Tuesday, November 03, 2009

Bunuh Anak Kerana Tindik Lidah


DURBAN (Afrika Selatan): Polis menahan seorang lelaki kerana didakwa memukul anak perempuannya hingga mati akibat marah terhadap tindakan remaja itu menindik lidahnya.

Lelaki itu menyerah diri kepada polis selepas memukul anak perempuannya yang berusia 17 tahun dengan menggunakan kabel elektrik.

Lelaki sebelum itu dipercayai bertengkar dengan anaknya berkaitan isu itu dan memberi amaran supaya mangsa tidak memakai subang di lidahnya itu.

Lelaki berusia 38 tahun yang menetap di Durban akan dihadapkan di mahkamah atas tuduhan membunuh.

Jurucakap polis, Konstabel Mumsy Mfeka berkata, remaja itu menghubungi bapanya untuk menjemput beliau di sekolah Sabtu lalu.

“Sebaik tiba di sekolah, guru mengadu sikap buruk remaja itu kepada bapanya.

“Dalam perjalan pulang, lelaki itu menyedari anaknya tetap memakai subang di lidahnya meskipun sudah dilarang.

“Lelaki itu memarahi anaknya kerana engkar terhadap larangannya dan kemudian memukulnya dengan kabel elektrik.

“Apabila menyedari anaknya tidak lagi bergerak, lelaki itu membawanya ke klinik berhampiran tapi mangsa disahkan sudah meninggal dunia,” katanya. - Agensi

TAK SAKIT KE TINDIK LIDAH MACAM TU??? MINTAK SIMPANG LA.............

Sasar gadis montel


KUALA LUMPUR: Kata-kata memikat dan ayat meraih simpati cukup menjadi helah bagi seorang penganggur mengikis wang beberapa gadis berbadan montel sebelum ditinggalkan di kawasan terpencil selepas mereka kehabisan duit.

Dengan penampilan bertindik sebelah telinga serta berbadan kurus, kasanova junior berusia 19 tahun itu bijak menggunakan laman sosial MySpace di Internet untuk mencari mangsa gadis berbadan gempal sebelum dipujuk bertemu.

Mangsa diajak bersiar-siar dan amalan itu diulang beberapa hari dan pada masa sama, gadis yang menjadi sasaran tipu, dipujuk supaya meminta wang daripada ibu bapa untuk berbelanja.

Bagaimanapun, mangsa ditinggalkan sehelai sepinggang di tempat tertentu selepas semua wang dibawa dihabiskan kasanova itu.

Kegiatan kasanova itu didedahkan seorang bapa yang turut kehilangan anaknya dipercayai mengikut pemuda terbabit hampir dua minggu lalu dan gagal dikesan sehingga kini.

Roni Mat Zin, 45, berkata pada jam 3.30 petang pada 23 Oktober lalu, anaknya, Asmira, 19, menghubunginya untuk meminta izin ke Kuantan, Pahang, bagi membeli peralatan menyiapkan kertas kerja pengajiannya.

“Anak saya melanjutkan pelajaran di sebuah kolej di Kuantan dan dengan ditemani seorang rakan, dia ke bandar tetapi sebenarnya untuk bertemu lelaki itu.

“Saya tak tahu perkara itu sehinggalah dimaklumkan kehilangan Asmira keesokan hari oleh seorang rakannya dan diberitahu mengenai kejadian sebenar,” katanya yang datang ke Balai Berita, semalam.

Roni yang bertugas sebagai pegawai penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berkata, selepas pertemuan itu, pemuda terbabit menghubungi Asmira sebelah malam memberitahu dia tidak mempunyai wang membeli tiket bas pulang ke Kuala Lumpur.

“Dengan bantuan seorang rakan, anak saya keluar dari asrama ke stesen bas dan meminta rakannya pulang dulu sehingga dihubungi menjemputnya ke asrama semula. Anak saya ketika itu hanya memakai seluar trek, tudung putih dan baju-T jingga.

“Asmira gagal dihubungi dan usaha menjejakinya mendapati dia kerap bergerak antara Negeri Sembilan, Melaka dan Kuala Lumpur, berdasarkan rekod pengeluaran wang di ATM serta penggunaan telefon bimbitnya,” katanya yang membuat laporan di Balai Polis Sentul.

Menurutnya, berdasarkan maklumat daripada rakan anaknya dan polis, dia mendapatkan gambar wajah pemuda terbabit serta mangsa lain kasanova itu.

“Saya menemui seorang gadis berusia 21 tahun di Shah Alam dan dimaklumkan dia juga dipengaruhi kasanova itu dan berlegar-legar tanpa tujuan dua minggu sebelum ditinggalkan di sebuah rumah sewa di Ipoh, Perak, selepas tidak lagi mampu memberikan wang.

“Malah, saya terkejut apabila dia mendakwa lebih daripada empat gadis yang semuanya berbadan besar menjadi mangsa kikis pemuda itu,” katanya.

Roni berkata, dia tidak tahu sama ada kasanova itu menggunakan ilmu pukau, namun dia didakwa mampu mempengaruhi ramai gadis dengan menceritakan kesusahan dan keperitan hidupnya.

“Saya bimbang keselamatan Asmira yang tidak diketahui di mana dan berharap orang ramai yang mempunyai maklumat menghubungi saya di talian 013-3434604 atau balai polis berdekatan,” katanya.

Harian Metro - 3 November 2009

APA NAK JADI NI ???

Bahasa Jepun diperluas ke semua sekolah

KUALA LUMPUR 3 Nov. — Kementerian Pelajaran merancang menambah lebih banyak sekolah berasrama penuh dan sekolah menengah harian yang mengajar bahasa Jepun sebagai bahasa ketiga selepas bahasa Melayu dan Inggeris.

Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom berkata, untuk itu setiap tahun kementerian akan menambah tenaga pengajar bahasa Jepun di sekolah-sekolah terbabit.

"Setiap tahun kita akan menambah kelas bahasa Jepun di sekolah-sekolah berasrama penuh dan menengah harian apabila pelajar-pelajar kita yang belajar di Jepun pulang ke tanah air,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Osaka University Forum 2009 di sini.

Alimuddin berkata, sehingga kini tenaga pengajar dalam bahasa-bahasa antarabangsa masih tidak mencukupi kerana permintaan itu bukan sahaja wujud di sekolah-sekolah malah di kementerian dan jabatan kerajaan. Sehingga tahun lepas, sebanyak 43 buah sekolah berasrama penuh dan 29 buah sekolah menengah harian terlibat dalam program bahasa Jepun yang menjadikan Malaysia sebagai negara ke-12 teramai mempelajari bahasa Jepun di dunia, katanya. - Bernama
  
Kementerian Pelajaran mahu jadikan bahasa JEPUN menjadi bahasa ketiga ? Untuk apa bahasa JEPUN!!

Malaysia dijemput bina semula Iraq

PUTRAJAYA 3 Nov. — Malaysia telah dijemput membina semula dan membantu Iraq bagi memastikan rakyat negara itu menikmati kehidupan biasa, kata Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman.

Beliau berkata, Iraq bukan hanya menjemput Malaysia tetapi juga Turki bagi membantu membina semula Iraq yang telah dibedil dengan teruknya oleh Pasukan Sekutu asing untuk menyingkirkan bekas presiden Iraq, Saddam Hussein.

"Kita merasakan bahawa mungkin ini lebih memberi manfaat untuk kita (Malaysia dan Turki) bekerjasama dalam aspek ini dan akhirnya mewujudkan peluang perniagaan...malahan kedua-dua Malaysia dan Turki mempunyai hubungan yang istimewa dengan Iraq,” katanya pada persidangan akhbar bersama Menteri Luar Turki, Prof. Dr. Ahmet Davutoglu di sini hari ini.

Anifah berkata, kedua-dua negara akan menyediakan satu kertas kerja secepat mungkin untuk menggariskan cara-cara untuk membantu membina semula Iraq.

Mengenai hubungan Malaysia-Turki, beliau berkata, mereka telah membincangkan langkah-langkah untuk memperluas dan meningkatkan hubungan dalam bidang perdagangan, pendidikan, pelancongan dan ketenteraan. - Bernama

Bangganya aku jadi rakyat MALAYSIA ?

Bapa Mengamuk Di Sekolah Selepas Anak Kena Tindakan

KUCHING: Seorang bapa yang tidak puas hati kerana anaknya dikenakan tindakan tatatertib oleh pihak sekolah di sini telah mengamuk dan memecahkan tingkap kelas hari ini.

Dalam kejadian 11 pagi di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (SRJK) Cina Chung Hua No 3 di Jalan Padungan di sini, lelaki yang dipercayai mabuk itu bertindak memecahkan tingkap tiga buah kelas dengan tanggannya.

Seorang pelajar Tahun Tiga yang duduk berdekatan dengan tingkap berkenaan cedera di bahagian muka dan belakang telinga kerana terkena serpihan kaca cermin.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuching, Supt Fauzi Bujang, yang mengesahkan kejadian itu berkata suspek berusia 38 tahun itu bertindak demikian setelah dimaklumkan anaknya dikenakan tindakan disiplin.

"Mangsa digegaskan ke Hospital Umum Sarawak untuk menerima rawatan dan kini dilaporkan stabil," katanya.

Fauzi berkata, polis yang bergegas ke tempat kejadian sebaik saja menerima laporan daripada pihak sekolah menahan lelaki berkenaan.
Beliau berkata, suspek kini disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana mengugut. - Bernam


Berita Harian - 3 November 2009
 
Pendapat saya, jangan bagi sekolah kalau BAPA macam ini !!!!

Gabenor Bali cemburu Malaysia

DENPASAR: Gabenor Bali, I Made Mangku Pastika mengakui cemburukan Malaysia kerana berupaya menarik 22 juta pelancong asing tahun lalu.

Bali sebagai destinasi pelancongan paling popular dunia menetapkan sasaran menarik dua juta pelancong asing tahun ini, kata Pastika pada bengkel bertemakan ‘Pencegahan Keganasan dalam Persekitaran Pelancongan Bali,’ di sini.

Sering dirujuk sebagai Pulau Tuhan, Bali memiliki banyak tempat menarik sebagai tambahan kepada keunikan budaya dan masyarakatnya, termasuk pantai yang belum tercemar, gunung berapi, tasik malah sungai yang menyediakan panorama menarik.

“Walaupun dengan aset itu, Bali gagal menarik jumlah pelancong asing seperti Malaysia,” katanya.

Pastika berkata, kejayaan Malaysia menarik ramai pelancong asing disebabkan sumber manusianya, keselamatan terjamin dan infrastruktur yang bagus.

Beliau yang juga bekas ketua polis Bali yang mengetuai siasatan pengeboman Bali 2002, berjanji mengutamakan pembangunan pada tiga kawasan penting iaitu sumber manusia, pendidikan dan kesihatan rakyat. - Agensi

Berita Harian - 3 November 2009

Filem 'This Is It' raih RM346.33 juta


LOS ANGELES: Filem Michael Jackson, This Is It mengumpul AS$101 juta (RM346.33 juta) di seluruh dunia dalam tempoh lima hari pertama dan pengedarnya Sony melanjutkan filem selamat tinggal untuk ikon Amerika Syarikat itu melebihi dua minggu.

Filem itu melancarkan minggu 'Halloween' dengan menduduki tangga nombor satu dengan kutipan AS$21.3 juta (RM73.04 juta) pada pembukaan hujung minggu, menurut anggaran studio itu, kelmarin.

Filem tempat pertama hujung minggu sebelumnya, sensasi seram bajet rendah keluaran Paramount, 'Paranormal Activity', jatuh ke nombor dua dengan kutipan AS$16.5 juta (RM56.6 juta), meraih kutipan keseluruhan AS$84.8 juta (RM290.78 juta).

This Is It meraih kutipan tayangan tempatan berjumlah AS$32.5 juta (RM111.44 juta). Filem itu menarik kutipan AS$68.5 juta (RM234.89 juta) di luar negara termasuk AS$10.4 juta (RM35.66 juta) di Jepun; AS$6.3 juta (RM21.6 juta) di Jerman; AS$5.8 juta (RM19.89 juta) di Perancis dan AS$3.2 juta (RM10.97 juta) di China.

"Beliau dicintai di seluruh pelusuk muka bumi ini," kata Rory Bruer, ketua pengedaran Sony. "Tidak kira jika ia di Asia, Afrika, Australia, Eropah, Amerika Selatan. Setiap benua di dunia cintakannya dan muzik yang dibawanya."

Di Britain, tempat Jackson merancang siri 50 konsert maraton di London bermula Julai lalu, filem itu mencapai kutipan AS$7.6 juta (RM26.06 juta).
This Is It mendedahkan persembahan di belakang tabir Jackson beberapa minggu sebelum kematiannya Jun lalu, ketika beliau berlatih lagu yang menjadi hits terbesarnya untuk persembahan di London.

This Is It pada awalnya dijadualkan untuk ditayangkan di pawagam hanya dua minggu. Studio terbabit melanjutkan tayangannya beberapa minggu lagi di sini, sehingga hujung minggu sambutan Hari Kesyukuran, satu daripada musim paling sibuk tayangan filem.

Sony merancang melanjutkan tayangan This Is It di luar negara dan ada kemungkinan tayangannya sehingga tiga minggu, kata Bruer.

Studio berkenaan membayar AS$60 juta (RM205.74 juta) untuk hak tayangan filem sehinggalah rakaman latihan Jackson, satu pelaburan dalam filem yang dikumpulkan selama beberapa hari.
"Mereka bertaruh AS$60 juta untuk filem ini dan mendapat AS$101 juta dalam tempoh lima hari," kata Paul Dergarabedian, penganalisis pemecah blok bagi Hollywood.com. "Ia adalah satu perjudian dan pertaruhan yang mendapat pulangan lumayan," katanya. � Agensi

Warga emas upah RM5 rogol budak

Pelajar Tahun Lima turut didera ibu tiri

KUANTAN: Lelaki warga emas berusia 61 tahun yang disyaki merogol seorang murid perempuan Tahun Lima beberapa kali sejak setahun lalu dengan memberinya upah RM5 hingga RM10, ditahan di sini, petang kelmarin.

Lelaki itu ditahan ketika berada di hadapan sebuah kedai serbaneka di Jaya Gading di sini hasil maklumat awam, kira-kira jam 3 petang,

Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah, Deputi Superintendan Kamaruzzaman Jaafar, berkata warga emas itu ditahan bagi membantu siasatan kes rogol terhadap murid yang juga mangsa dera ibu tirinya sejak 2004 sehingga 2009.




Beliau berkata, siasatan lanjut akan dilakukan membabitkan dakwaan murid terbabit yang mendakwa menerima upah RM5 hingga RM10 setiap kali dirogol.

"Lelaki terbabit kini ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan untuk siasatan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Baru-baru ini, akhbar melaporkan, dua beradik terpaksa menjalani kehidupan bagai dalam neraka apabila menjadi mangsa dera ibu tiri berusia 40 tahun.
Lebih malang lagi, kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun turut mendakwa dirogol seorang lelaki dikenalinya sebelum menerima upah antara harga RM5 hingga RM10 dan mendakwa wang berkenaan diambil ibu tirinya.

Ibu tiri mangsa, Noraini Yusoff, 40, sudah dipenjara 20 bulan selepas mengaku bersalah atas tuduhan mendera mangsa ketika dihadapkan ke Mahkamah Majistret pada 28 Oktober lalu.

Dua beradik terbabit kini diberi perlindungan sementara oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Malaysia 10 Teratas Destinasi Pelancongan


SINGAPURA: Majalah Lonely Planet mengeluarkan senarai 'Best in Travel 2010' dengan menyenaraikan Malaysia antara 10 destinasi pelancongan terbaik tahun depan.

Selain Malaysia, negara lain dalam senarai itu termasuk El Salvador, Jerman, Greece, Maghribi, Nepal, New Zealand, Portugal, Surinam dan Amerika Syarikat.

Buku Best in Travel 2010 yang dikeluarkan semalam, adalah koleksi tahunan kelima syarikat pelancongan itu bagi tempat terbaik untuk dikunjungi dan perkara terbaik dilakukan sepanjang tahun.

"Ini koleksi destinasi dan pengalaman yang kami anggap sebagai perkara sepatutnya dilakukan pengunjung tahun depan. Apa juga gaya anda tampilkan, anda menjumpai inspirasi dalam destinasi ini," kata Pengurus Komunikasi Asia Pasifik, Adam Bennett.

Dalam senarai rantau terbaik untuk dilawati temasuk Alsace, Perancis; Bali, Indonesia; Fernando de Noronha, Brazil; Goa, India; Koridor Pemuliharaan Koh Kong, Kemboja; Tasik Baikal, Russia; Oaxaca, Mexico; Afrika Selatan; Lake District, England; Barat Daya Australia Barat.

Bagi bandar, ia termasuk Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu; Charleston, Amerika Syarikat; Cork, Ireland; Cuenca, Ecuador; Istanbul, Turki; Kyoto, Jepun; Lecce, Itali; Sarajevo, Bosnia; Singapura; Vancouver, Kanada. � Reuters

Berita Harian - 3 November 2009

Betul ke Malaysia ada dalam senarai ni ?

Abang Rayu Adik Cari Tangan Putus Ditetak


SELAYANG: "Abang merayu meminta kami tolong carikan tangan kirinya ditetak hingga putus. Saya tidak dapat membantunya kerana terlalu takut dan menangis apabila melihat darah keluar dari tangannya yang cedera itu terlalu banyak seperti air paip," kata S Vinisha, 16.

Vinisha adalah adik kepada Tinish Raj Moses, 17, iaitu pelajar Tingkatan Lima Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Batu 16, Rawang, yang putus pergelangan tangan kiri akibat ditetak sekumpulan 30 samseng yang menyerang mangsa ketika menghadiri majlis ulang tahun rakan mereka di Taman Masalam, dekat Rawang, malam Sabtu lalu.

Menceritakan detik cemas itu, Vinisha berkata, abangnya diserang kumpulan lelaki tidak dikenali ketika mereka dalam perjalanan pulang dari rumah rakan ke rumah mereka di Taman Setia, Batu 16, Rawang, jam 11 malam.

"Kejadian itu berlaku di depan saya dan ayah, M Selvam, 42, yang ketika itu datang untuk menjemput kami pulang. Ia sungguh ngeri dan sukar dilupakan," katanya ketika ditemui di Hospital Selayang (HS) di sini, semalam.

Sementara itu, Selvam berkata, sebelum anaknya ditetak, dia cuba meleraikan tindakan kumpulan samseng ketika menyerang anak rakannya di kawasan sama.

"Tindakan itu menyebabkan saya ditumbuk pada mata kanan hingga lebam. Pada ketika itu juga Vinisha menjerit memaklumkan Tinish dikejar beberapa lelaki lain, menyebabkan saya terus berlari mendapatkannya.
"Dari jauh saya melihat Tinish mengangkat tangan mempertahankan diri.

"Apabila berada dekat, penyerang melarikan diri dan ketika itulah saya terkejut melihat pergelangan tangan kirinya putus ditetak," katanya.

Selvam turut menceritakan penderitaan ditanggung anaknya yang sepatutnya menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) minggu depan, apabila terpaksa membonceng motosikal dalam keadaan tangannya sudah putus sejauh 10 kilometer untuk ke HS.

"Ketika itu tangannya hanya dibalut dengan kain alas meja, manakala pergelangan yang putus diletakkan dalam raga motosikal," katanya.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah, berkata tujuh suspek berusia antara 17 tahun hingga awal 20-an sudah dikenal pasti tetapi belum ada tangkapan kerana mereka dipercayai menyembunyikan diri.

Berita Harian - 3 November 2009

Kejadian tetak anggota badan menjadi-jadi sekarang ni. Samseng sungguh!!

Ganjaran Baru Kakitangan, Jabatan Cemerlang


Sistem mampu tingkat motivasi penjawat awam: PM

PUTRAJAYA: Kerajaan akan memperkenalkan sistem ganjaran yang lebih berkesan untuk kakitangan awam dan jabatan yang cemerlang selaras dengan pendekatan budaya prestasi tinggi dalam perkhidmatan awam, kata Datuk Seri Najib Razak.

Perdana Menteri berkata, beliau bersama Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan dan Jemaah Menteri sedang merangka kaedah sistem itu untuk diperkenalkan supaya benar-benar berkesan dan mampu meningkatkan motivasi penjawat awam.

"Maknanya, kita tidak bertolak ansur terhadap salah guna kuasa dan mediokriti (sederhana) tetapi (pada masa sama) kita perlu beri ganjaran kepada prestasi tinggi.

"Mungkin Hari Kualiti kita tukar kepada Hari Inovasi, kita nak cuba gubal satu sistem ganjaran yang lebih bermakna lagi, bukan seperti sistem sebelumnya, menegak dan melintang, tidak berkesan sebab kita dah berpakat, tahun ini giliran saya, tahun depan hangpa pulak... kalau macam itu tak jadi, jangan cakap tak berlaku, ia berlaku sebab saya tahu ia berlaku," katanya berucap pada perhimpunan bulanan agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM), di sini, semalam.

Turut hadir Muhyiddin, Mohd Sidek dan menteri serta timbalan menteri di JPM.
Beliau berkata, ganjaran kepada prestasi tinggi bukan terhad kepada perkhidmatan kaunter atau soal hubungan terus dengan rakyat sebaliknya lebih luas, contohnya jabatan yang kutipan cukai meningkat, jabatan yang berjaya dalam banyak pendakwaan atau jabatan yang menghasilkan sesuatu yang luar biasa dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D).

"Ini semua terangkum dalam budaya prestasi tinggi yang saya harap kita dapat gubal satu sistem yang mana kita akan dapat memperkasakannya dalam pentadbiran awam dan kerajaan pada keseluruhannya," katanya.

Mengenai pegawai yang berada pada tahap sederhana, Najib berkata, ketua jabatan perlu menegur dengan baik dan berterus terang bahawa mutu kerjanya tidak sampai ke tahap yang boleh diterima supaya mereka berubah.

"Bukan bererti bahawa kita nak marah atau campak fail, tidak, jemput ke bilik dan terang kepada dia (bahawa) kerja saudara atau saudari tak sampai pada tahap kualiti yang dikehendaki," katanya.

Berita Harian - 3 November 2009

30 % daripada 100 produk kesihatan diuji USM tidak halal

PULAU PINANG 2 Nov. - Hampir 30 peratus daripada 100 produk kesihatan yang diuji di makmal Pusat Pengajian Sains Farmasi Universiti Sains Malaysia (USM) tidak halal kerana menggunakan gelatin kapsul diperbuat daripada kulit babi.

Dekannya, Prof. Madya Dr. Syed Azhar Syed Sulaiman berkata, kebanyakan produk yang diuji tidak halal oleh pihaknya dipercayai boleh diperoleh di pasaran tempatan.

Tanpa mendedahkan produk berkenaan, menurutnya, barangan yang diuji bagi mengenalpasti sumber gelatin yang digunakan itu telah dihantar oleh Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan dan pengeluar produk.
''Daripada 100 produk kesihatan yang kita uji, kira-kira 30 peratus didapati tidak halal dan menggunakan gelatin daripada babi kerana ia lebih murah daripada gelatin lembu.

''Malah kebanyakan produk farmaseutikal yang dijual di negara ini mengatakan produk mereka halal tetapi hakikatnya kita tidak tahu kerana tiada sebarang mekanisma digunakan untuk menentukan perkara itu,'' katanya pada sidang akhbar di USM di sini hari ini.

Gelatin merupakan suatu campuran protein diekstrak daripada kulit binatang.

Beliau berkata, pendedahan itu bagaimanapun tidak menggambarkan keseluruhan pasaran gelatin kapsul di negara ini kerana ada pengeluar bertindak menukar kepada gelatin yang halal selepas dimaklumkan mengenai perkara itu.
Sehubungan itu, Syed Azhar berharap supaya pihak bertanggungjawab termasuk Kementerian Kesihatan mewajibkan semua pengeluar produk kesihatan untuk menggunakan gelatin kapsul daripada sumber yang halal.

Dalam pada itu, beliau berkata, inisiatif USM membangunkan kajian berkaitan status halal sesuatu produk membuktikan komitmen universiti dalam merealisasikan harapan negara untuk muncul sebagai hab produk halal dunia.

Malah katanya, usaha itu juga bertujuan meningkatkan pembangunan ummah secara mapan supaya masyarakat di negara ini berupaya mengubah cara hidup ke arah lebih baik dengan adanya kajian-kajian seumpama itu.

''Isu halal ini bukan terhad kepada produk malah ia berkaitan dengan cara hidup kita seharian dan ia juga lebih bersifat kesedaran di mana bila kita sedar kepentingannya malah sekali gus mampu mengubah cara hidup kita,'' jelasnya.

Utusan Malaysia - 3 November 2009

Budak jantung songsang perlu RM75,000


BALING 2 Nov. - Tinggal sembilan hari sahaja lagi untuk keluarga Najwa Nazihah Ridzal Sham mengumpul wang sebanyak RM75,000 bagi menampung kos perbelanjaan merawat jantung kanak-kanak berusia dua tahun itu.

Namun Najwa Nazihah yang menghidapi masalah jantung songsang atau kedudukan jantungnya yang tidak normal, hanya berharap simpati orang ramai bagi mengumpulkan wang tersebut kerana keluarganya memang tidak mampu mengumpul dana sebanyak itu.

Keadaan itu juga merunsingkan ibu bapanya kerana kesihatan anak mereka yang semakin lemah dan kini tidak lagi mampu untuk berjalan.

Ibunya, Nor Hapizah Zakaria, 35, berkata, anaknya akan menjalani pembedahan pertama pada 11 November ini dan pihak Hospital Pulau Pinang memaklumkan, dia memerlukan sekurang-kurangnya dua pembedahan.

Suaminya, Ridzal Sham Abdul Rahman, 41, hanya bekerja sebagai pembantu mekanik dan tidak mampu untuk membiayai kos rawatan anaknya itu.

Katanya, Najwa Nazihah kini tidak boleh berjalan sebaliknya hanya mampu mengengsot kerana sering kepenatan akibat masalah jantung tersebut.

''Dia sering menangis dan terpaksa mengengsot kerana kepenatan,'' ujarnya sedih ketika ditemui di Kampung Telok Temelah, Mukim Bongor dekat sini semalam.

Katanya, penderitaan yang dialami anak bongsunya itu dikesan selepas dia sering menangis siang dan malam ketika bayi.

''Ketika mendapatkan rawatan di Hospital Alor Setar, doktor mengesahkan Najwa Nazihah mengalami saluran jantung yang terbalik,'' jelasnya.

Tiga lagi anak pasangan tersebut ialah Fatin Fasehah, 14, Mohd. Ashraf, 9, dan Nor Ain Zulaikha, 3.
Fatin Fasehah merupakan anak istimewa dan mendapat bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Baling di bawah Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Baling.

Nor Hapizah berkata, anak keduanya, Mohd. Ashraf pula mengalami talasemia dan sering keletihan.
''Setiap tiga bulan sekali, dia perlu ke Hospital Baling (HB) untuk memeriksa kesihatannya bagi memastikan keadaan darah dalam badannya stabil.

''Saya reda dengan apa yang berlaku tetapi ibu mana yang tidak mahu anaknya hidup dalam keadaan sihat seperti orang lain,'' katanya.

Nor Hapizah berkata, keluarganya tidak mampu menyediakan wang sebanyak itu tetapi pada masa yang sama terpaksa berikhtiar bagi menyelamatkan nyawa anaknya.

Sementara itu, UMNO Bahagian Baling yang bersimpati dengan nasib keluarga tersebut akan membantu kanak-kanak berkenaan bagi membolehkannya menjalani pembedahan yang telah dijadualkan.

Ketuanya, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim yang melawat Najwa Nazihah di rumahnya semalam berkata, pihaknya akan mencari dana dengan membuat rayuan kepada ahli korporat dan orang ramai untuk membantu kanak-kanak itu.

''Kita amat sedih dengan nasib yang dialami Najwa Nazihah apatah lagi keluarganya tidak mampu menyediakan kos pembedahan seperti yang diminta pihak hospital,'' katanya.

Mereka yang ingin menghulurkan bantuan kepada Najwa Nazihah boleh memasukkannya ke dalam akaun Bank Islam atas nama Nor Hapizah Zakaria di nombor akaun 02-048-02-019270-4.

United, Chelsea jadi tumpuan, Real perlu kejutan


PARIS - Jika dibandingkan dengan juara Eropah lima kali, Liverpool, keadaan ketika ini lebih menggembirakan buat dua kelab England, Manchester United dan Chelsea apabila mengharungi saingan Liga Juara-Juara Eropah.

Pada ketika hajat Liverpool untuk menggapai kejuaraan Liga Perdana England pertama dalam tempoh 20 tahun semakin samar ekoran kekalahan kelima minggu lalu, skuad Reds itu juga menuju ke ambang penyingkiran di pentas Eropah dengan dua kekalahan daripada tiga perlawanan.

Gagal menang di Lyon esok mampu memusnahkan peluang mereka untuk layak selepas tewas kepada kelab Perancis itu pada pertemuan di Anfield, selain kalah kepada kelab Itali, Fiorentina.

Anak-anak buah Rafael Benitez itu kini menduduki tangga ketiga Kumpulan E, sekadar mengumpul tiga mata daripada tiga perlawanan. Lyon meneraju kumpulan dengan sembilan mata, diikuti Fiorentina enam mata.
Sementara itu, keadaan tampak lebih baik dan ceria buat dua seteru domestik mereka, Chelsea dan United.
Chelsea, pendahulu Liga Perdana dengan dua mata meninggalkan United menang semua tiga perlawanan Kumpulan D manakala United pula mendahului Kumpulan B, juga selepas memenangi kesemua perlawanan.
Bagi United, sekalipun turun tanpa pemain veteran, Ryan Giggs dan Rio Ferdinand hari ini, mereka dijangka tidak menghadapi masalah untuk mencatat kemenangan ke atas kelab Rusia, CSKA Moscow di Old Trafford.

Chelsea, yang sudahpun memalukan Atletico Madrid 4-0 di Stamford Bridge yakin mampu mengutip mata diperlukan apabila berkunjung ke Madrid, hari ini untuk membolehkan mereka layak dari Kumpulan D.
Kehadiran semula bintang penyerang, Didier Drogba, yang sudah melengkapkan penggantungan tiga perlawanan kerana pergaduhan di Barcelona pada separuh akhir, musim lalu akan menguatkan lagi pasukan.
"Memiliki Didier kembali dalam saingan Liga Juara-Juara merupakan penyuntik semangat kami, dia adalah pemain hebat yang kini berada pada prestasi terbaik.

"Dia kini bersaing sengit dengan Fernando Torres dalam carta penjaring terbanyak tetapi pada saya, Didier adalah pemain terbaik di dunia,'' kata pemain tengah Chelsea, Frank Lampard.
Juara Eropah sembilan kali, Real Madrid pula perlu memulihkan prestasi jika mahu menjinakkan juara Eropah tujuh kali, AC Milan dalam perlawanan tumpuan Kumpulan C di San Siro, hari ini.

Kedua-dua pasukan sudah mengumpul enam mata daripada tiga perlawanan tetapi Real akan beraksi tanpa pemain termahal dunia, Cristiano Ronaldo yang belum pulih daripada kecederaan buku lali.
Pemain tengah veteran, Guti juga bakal terlepas perlawanan selepas bertelagah dengan jurulatih, Manuel Pellegrini ketika pasukan itu diaibkan 4-0 oleh kelab divisyen tiga, Alcorcon dalam saingan Piala Raja Sepanyol, minggu lalu.

Milan, yang memulakan musim dengan buruk, termasuk dimalukan 1-0 oleh FC Zurich di tempat sendiri dalam aksi pembukaan Liga Juara-Juara, semakin mengukuhkan kedudukan.
Kemenangan mengejut 3-2 ke atas Real di Madrid, menjadi penyuntik semangat buat skuad bimbingan Leonardo itu, ditambah dengan rekod mengharungi tujuh perlawanan tanpa kalah.
Turut berada dalam keadaan kritikal ketika ini adalah juara Eropah empat kali, Bayern Munich, yang kini menduduki tempat ketiga Kumpulan A, yang diterajui Bordeaux dan Juventus.
Bayern, yang sudahpun tewas 1-2 kepada Bordeaux di tempat sendiri bulan lalu tidak boleh menerima satu lagi kekalahan apabila berkunjung ke Perancis, hari ini.
Juventus, yang memiliki kelebihan satu mata ke atas Bayern dijangka mengutip mata daripada pertemuan dengan Maccabi Haifa di Israel.
Pengurus Bayern, Uli Hoeness percaya, masalah pasukannya akan selesai jika dua perancang utama mereka, Franck Ribery dan Arjen Robben pulih dari kecederaan pada masa yang sesuai.
"Bayern tanpa Franck Ribery atau Arjen Robben pasukan yang berbeza. Apabila mereka kembali, kami dapat mencapai tahap terbaik seperti yang diinginkan,'' kata Hoeness. - AFP

Saya Sudah Sedia Kemudi Kedah - Ahmad Yusof


ALOR SETAR - Teka teki mengenai siapa yang bakal mengemudi skuad bola sepak Kedah akhirnya terjawab apabila bekas jurulatih Pahang, Ahmad Yusof secara rasmi dilantik sebagai ketua jurulatih yang baru berkuat kuasa semalam.

Jurulatih berusia 49 tahun itu mengikat kontrak selama setahun bersama Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) bagi menggantikan Mohd. Azraai Khor Abdullah yang meninggalkan Sang Kenari untuk membimbing pasukan Harimau Muda mengharungi saingan Liga Malaysia musim depan.

Meskipun menyedari berdepan dengan tugas berat, namun Ahmad menyatakan dia sudah sedia sepenuhnya mengambil alih jawatan itu daripada Mohd. Azraai di sebalik harapan menggunung yang disandarkan terhadapnya.

Katanya, dia menyasarkan untuk membantu Kedah mengulangi kejayaan gemilang memenangi tiga piala seperti yang dikecapi pada musim 2007 dan 2008.
"Apabila bersetuju menerima tugas ini, saya tahu tiada pilihan lain kecuali memberi yang terbaik untuk membimbing sebuah pasukan elit seperti Kedah.

"Dengan barisan pemain dan kerjasama daripada pihak pengurusan serta penolong-penolong jurulatih, insya-Allah Kedah akan kembali pada landasan yang diharapkan," katanya pada majlis menandatangangi kontrak bersama KFA di sini semalam.

Hadir pada majlis itu ialah Timbalan Presiden KFA, Datuk Paduka Syed Unan Mashri Syed Abdullah; Setiausaha Kehormat KFA, Dr. Hamdan Mohamed Khalib dan pengurus pasukan, Datuk Khazali Din.
Pada majlis itu, KFA turut mengumumkan pengguguran lima pemain daripada skuad Hijau Kuning pada musim depan iaitu Rafiz Abu Bakar; Mohd. Afif Amiruddin; Mohd. Azrul Ahmad; Manopasak Kram dan Mohd. Nazmi Baharom.

Mengenai kemasukan pemain baru, Ahmad yang pernah menjadi ketua pasukan kebangsaan pada sekitar tahun 90-an berkata, keutamaan ialah untuk mencari penyerang bagi mempertajamkan sentuhan penyudah skuad Sang Kenari.

Dalam pada itu, Syed Unan berkata, pemilihan Ahmad sebagai jurulatih dibuat selepas namanya dicadangkan oleh pengurus dan penolong jurulatih Kedah yang percaya dia calon terbaik untuk mengisi jawatan tersebut.
Ditanya tempoh kontrak selama setahun yang mungkin tidak cukup bagi Ahmad membentuk pasukan, beliau berkata, KFA akan menilai prestasi ketua jurulatih baru itu daripada segenap sudut sebelum mempertimbangkan keputusan seterusnya pada akhir musim.

Mengenai KFA kemungkinan akan melantik seorang penasihat bagi memantapkan pengurusan pasukan Kedah, Syed Unan berkata, persatuan itu belum membuat keputusan terhadap cadangan berkenaan.

Kelantan Antara 6 Pasukan Hilang Kelayakan Beraksi Dalam Liga M 2010


KUALA LUMPUR - Kelantan, Perak, Pulau Pinang, Melaka, Pahang dan Shahzan Muda antara pasukan yang tidak memenuhi syarat untuk beraksi pada musim baru Liga Malaysia 2010.

Sementara dua pasukan kelab, UPB-MyTeam dan Proton FC disahkan menarik diri.
 Perkara tersebut disahkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT) Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Che Mat Jusoh selepas mesyuarat, semalam.

Bagaimanapun, keputusan muktamad mengenai status keenam-enam pasukan yang masih belum memenuhi syarat itu akan diputuskan dalam Mesyuarat Ahli Majlis FAM dalam masa terdekat ini.
"Keenam-enam pasukan itu tidak memenuhi syarat yang ditetapkan oleh JKPT iaitu masih belum menyelesaikan masalah caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan pembayaran gaji kepada pemain," katanya di Stadium Nasional Bukit Jalil semalam.

Jelasnya, sebelas pasukan, Selangor, Perlis, Kedah, Johor FC, Terengganu, KL Plus, Harimau Muda A, Negeri Sembilan, Johor, Kuala Muda Naza dan T-Team layak beraksi dalam Liga Super musim depan.
Sementara saingan Liga Perdana pula 10 pasukan telah melepasi syarat untuk beraksi musim depan iaitu Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kuala Lumpur, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Sabah, PKNS, Felda United, KL Pos, KSK Tambung Tulang, Harimau Muda dan Sarawak.

"Kesemua pasukan yang layak sudah menyelesaikan segala hutang dan tunggakan pembayaran gaji pemain serta caruman KWSP," ujarnya.
Che Mat berkata, mereka juga telah menerima penarikan diri UPB-MyTeam (Liga Super) dan Proton FC (Liga Perdana) dan sebarang keputusan lain akan dibincangkan kemudian.

"Jika mereka hendak beraksi semula dalam Liga Malaysia pada musim akan datang, mereka perlu beraksi dari bawah (Liga FAM)," katanya.
Menurutnya, jika pasukan yang layak beraksi dalam Liga Super masih kekal dengan 11 pasukan satu pasukan dari Liga Perdana akan dinaikkan untuk menggenapkan menjadi 12 pasukan.

"Bagaimanapun hanya pasukan yang memenuhi kriteria sahaja layak beraksi dalam Liga Super, begitu juga dalam Liga Perdana, jika bilangan pasukan masih lagi ganjil satu pasukan akan dinaikkan," katanya.
Jelasnya, perkara ini tidak mengganggu perlaksanaan Liga Malaysia musim depan kerana bilangan pasukan yang beraksi sangat positif.

"Kita sudah menghantar surat ulangan kepada pasukan tersebut, bagaimanapun mereka masih belum menyelesaikan masalah ini sehingga tarikh akhir 14 Oktober lalu.

"Kami juga telah memberikan tempoh lanjutan kepada mereka iaitu pada 31 Oktober lalu tetapi ia masih juga gagal diselesaikan oleh pasukan tersebut," katanya.

Utusan Malaysia - 3 November 2009