Wednesday, December 23, 2009

Gaji pekerja Malaysia lebih rendah


KUALA LUMPUR 22 Dis. - Malaysia perlu berusaha lebih gigih untuk melonjakkan ekonomi negara dalam usaha menjadi negara berpendapatan tinggi, setanding dengan negara maju yang lain.

Dekan Fakulti Ekonomi dan Perniagaan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Mohd. Fauzi Mohd. Jani berkata, ia boleh dicapai dengan meningkatkan pembangunan pelbagai sektor ekonomi bagi meningkatkan pendapatan.

Secara umumnya, jelas beliau, pendapatan tahunan seorang rakyat negara ini adalah RM17,182 (AS$5,000) berbanding pendapatan tahunan rakyat Singapura sebanyak RM103,140 (AS$30,000).

"Ini menunjukkan pendapatan tahunan rakyat kita enam kali lebih rendah daripada negara berpendapatan tinggi seperti Singapura," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Perdana Menteri bahawa ekonomi Malaysia kini di persimpangan kritikal iaitu terperangkap menjadi negara berpendapatan sederhana atau mencapai status berpendapatan tinggi.

Sehubungan itu, Datuk Seri Najib Tun Razak mahu perubahan struktur ekonomi dilakukan bagi mengelakkan Malaysia terperangkap dalam kedudukan negara berpendapatan sederhana.

Menurut Mohd. Fauzi, sektor perkhidmatan dan pelancongan di negara ini perlu dipertingkatkan lagi bagi menarik kedatangan lebih ramai pelancong.

Dalam pada itu, Mohd. Fauzi berkata, Malaysia perlu menjalinkan hubungan perdagangan dua hala yang lebih baik dengan China dan India bagi meningkatkan eksport negara.

Sementara itu, Rektor Kolej Yayasan Melaka, Prof. Datuk Dr. Ramlah Adam berkata, kerajaan perlu mengurangkan import dan meningkatkan eksport bagi mengurangkan perbelanjaan negara.

"Pengimportan makanan menyebabkan mata wang negara mengalir ke luar negara justeru untuk mengelakkan situasi ini kita harus tingkatkan eksport dan turunkan import," katanya.

Katanya, kerajaan juga harus melatih lebih ramai tenaga kerja mahir dan profesional bagi mengurangkan pengambilan pekerja asing bagi mengelakkan aliran keluar mata wang negara.

Sumber : Utusan Malaysia Online

BERAPA GAJI KORANG DALAM SETAHUN ???