Tuesday, November 03, 2009

Kelantan Antara 6 Pasukan Hilang Kelayakan Beraksi Dalam Liga M 2010


KUALA LUMPUR - Kelantan, Perak, Pulau Pinang, Melaka, Pahang dan Shahzan Muda antara pasukan yang tidak memenuhi syarat untuk beraksi pada musim baru Liga Malaysia 2010.

Sementara dua pasukan kelab, UPB-MyTeam dan Proton FC disahkan menarik diri.
 Perkara tersebut disahkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT) Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Che Mat Jusoh selepas mesyuarat, semalam.

Bagaimanapun, keputusan muktamad mengenai status keenam-enam pasukan yang masih belum memenuhi syarat itu akan diputuskan dalam Mesyuarat Ahli Majlis FAM dalam masa terdekat ini.
"Keenam-enam pasukan itu tidak memenuhi syarat yang ditetapkan oleh JKPT iaitu masih belum menyelesaikan masalah caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan pembayaran gaji kepada pemain," katanya di Stadium Nasional Bukit Jalil semalam.

Jelasnya, sebelas pasukan, Selangor, Perlis, Kedah, Johor FC, Terengganu, KL Plus, Harimau Muda A, Negeri Sembilan, Johor, Kuala Muda Naza dan T-Team layak beraksi dalam Liga Super musim depan.
Sementara saingan Liga Perdana pula 10 pasukan telah melepasi syarat untuk beraksi musim depan iaitu Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kuala Lumpur, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Sabah, PKNS, Felda United, KL Pos, KSK Tambung Tulang, Harimau Muda dan Sarawak.

"Kesemua pasukan yang layak sudah menyelesaikan segala hutang dan tunggakan pembayaran gaji pemain serta caruman KWSP," ujarnya.
Che Mat berkata, mereka juga telah menerima penarikan diri UPB-MyTeam (Liga Super) dan Proton FC (Liga Perdana) dan sebarang keputusan lain akan dibincangkan kemudian.

"Jika mereka hendak beraksi semula dalam Liga Malaysia pada musim akan datang, mereka perlu beraksi dari bawah (Liga FAM)," katanya.
Menurutnya, jika pasukan yang layak beraksi dalam Liga Super masih kekal dengan 11 pasukan satu pasukan dari Liga Perdana akan dinaikkan untuk menggenapkan menjadi 12 pasukan.

"Bagaimanapun hanya pasukan yang memenuhi kriteria sahaja layak beraksi dalam Liga Super, begitu juga dalam Liga Perdana, jika bilangan pasukan masih lagi ganjil satu pasukan akan dinaikkan," katanya.
Jelasnya, perkara ini tidak mengganggu perlaksanaan Liga Malaysia musim depan kerana bilangan pasukan yang beraksi sangat positif.

"Kita sudah menghantar surat ulangan kepada pasukan tersebut, bagaimanapun mereka masih belum menyelesaikan masalah ini sehingga tarikh akhir 14 Oktober lalu.

"Kami juga telah memberikan tempoh lanjutan kepada mereka iaitu pada 31 Oktober lalu tetapi ia masih juga gagal diselesaikan oleh pasukan tersebut," katanya.

Utusan Malaysia - 3 November 2009

No comments: