Sunday, June 13, 2010

Kabinet Tangguh Pelaksanaan Gaji Baru Pengawal Keselamatan

 (Gambar sekadar hiasan)

PUTRAJAYA 13 Jun — Kabinet memutuskan untuk menangguhkan sementara pelaksanaan gaji minimum baru untuk pengawal keselamatan yang dijadualkan pada 1 Julai ini bagi memberi lebih masa kepada pihak industri berkenaan untuk mengemas kini operasi mereka.

Kementerian Sumber Manusia dalam satu kenyataan di sini hari ini berkata penangguhan sementara pelaksanaan gaji minimum tersebut di bawah Perintah Peraturan Gaji Minimum Pengawal Keselamatan Swasta bagi Semenanjung, Sabah dan Sarawak adalah susulan daripada permintaan Persatuan Perkhidmatan Kawalan Keselamatan Malaysia (PPKKM) kepada pihak kerajaan.

Setelah pengumuman dibuat bagi melaksanakan gaji minimum baru pada 1 Julai 2010, Kementerian Sumber Manusia telah menerima maklum balas daripada PPKKM yang memaklumkan bahawa perintah (peraturan Gaji Minimum) tersebut akan memberi implikasi kepada perniagaan mereka terutama berkenaan kontrak sedia ada.

PPKKM juga memohon supaya kerajaan menangguhkan pelaksanaan perintah itu untuk membolehkan mereka mengambil tindakan untuk mengemas kini operasi mereka sewajarnya, menurut kenyataan tersebut.

Menurut kenyataan itu lagi, setelah mempertimbangkan rayuan PPKKM, Kabinet memutuskan untuk menangguhkan sementara pelaksanaan gaji minimum bagi pengawal keselamatan. - Bernama

Sumber : Utusan Malaysia Online

BERSABAR... LEPAS NI NAIK LA KOT GAJI TU...