Tuesday, November 03, 2009

Abang Rayu Adik Cari Tangan Putus Ditetak


SELAYANG: "Abang merayu meminta kami tolong carikan tangan kirinya ditetak hingga putus. Saya tidak dapat membantunya kerana terlalu takut dan menangis apabila melihat darah keluar dari tangannya yang cedera itu terlalu banyak seperti air paip," kata S Vinisha, 16.

Vinisha adalah adik kepada Tinish Raj Moses, 17, iaitu pelajar Tingkatan Lima Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Batu 16, Rawang, yang putus pergelangan tangan kiri akibat ditetak sekumpulan 30 samseng yang menyerang mangsa ketika menghadiri majlis ulang tahun rakan mereka di Taman Masalam, dekat Rawang, malam Sabtu lalu.

Menceritakan detik cemas itu, Vinisha berkata, abangnya diserang kumpulan lelaki tidak dikenali ketika mereka dalam perjalanan pulang dari rumah rakan ke rumah mereka di Taman Setia, Batu 16, Rawang, jam 11 malam.

"Kejadian itu berlaku di depan saya dan ayah, M Selvam, 42, yang ketika itu datang untuk menjemput kami pulang. Ia sungguh ngeri dan sukar dilupakan," katanya ketika ditemui di Hospital Selayang (HS) di sini, semalam.

Sementara itu, Selvam berkata, sebelum anaknya ditetak, dia cuba meleraikan tindakan kumpulan samseng ketika menyerang anak rakannya di kawasan sama.

"Tindakan itu menyebabkan saya ditumbuk pada mata kanan hingga lebam. Pada ketika itu juga Vinisha menjerit memaklumkan Tinish dikejar beberapa lelaki lain, menyebabkan saya terus berlari mendapatkannya.
"Dari jauh saya melihat Tinish mengangkat tangan mempertahankan diri.

"Apabila berada dekat, penyerang melarikan diri dan ketika itulah saya terkejut melihat pergelangan tangan kirinya putus ditetak," katanya.

Selvam turut menceritakan penderitaan ditanggung anaknya yang sepatutnya menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) minggu depan, apabila terpaksa membonceng motosikal dalam keadaan tangannya sudah putus sejauh 10 kilometer untuk ke HS.

"Ketika itu tangannya hanya dibalut dengan kain alas meja, manakala pergelangan yang putus diletakkan dalam raga motosikal," katanya.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah, berkata tujuh suspek berusia antara 17 tahun hingga awal 20-an sudah dikenal pasti tetapi belum ada tangkapan kerana mereka dipercayai menyembunyikan diri.

Berita Harian - 3 November 2009

Kejadian tetak anggota badan menjadi-jadi sekarang ni. Samseng sungguh!!

No comments: