya selepas ini. Saya juga akan memohon maaf secara terbuka menerusi surat kepada TV9 dan Farid dalam waktu terdekat ini," jelasnya dalam nada perlahan.
|
|
Sambung Kak Ani, sepanjang kerjayanya sebagai anak seni dia tidak pernah bersikap diva untuk menyusahkan orang lain lebih-lebih lagi
tidak muncul pada tempat membuat persembahan.
"Cuma saya tahu kali ini nasib tidak baik. Ini memang silap saya sendiri yang tidak sediakan rancangan lain. Staf saya mula menangis semasa berada dalam kereta sambil meletakkan kesalahan ini secara total di atas bahunya.
"Biarpun begitu, saya tidak salahkan dia sepenuhnya. Selain menjaga jadual seni saya, kakitangan saya juga sibuk mengendalikan bisnes yang saya jalankan. Dengan jadual yang padat, mungkin pekerja saya ini tertekan.
"Macam saya katakan tadi, saya tidak menyalahkan dia 100 peratus ditambah dia merupakan orang baru yang melibatkan diri dalam dunia hiburan," luah Kak Ani lagi.
Tiada lagi keraguan, perkara yang menimpa Kak Ani itu pasti menjejaskan reputasinya sebagai seorang artis, walaupun kenyataan demi kenyataan sudah dikeluarkan daripada bibirnya.
Mengulas tentang soal kredibiliti yang tercalar, Kak Ani meminta agar pihak di luar sana tidak membesar-besarkan kisah tersebut sekali gus menganggap dia ibarat melakukan jenayah yang besar, lalu sukar dimaafkan.
"Sepanjang waktu 24 tahun bergelar artis, inilah kali pertama saya mengalami peristiwa hitam. Sebagai manusia biasa, saya tidak terlepas daripada melakukan kesalahan.
"Sekurang-kurangnya keadaan yang berlaku ini memberi pengajaran kepada saya pada masa depan agar lebih berhati-hati untuk membahagikan waktu dan jadual harian.
"Saya pelajari banyak perkara tentang situasi ini," tutur Kak Ani dalam nada seribu penyesalan.
Sumber : Kosmo Online
DIVA ?
No comments:
Post a Comment