Thursday, September 17, 2015

BOLA SEPAK : Suku Akhir Kedua Piala AFC, PAHANG 3-1 FC Istiklol ( FC ISTIKLOL MENANG AGREGAT 5-3 )



Kuantan: Harapan Pahang untuk menjadi pasukan kedua negara mara ke pentas separuh akhir Piala AFC, lebur apabila tewas kepada Istiklol FC, menerusi agregat 3-5, walaupun menang 3 -1 dalam aksi suku akhir kedua Piala AFC di Stadium Darul Makmur, malam tadi.

Pada aksi suku akhir pertama di Stadium Republican Central, Dushanbe, pada 26 Ogos lalu, Istiklol membenam Pahang 4-0.

Bermain di gelanggang sendiri, skuad Tok Gajah bermula garang apabila beberapa kali membuat percubaan ke gawang Istiklol namun sepakan Hafiz Kamal pada minit ke-2 sekadar terkena palang. 

Tuan rumah sekali lagi mencuba, tetapi Matias Conti gagal menyempurnakan hantaran Dickson Nwakaeme dari luar kotak penalti pada minit ke-9.

Hafiz bagaimanapun menebus kekecewaan itu dengan menjaringkan gol pembukaan Pahang pada minit ke-30 selepas menyempurnakan hantaran R Surendren.

Bersambung babak kedua, Tok Gajah terpaksa bermain dengan 10 pemain selepas pemain pertahanan, Saiful Nizam Miswan dilayangkan kad merah kerana mengasari pemain lawan, dua minit sebelum separuh masa pertama berakhir.

Tuan rumah menjarakkan kedudukan apabila Hafiz meledak gol kedua Pahang pada minit ke-58, namun kegembiraan itu tidak bertahan lama selepas Makhmudov Khursed menjaringkan gol pertama Istiklol, dua minit kemudian.

Wakil Malaysia yang mengharap keajaiban menambah jaringan menerusi pemain gantian D Saarvindran pada masa tambahan tetapi terpaksa berpuas hati dengan kedudukan itu yang kekal sehingga wisel penamat.

Semalam, Johor Darul Ta'zim (Johor DT) mencipta sejarah apabila menjadi pasukan pertama dari Malaysia yang layak ke pusingan separuh akhir piala berprestij itu apabila menewaskan kelab Hong Kong, South China dengan agregat 4-2.

Sumber : Hmetro Online 17 September 2015