Monday, July 26, 2010

Kejutan Skuad Muda Malaysia ( Malaysia U-23 1 - 0 Korea Selatan U-23 )


PEMAIN Malaysia meraikan kemenangan 1-0 ke atas Korea Selatan pada aksi persahabatan di Stadium Nasional Bukit Jalil, semalam.



KUALA LUMPUR - Pemain muda negara menjelmakan semula semangat seperti mana ketika era 70-an dan 80-an, apabila mencatat kemenangan 1-0 ke atas Korea Selatan pada aksi persahabatan di Stadium Nasional Bukit Jalil, semalam.

Safiq Rahim muncul wira apabila rembatan menarik dari luar kawasan penalti pada minit ke-50, memberikan kemenangan ke atas skuad Olimpik Korea Selatan.

Safiq melepasi asakan dua pemain lawan sebelum melepaskan rembatan kencang yang menewaskan penjaga gol Korea Selatan.

Perlawanan tersebut sempena 50 tahun hubungan diplomatik kedua-dua negara.

Kali terakhir Korea Selatan beraksi di Kuala Lumpur ialah pada kejohanan Pestabola Merdeka 1995.

Ketika itu mereka yang menghantar skuad Olimpik, turut tewas kepada skuad senior negara.

Perlawanan semalam sememangnya berhak menjadi milik pasukan negara, apabila kerap melancarkan serangan ke kubu lawan.

Skuad negara hampir melakar kejutan lebih awal iaitu pada minit ke-5, melalui gerakan pemain Perlis, Ahmad Fakri Saarani, yang bijak menghantar bola tepat kepada Zaquan Adha Abdul Radzak.

Hantaran Zaquan bagaimanapun gagal diterjemahkan di dalam bentuk gol oleh Norshahrul Idlan Talaha, apabila tolakan keluar ke sebelah kanan pintu gol Korea.

Pintu gol skuad negara terselamat daripada dibolosi pada minit ke-10 apabila tandukan Park Hee Seong terkena palang, walaupun penjaga gol negara Mohd. Sharbinee Allawee sudah tertewas.

Palang sekali lagi menjadi penyelamat Malaysia apabila sepakan percuma Park Hyung Jin pada jarak tepat 20 meter, sekadar menggegar palang pada minit ke-40.

Rentak skuad negara berubah selepas rehat dan ini dibuktikan apabila gawang Korea Selatan bolos pada minit ke-50.

Zaquan terlepas peluang menggandakan kelebihan pada minit ke-65, walaupun berjaya melepaskan percubaan namun bola sepakannya tepat ke arah penjaga gol lawan.

Sumber : Utusan Malaysia Online

TAHNIAH MALAYSIA!!
SEMANGAT YANG TINGGI.. PERMAINAN YANG CANTIK...
MALAYSIA PASTI BOLEH!!

No comments: