Monday, August 22, 2011

Penting menamakan waris wang simpanan KWSP

KWSP, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja

MENULIS wasiat mungkin tugas yang sukar bagi sesetengah individu. Ada yang menulis, ada yang tidak dan ada yang berpendapat menulis wasiat akan membawa nasib malang serta tidak penting.

Walaupun ia memberi tekanan emosi, menamakan waris ada faedahnya terutama untuk meninggalkan harta pusaka kepada mereka yang tersayang sebagai jaminan untuk meneruskan kehidupan jika anda meninggal dunia.

Sekurang-kurangnya, penamaan akan memberikan ketenangan jiwa dan mengelak simpanan, hartanah dan harta pusaka yang lain daripada menjadi rebutan.

Hakikatnya, pertelingkahan keluarga, permusuhan dan perebutan harta pusaka hing–ga membawa ke mahkamah kerap berlaku dan terdapat waris terdekat tidak memperoleh walau satu sen pun atas sebab teknikal atau kelalaian si mati.

Terdapat juga kes pelik yang berlaku termasuk pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menamakan teman wanita sebagai penamanya dan lupa mengemaskinikan penamanya selepas mengahwini wanita lain.

Lelaki itu meninggalkan wang simpanan KWSP RM500,000 kepada bekas teman wanita dan yang menjadi mangsa ialah isteri yang dikahwini selama 30 tahun dan enam anak mereka.

Anda pasti inginkan semua simpanan dan harta pusaka anda diagihkan kepada mereka yang tersayang dan bukan yang tidak layak.

Perkara ini amat penting jika anda satu-satunya pencari nafkah dan mempunyai anak-anak yang masih kecil. Kita tidak perlu ragu kepada siapa hendak ditinggalkan harta kerana walaupun ia nampak remeh, kesannya amat serius.

Membuat penamaan kepada simpanan KWSP anda tidak banyak berbeza dengan amalan biasa ketika mengambil polisi insurans.

Bagaimanapun, penamaan KWSP mengatasi wasiat bertulis. Oleh itu, jika anda ingin meninggalkan simpanan KWSP kepada tersayang, ia perlu dilakukan melalui penamaan KWSP dan bukan wasiat.

Walaupun anda mengambil sedikit masa untuk menentukan siapa yang perlu dinamakan dan berapa bahagian untuk diagihkan, membuat penamaan ke atas simpanan KWSP anda adalah mudah.

Anda hanya perlu mengisi nama, nombor MyKad dan peratusan yang akan diterima oleh setiap penama.

Bagi bukan beragama Islam, arahan anda akan diikuti mengikut peratusan yang ditentukan.

Bagaimanapun, bagi orang Islam, penama hanya bertindak sebagai pentadbir atau wasi yang bertanggungjawab untuk membahagikan simpanan itu mengikut Hukum Faraid.

Untuk membuat penamaan, ahli dikehendaki melengkapi borang KWSP 4(AHL) dan menyerahkan kepada pejabat KWSP yang berhampiran.

Jika anda ingin mengemaskini atau menukar penama, isi borang baru dan secara automatik ia membatalkan penamaan sebelum ini.

Oleh kerana proses penamaan KWSP amat mudah, anda boleh mengemaskini penamaan sekerap mungkin.

Oleh itu, bilakah kali terakhir anda menyemak penama simpanan KWSP anda? Adakah penama tersebut masih sesuai dan masih hidup? Paling penting, sudahkan anda membuat penamaan?

Untuk maklumat lanjut, sila layari web myEPF di www.kwsp.gov.my atau menghubungi cawangan KWSP berhampiran.

Sumber : Harian Metro Online

IANYA PENTING UNTUK ANDA DAN AHLI KELUARGA ANDA..