Tuesday, November 03, 2009

Warga emas upah RM5 rogol budak

Pelajar Tahun Lima turut didera ibu tiri

KUANTAN: Lelaki warga emas berusia 61 tahun yang disyaki merogol seorang murid perempuan Tahun Lima beberapa kali sejak setahun lalu dengan memberinya upah RM5 hingga RM10, ditahan di sini, petang kelmarin.

Lelaki itu ditahan ketika berada di hadapan sebuah kedai serbaneka di Jaya Gading di sini hasil maklumat awam, kira-kira jam 3 petang,

Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah, Deputi Superintendan Kamaruzzaman Jaafar, berkata warga emas itu ditahan bagi membantu siasatan kes rogol terhadap murid yang juga mangsa dera ibu tirinya sejak 2004 sehingga 2009.




Beliau berkata, siasatan lanjut akan dilakukan membabitkan dakwaan murid terbabit yang mendakwa menerima upah RM5 hingga RM10 setiap kali dirogol.

"Lelaki terbabit kini ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan untuk siasatan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Baru-baru ini, akhbar melaporkan, dua beradik terpaksa menjalani kehidupan bagai dalam neraka apabila menjadi mangsa dera ibu tiri berusia 40 tahun.
Lebih malang lagi, kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun turut mendakwa dirogol seorang lelaki dikenalinya sebelum menerima upah antara harga RM5 hingga RM10 dan mendakwa wang berkenaan diambil ibu tirinya.

Ibu tiri mangsa, Noraini Yusoff, 40, sudah dipenjara 20 bulan selepas mengaku bersalah atas tuduhan mendera mangsa ketika dihadapkan ke Mahkamah Majistret pada 28 Oktober lalu.

Dua beradik terbabit kini diberi perlindungan sementara oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

No comments: