Thursday, April 15, 2010

Babak 'bogel': Penduduk Mahu Kerajaan Bertindak

JERANTUT 14 April - Penduduk Hulu Tembeling meminta kerajaan negeri bertindak ke atas syarikat filem luar yang dikatakan membuat penggambaran filem mengandungi babak tidak senonoh di Dedari, Taman Negara Kuala Tahan di sini.

Mereka tidak mahu penggambaran filem itu kelak akan memberi imej buruk kepada negara dan menyampaikan mesej yang salah kepada dunia mengenai kehidupan sebenar masyarakat Orang Asli di Taman Negara Kuala Tahan yang kini telah menikmati kemajuan.

Rata-rata penduduk yang ditemui turut kecewa dengan tindakan pihak berwajib meluluskan permit penggambaran filem tersebut tanpa meneliti dahulu skrip filem berkenaan selain gagal membuat pemantauan.

Imam Masjid Kampung Pagi, Mi Hamidi Nipah, 39, berkata, jika perkara itu benar, jelas ia bertentangan dengan norma masyarakat tempatan dan tindakan tegas perlu diambil.

''Jika benar dan sahih, saya minta kerajaan negeri segera menghalang penggambaran filem berkenaan kerana bercanggah dengan nilai Islam," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Semalam, Ketua Pemuda UMNO Jerantut, Datuk Wan Amizan Wan Abdul Razak membantah tindakan sebuah syarikat filem luar kerana membuat penggambaran yang melanggar tata susila budaya tempatan di Taman Negara Kuala Tahan.

Ini kerana ada adegan dalam penggambaran filem di Dedari itu melibatkan pelakonnya hampir berbogel dengan hanya menutup bahagian sulit melibatkan watak Orang Asli.

Seorang suri rumah, Fatimah Noor, 58, pula berkata, penggambaran filem mengandungi babak tidak senonoh itu jelas menyalahi budaya tempatan serta ditegah oleh agama Islam.

''Saya bimbang adegan ini ditonton oleh golongan muda Islam menerusi Internet dan ia dikhuatiri boleh meruntuhkan moral dan akhlak muda-mudi kita," katanya.

Bagi Kamarazira Kamaruzaman, 27, Taman Negara merupakan destinasi pelancongan antarabangsa dan kawasan itu tidak sepatutnya dieksploitasi untuk pembikinan filem tidak bermoral.

"Pelawat singgah di sini untuk mencari ketenangan dan melihat keindahan flora dan fauna, maka tidak sepatutnya kawasan itu didedahkan dengan aktiviti yang tidak sihat," katanya.

Menurut Kamarazira, penggambaran filem terbabit yang dikatakan memaparkan babak pelakon hanya menutup bahagian sulit melibatkan watak Orang Asli amat bercanggah sekali dengan kehidupan masyarakat itu di Taman Negara yang sudah bertamadun dan berpendidikan.

Norazizah Moktar, 27, pula berkata, kerajaan perlu menyekat unsur keruntuhan moral yang cuba difilemkan di negara ini kerana Malaysia memang terkenal dengan masyarakat berbilang kaum yang masih kuat berpegang kepada adat dan agama masing-masing.

Ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Pagi, Shahradin A. Karim, 45, berkata, kerajaan negeri sepatutnya bertindak ke atas pihak luar yang cuba membawa nilai dan budaya buruk kepada masyarakat setempat.

''Kita (JKKK) berasa kesal kerana syarikat berkenaan masuk ke kampung ini tanpa kebenaran dengan membawa peralatan membuat rakit bagi memulakan penggambaran yang difahamkan pada awal bulan Mei ini," katanya.

Seorang pemandu bot penambang, Ahmad Nipah, 55, berkata, syarikat filem berkenaan sebenarnya boleh melakukan penggambaran asalkan bersopan dan memenuhi adab penduduk tempatan.

"Kegiatan perfileman di sini membantu pemandu bot memperoleh pendapatan lumayan apabila membawa krew filem berkenaan termasuk pelakon ke lokasi penggambaran," katanya.

Dia mendakwa, kebanyakan pemandu bot tidak dibenarkan masuk ke kawasan penggambaran dan mereka hanya berulang-alik menurunkan pelakon di jeti.

Sumber : Utusan Malaysia Online
APA PENDAPAT KORANG ???
MAHUKAH MALAYSIA DIJADIKAN TEMPAT BIKIN FILEM AKSI BOGEL ??

Mohd. Isa, Bibi 'berbulan madu' di Hulu Selangor

Ali Rustam turut hadir pada majlis pernikahan Isa Samad dengan Bibi Sharliza di Gentam dekat Kuala Pilah, semalam. 

KUALA PILAH 14 April - "Saya bersama isteri akan berbulan madu di Hulu Selangor bagi membantu Barisan Nasional (BN) memenangi pilihan raya kecil di kawasan itu."

Itu kenyataan pertama yang terbit daripada mulut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Pinang, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad, 61, sebaik sahaja diajukan soalan berhubung perkahwinannya dengan bekas Setiausaha Pergerakan Puteri UMNO, Bibi Sharliza Mohd. Khalid, 40, di Gentam dekat sini hari ini.

Mohd. Isa berkata, dia bersyukur dan gembira kerana majlis pernikahan di rumah pengantin perempuan berjalan lancar.

"Buat masa ini, saya belum fikir lagi untuk membuat majlis besar-besaran. Tetapi apa yang pasti saya bersama isteri akan 'berbulan madu' di Hulu Selangor.

"Ini kerana ia sudah menjadi tanggungjawab saya untuk membantu BN dalam memenangi pilihan raya kecil itu," jelasnya.

Mohd. Isa yang merupakan Ketua Penerangan UMNO Negeri Sembilan telah menduda sejak 2005, selamat dinikahkan oleh bapa pengantin perempuan, Mohd. Khalid Sulaiman, 65, pada pukul 3.30 petang dengan mas kahwin sebanyak RM100.

Hanya dengan sekali lafaz, bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu kini sah bergelar suami kepada Bibi yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paroi sambil disaksikan oleh lebih 200 tetamu termasuk ahli keluarga terdekat.

Turut sama menyaksikan majlis akad nikah itu ialah Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam dan Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said.

Sementara itu, Bibi yang mengenakan busana berwarna jingga memberitahu, keluarga suaminya telah mengunjungi keluarganya kira-kira 10 hari lalu bagi menyatakan hasrat untuk memperisterikan beliau.

"Sebagai wanita, saya rasa ini adalah jalan terbaik untuk diri saya dan saya menerimanya sebagai suami," jelasnyai.

Mohd. Isa dilahirkan pada 14 November 1949 di Sungai Udang, Melaka dan mempunyai empat anak hasil perkahwinan dengan Allahyarham Puan Sri Hazizah Tumin yang meninggal dunia pada 7 Disember 2005 akibat penyakit kanser.

Sementara itu, Bibi dilahirkan pada 20 November 1970, mempunyai empat orang anak hasil perkahwinan terdahulu.

Beliau memulakan karier politik sebagai Ketua Pergerakan Puteri UMNO negeri dan Ketua Penerangan Puteri UMNO dari tahun 2000 hingga 2003.

Sumber : Utusan Malaysia Online
SELAMAT PENGANTIN BARU YB MOHD ISA....
APA YANG MENARIK DI HULU SELANGOR SEHINGGA NAK BERBULAN MADU DI SANA ??
HE HE HE....

Malang Tidak Berbau : Bayi Sembilan Bulan Mati Tercekik Bebola Ikan

WAN Arif Fadhla Wan Yusof membawa jenazah bayi lelakinya yang berusia sembilan bulan yang meninggal dunia akibat tercekik bebola ikan di Taman Asuhan Kanak-Kanak (Taska), Jalan Cantik, semalam. 

TAMPIN 14 April - Seorang bapa tidak menyangka keadaan bayi lelakinya berusia sembilan bulan yang ceria pada pagi ini sebenarnya merupakan detik perpisahan dia dengan anaknya itu.

Kali terakhir Wan Arif Fadhla Wan Yusof, 41, menyaksikan keceriaan anaknya, Wan Nur Alif, adalah semasa menghantarnya ke Taman Asuhan Kanak-Kanak (Taska), Jalan Cantik dekat sini pada pukul 7.30 pagi ini.

Namun tiga jam selepas itu, bayinya, Wan Nur Alif disahkan meninggal dunia akibat tercekik bebola ikan.

"Saya rasa baru saja tinggalkan dia (Wan Nur Alif). Tak sangka pula, pukul 10.30 pagi dia dah meninggal dunia. Kejadian berlaku ketika dia sedang makan bersama kanak-kanak lain antara pukul 9 dan 10.30 pagi.

"Tiba-tiba dia terjatuh dan tubuhnya bertukar menjadi lebam," katanya ketika dihubungi sewaktu dalam perjalanan ke Kampung Pulau Kerengga, Marang, Terengganu, bersama jenazah Wan Nur Alif untuk dikebumikan.

Wan Arif Fadhla yang merupakan kakitangan di Jabatan Penerangan Daerah Rembau berkata, pihak pengasuh membawa anaknya itu ke Hospital Tampin yang jaraknya hanya 50 meter dari tempat kejadian.

Tambahnya, anaknya kemudian disahkan meninggal dunia tidak lama selepas itu.

Jelasnya, dia telah dihubungi oleh isterinya, Nur Azita Ibrahim, 31, pada pukul 11.15 pagi tadi yang ketika itu sedang mengajar di sebuah sekolah di bandar ini.

"Dia memaklumkan anak saya berada di Hospital Tampin dan seluruh badannya sudah bertukar kebiru-biruan.

"Bila saya tiba di hospital, mereka memberitahu anak saya itu telah meninggal dunia kerana tidak boleh bernafas akibat tercekik bebola ikan," katanya.

Wan Arif Fadhla kesal dengan kecuaian pihak pengasuh yang menyediakan sarapan bercampur bebola ikan kepada bayi yang tidak mampu untuk mengunyah.

Berikutan itu Wan Arif Fadhla telah membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Tampin kira-kira pukul 12 tengah hari.

"Saya membawa jenazah anak ke kampung isteri untuk dikebumikan lewat petang ini," katanya dalam nada sedih.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tampin, Supritendan Wooi Hooi Cheng mengesahkan mengenai kejadian tersebut.

"Kita telah menerima laporan yang dibuat oleh ibu dan bapa bayi malang itu dan pihak polis kini menjalankan siasatan berhubung kejadian berkenaan.

"Kita telah membuka kertas siasatan dan akan memanggil pengusaha taska terbabit untuk memberi keterangan," ujarnya.

Sumber : Utusan Malaysia Online
KENAPA BEGITU CUAI SANGAT TASKA SEKARANG NI ?
BAGAIMANA IBUBAPA NAK BERHARAP KEPADA TASKA KALAU JADI MACAM NI ?