Sunday, April 04, 2010

NS, Kedah Ke Final

 PEMAIN Kedah, Mohd. Fadly Baharom terjatuh akibat diasak oleh pemain Terengganu pada perlawanan 
separuh akhir kedua Piala FA di Stadium Darul Aman, Alor Setar, semalam.

KUALA LUMPUR - Kedah dan Negeri Sembilan mara ke perlawanan akhir Piala FA dengan cara berbeza pada perlawanan separuh akhir kedua, semalam.

Kedah yang dibimbing Ahmad Yusof, layak ke perlawanan akhir selepas mencatat kemenangan 2-1 ke atas Terengganu di Stadium Darul Aman, Alor Setar, untuk mara dengan agregat 4-1.

Juara Piala Malaysia, Negeri Sembilan pula menunjukkan jalan keluar buat penyandang juara, Selangor walaupun kalah 0-1 kepada skuad bimbingan K. Devan di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi.

Kemenangan tipis itu tidak cukup untuk menghalang Negeri Sembilan ke saingan akhir, selepas mempunyai kelebihan jaringan di tempat lawan.

Negeri Sembilan memenangi separuh akhir pertama 2-1, dan mara berdasarkan kelebihan gol di tempat lawan, setelah agregat terikat 2-2.

Terengganu, yang terdesak mencari kemenangan, cuba memberi tekanan kepada Kedah di depan penyokong Hijau Kuning, tetapi tersentak menerusi jaringan awal tuan rumah.

Jaringan berpunca daripada bola sepakan sudut Badrol Bakhtiar yang di rembat pemain pertahanan, Khairul Helmi Johari, menewaskan penjaga gol Terengganu, Mohd. Sharbinee Allawee pada minit ke-5.

Gol tersebut terus menyemarakkan semangat Kedah untuk terus mengancam kubu Terengganu, yang semakin goyah sehingga memaksa pemain pertahanan pasukan pelawat melakukan banyak kesilapan.

Kesilapan pemain pertahanan, Ronny Harun untuk mengekang Badrol, menyaksikan pemain lincah itu menyilangkan bola ke depan pintu gol Terengganu untuk mudah disepak masuk Muhammad Syafiq Jamal pada minit ke-24.

Bagaimanapun, di sebalik keghairahan memburu jaringan, Kedah leka untuk memberi kesempatan kepada Terengganu merapatkan jurang, apabila hantaran Tengku Hasbullah Raja Hassan ditanduk masuk Wan Mohd. Alif pada minit ke-43 untuk perlawanan babak pertama berkesudahan pasukan tuan rumah mendahului 2-1.

Babak kedua pula menyaksikan Terengganu cuba bangkit menerusi asakan bertali arus ke kubu pasukan tuan rumah, tetapi ketumpulan jentera serangan menyelamatkan kubu Kedah.

Namun, hajat Terengganu menjadi sukar apabila dua pemainnya, Abdul Mamat Manaf dan Mohd. Firdaus diperintahkan keluar padang, kerana bermain kasar dan membantah arahan pengadil Subkhideen Mohd. Salleh pada minit ke-85.

Negeri Sembilan pula tetap mara ke pentas akhir walaupun kalah 0-1.

Selangor memperoleh gol yang dijaringkan sendiri oleh pemain Negeri Sembilan, Mohd. Alif Shamsudin, berpunca dari sepakan percuma Hardi Jaafar pada minit ke-56. 

 Sumber : Utusan Malaysia Online

SELANGOR DAN TERENGGANU CUBA LAGI DI TAHUN HADAPAN UNTUK PIALA FA..
BUAT KEDAH DAN N. SEMBILAN, TAHNIAH KERANA LAYAK KE FINAL