Monday, July 26, 2010

Kejutan Skuad Muda Malaysia ( Malaysia U-23 1 - 0 Korea Selatan U-23 )


PEMAIN Malaysia meraikan kemenangan 1-0 ke atas Korea Selatan pada aksi persahabatan di Stadium Nasional Bukit Jalil, semalam.



KUALA LUMPUR - Pemain muda negara menjelmakan semula semangat seperti mana ketika era 70-an dan 80-an, apabila mencatat kemenangan 1-0 ke atas Korea Selatan pada aksi persahabatan di Stadium Nasional Bukit Jalil, semalam.

Safiq Rahim muncul wira apabila rembatan menarik dari luar kawasan penalti pada minit ke-50, memberikan kemenangan ke atas skuad Olimpik Korea Selatan.

Safiq melepasi asakan dua pemain lawan sebelum melepaskan rembatan kencang yang menewaskan penjaga gol Korea Selatan.

Perlawanan tersebut sempena 50 tahun hubungan diplomatik kedua-dua negara.

Kali terakhir Korea Selatan beraksi di Kuala Lumpur ialah pada kejohanan Pestabola Merdeka 1995.

Ketika itu mereka yang menghantar skuad Olimpik, turut tewas kepada skuad senior negara.

Perlawanan semalam sememangnya berhak menjadi milik pasukan negara, apabila kerap melancarkan serangan ke kubu lawan.

Skuad negara hampir melakar kejutan lebih awal iaitu pada minit ke-5, melalui gerakan pemain Perlis, Ahmad Fakri Saarani, yang bijak menghantar bola tepat kepada Zaquan Adha Abdul Radzak.

Hantaran Zaquan bagaimanapun gagal diterjemahkan di dalam bentuk gol oleh Norshahrul Idlan Talaha, apabila tolakan keluar ke sebelah kanan pintu gol Korea.

Pintu gol skuad negara terselamat daripada dibolosi pada minit ke-10 apabila tandukan Park Hee Seong terkena palang, walaupun penjaga gol negara Mohd. Sharbinee Allawee sudah tertewas.

Palang sekali lagi menjadi penyelamat Malaysia apabila sepakan percuma Park Hyung Jin pada jarak tepat 20 meter, sekadar menggegar palang pada minit ke-40.

Rentak skuad negara berubah selepas rehat dan ini dibuktikan apabila gawang Korea Selatan bolos pada minit ke-50.

Zaquan terlepas peluang menggandakan kelebihan pada minit ke-65, walaupun berjaya melepaskan percubaan namun bola sepakannya tepat ke arah penjaga gol lawan.

Sumber : Utusan Malaysia Online

TAHNIAH MALAYSIA!!
SEMANGAT YANG TINGGI.. PERMAINAN YANG CANTIK...
MALAYSIA PASTI BOLEH!!

Yassin Senario Ditahan Lagi


KUALA LUMPUR 25 Julai – Tidak serik-serik. Ungkapan ini paling sesuai menggambarkan sikap bekas anggota kumpulan lawak Senario, Yassin Yahya, 31, apabila sekali lagi ditahan polis kerana didakwa mengambil dadah jenis ganja.

Malah, tangkapan kali keempat ke atas pelawak popular itu dilakukan sebelum selesai kes perbicaraan terhadapnya di mahkamah berhubung dakwaan terlibat dalam penyalahgunaan dadah, empat tahun lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar berkata, Yassin ditahan polis pada pukul 1 pagi ini dalam pemeriksaan di sebuah pusat hiburan di Sunway Pyramid, Subang Jaya dekat sini.

Beliau berkata, pelakon dan pelawak tersebut ditahan bersama 30 pengunjung pusat hiburan berkenaan.

“Ujian saringan dadah yang dijalankan oleh polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Subang Jaya mendapati tiga pengunjung lelaki termasuk Yassin positif mengambil dadah.

“Hasil ujian air kencing Yassin mendapati dia positif mengambil dadah jenis ganja manakala seorang yang bekerja sebagai pengurus artis dan seorang lagi peniaga, positif dadah jenis ketamin,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Sumber : Utusan Malaysia Online
TAK SERIK-SERIK JUGAK!!

Pengambilan Minuman 3-in-1 Perlu Dikawal

KUALA LUMPUR 26 Julai - Penggunaan produk minuman 3-in-1 yang kini menjadi pilihan kebanyakan masyarakat perlu dikawal pengambilannya kerana ia boleh memudaratkan kesihatan jika diambil secara berlebihan.

Pensyarah Jabatan Pemakanan dan Dietetik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Roslee Rajikan berkata, pengguna perlu bijak membuat pilihan dengan melihat label nutrien atau zat makanan pada produk berkenaan.

"Jika ambil produk ini sekali sekala tanpa berlebihan saya rasa tidak timbul masalah. Tetapi jika sehari lima hingga enam kali, mungkin boleh timbul masalah," katanya.

Dr. Roslee berkata, pengguna tidak boleh mengawal pengambilan gula dengan pengambilan minuman 3-in-1, berbanding jika menyediakan sendiri minuman.

Menurut kajian Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), rakyat negara ini mengambil secara purata 26 sudu teh gula setiap hari, iaitu tiga kali ganda

lebih tinggi daripada saranan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Dr. Roslee berkata, untuk mendidik masyarakat mengurangkan pengambilan gula bukan satu perkara mudah meskipun pelbagai kempen diadakan untuk menyedarkan masyarakat. - Bernama

Sumber : Utusan Malaysia Online
KORANG SUKA MINUMAN 3 in 1 ?
BAGAIMANA PENDAPAT KORANG ??