PUTRAJAYA: Kerajaan akan memperkenalkan sistem ganjaran yang lebih berkesan untuk kakitangan awam dan jabatan yang cemerlang selaras dengan pendekatan budaya prestasi tinggi dalam perkhidmatan awam, kata Datuk Seri Najib Razak.
Perdana Menteri berkata, beliau bersama Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan dan Jemaah Menteri sedang merangka kaedah sistem itu untuk diperkenalkan supaya benar-benar berkesan dan mampu meningkatkan motivasi penjawat awam.
"Mungkin Hari Kualiti kita tukar kepada Hari Inovasi, kita nak cuba gubal satu sistem ganjaran yang lebih bermakna lagi, bukan seperti sistem sebelumnya, menegak dan melintang, tidak berkesan sebab kita dah berpakat, tahun ini giliran saya, tahun depan hangpa pulak... kalau macam itu tak jadi, jangan cakap tak berlaku, ia berlaku sebab saya tahu ia berlaku," katanya berucap pada perhimpunan bulanan agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM), di sini, semalam.
Turut hadir Muhyiddin, Mohd Sidek dan menteri serta timbalan menteri di JPM.
Beliau berkata, ganjaran kepada prestasi tinggi bukan terhad kepada perkhidmatan kaunter atau soal hubungan terus dengan rakyat sebaliknya lebih luas, contohnya jabatan yang kutipan cukai meningkat, jabatan yang berjaya dalam banyak pendakwaan atau jabatan yang menghasilkan sesuatu yang luar biasa dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D).
"Ini semua terangkum dalam budaya prestasi tinggi yang saya harap kita dapat gubal satu sistem yang mana kita akan dapat memperkasakannya dalam pentadbiran awam dan kerajaan pada keseluruhannya," katanya.
Mengenai pegawai yang berada pada tahap sederhana, Najib berkata, ketua jabatan perlu menegur dengan baik dan berterus terang bahawa mutu kerjanya tidak sampai ke tahap yang boleh diterima supaya mereka berubah.
"Bukan bererti bahawa kita nak marah atau campak fail, tidak, jemput ke bilik dan terang kepada dia (bahawa) kerja saudara atau saudari tak sampai pada tahap kualiti yang dikehendaki," katanya.
Berita Harian - 3 November 2009
No comments:
Post a Comment