Monday, September 27, 2010

Mengundi Lagi : SPR-Pilihan raya kecil untukDUN Galas

SPR: Pilihan raya kecil kecil untukDUN Galas

KUALA LUMPUR: Pilihan raya kecil bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas perlu diadakan berikutan dengan kematian penyandangnya Che Hashim Sulaiman akibat barah usus.

Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata mesyuarat khas bagi menetapkan tarikh pilihan raya kecil DUN Galas akan diadakan sebaik sahaja menerima notis rasmi daripada Speaker DUN Kelantan mengenai kekosongan kerusi berkenaan.

"Apabila SPR terima notis rasmi, baru kita akan adakan mesyuarat khas bagi menetapkan tarikh pilihan raya kecil Galas. Pilihan raya kecil perlu diadakan memandangkan ia belum sampai tempoh tiga tahun daripada tarikh pilihan raya umum yang lalu.

"Pilihan raya kecil tidak perlu diadakan jika kekosongan berlaku selepas Mei tahun depan," katanya ketika dihubungi Bernama.

Che Hashim, 46, yang dimasukkan ke Hospital Al-Islam di sini sejak dua hari lalu meninggal dunia kira-kira 4.30 petang tadi.

Pada pilihan raya umum 2008, Che Hashim (PAS) berjaya merampas DUN Galas daripada Barisan Nasional (BN) dengan majoriti 646 undi. Beliau mendapat 4,399 undi menewaskan penyandang dari BN Saufi Deraman yang mendapat 3,753 undi.

Galas adalah DUN yang terletak dalam kawasan Parlimen Gua Musang selain DUN Nenggiri dan Paloh.

Sementara itu, di RANTAU PANJANG, Speaker DUN Kelantan, Mohd Nassuruddin Daud berkata, beliau akan menulis surat kepada SPR sebaik menerima sijil kematian Allahyarham.

"Sebagaimana biasa laporan bertulis akan dibuat secepat mungkin sebaik menerima laporan kematian dari pihak keluarga atau pihak berwajib.

"Kita tunggu sijil kematian Allahyarham sebelum menulis surat kepada SPRM bagi menyatakan kekosongan DUN Galas," katanya.-Bernama 

Sumber : Harian Metro Online

MENGUNDI LAGI.. KALI KAWASAN TUMPUAN DI NEGERI KELANTAN...