Wednesday, October 12, 2011

Info Baru : Kerajaan mansuh laporan polis untuk sijil, pasport, geran dan lesen memandu

KUALA LUMPUR: Orang ramai tidak perlu lagi membuat laporan polis bagi sebarang penggantian berhubung kehilangan dan kerosakan sijil kelahiran, pasport Malaysia, sijil perkahwinan, sijil akademik, perakuan pendaftaran kenderaan dan lesen memandu serta geran tanah.

Perkara itu terkandung dalam Pekeliling Am Bilangan 3 Tahun 2011 yang dikeluarkan Jabatan Perdana Menteri pada 29 September lalu.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan, berkata kerajaan membuat keputusan berhubung pemansuhan keperluan mengemukakan laporan polis itu pada mesyuarat Jawatankuasa Tetap Pengaduan Awam (JKTPA) Bilangan 2, 2011 pada 6 April lalu kerana ia sebenarnya adalah amalan pentadbiran yang tidak diperuntukkan di bawah mana-mana undang-undang.

Beliau berkata, pada 2010, sejumlah 2.8 juta laporan polis diterima, dengan 1.1 juta atau 40 peratus daripada jumlah itu termasuk dalam kategori 'Rujuk Lain-Lain Agensi'.

"Ini menunjukkan sebahagian besar laporan polis yang dibuat tidak memerlukan tindakan Polis DiRaja Malaysia (PDRM). Perkara ini bukan sahaja menyusahkan orang awam, malah tidak melambangkan imej perkhidmatan awam yang cekap dan mesra pelanggan.

"Di pihak PDRM pula, amalan ini turut menyebabkan tambahan beban kerja dalam mengendalikan urusan pelaporan polis.

"Keperluan ini juga mengakibatkan peningkatan kos operasi PDRM di samping tidak memberi nilai tambah dalam penyampaian perkhidmatan PDRM," katanya.

Berikutan pemansuhan itu, Mohd Sidek meminta semua agensi kerajaan mengenal pasti urusan yang memerlukan orang awam mengemukakan laporan polis kepada agensi kerajaan terbabit mengikut keperluan yang diperuntukkan dalam undang-undang.

Bagaimanapun, katanya, Pekeliling itu tidak menghalang orang awam daripada membuat laporan polis, dan agensi kerajaan juga tidak boleh menghalang orang awam membuat laporan kepada PDRM.

Sumber : Berita Harian Online

KALAU MANSUH, DENGAN SIAPA NAK BERURUSAN KALAU KEHILANGAN SIJIL, PASPORT, GERAN DAN LESEN MEMANDU SELAIN PDRM ?

Bantuan rakyat RM500 kepada isi rumah berpendapatan RM3,00.00 kebawah diagihkan mulai Januari 2012


KUALA LUMPUR: Kerajaan menimbang mengagihkan pemberian bantuan rakyat sebanyak RM500 kepada isi rumah yang berpendapatan bulanan RM3,000 dan ke bawah, mulai Januari 2012.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr Awang Adek Hussin, berkata pengagihan bantuan wang tunai itu yang boleh dilakukan secara berperingkat-peringkat, tanpa penetapan masa, akan dilakukan secepat mungkin mulai Januari depan.

Bantuan "one off" atau sekali sahaja itu diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak semasa membentangkan Bajet 2012 minggu lalu.

Awang Adek berkata, kerajaan mengenal pasti Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) sebagai agensi utama pelaksanakan bantuan ini memandangkan agensi berkenaan mempunyai fail-fail cukai bagi pembayar cukai yang aktif mahupun tidak aktif.

"Antara agensi lain yang turut terbabit dalam pengagihan bantuan itu ialah Bank Simpanan Nasional (BSN), Bank Negara serta POS Malaysia," katanya pada sidang media selepas merasmikan Seminar Percukaian Kebangsaan 2011, di sini hari ini.

Seminar terbabit dianjurkan oleh LHDN dengan penyertaan seramai 1,120 peserta.

Awang Adek berkata, LHDN difahamkan turut mengguna pakai sistem pangkalan data e-Kasih Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi mendapatkan maklumat rakyat yang benar-benar layak menerima bantuan terbabit.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif LHDN, Datuk Dr Mohd Shukor Mahfar berkata, rakyat yang masih belum mendaftar dengan e-Kasih, boleh mendapatkan borang pendaftaran melalui laman sesawang LHDN.

Di samping itu, borang berkenaan akan dicetak dan diedarkan di cawangan LHDN serta kawasan lain yang bakal dikenal pasti di seluruh negeri.

"Mereka (masyarakat) akan dimaklumkan mengenai pengagihan borang dari semasa ke semasa," katanya.

Mengenai syarat kelayakan, beliau berkata, pengiraan pendapatan RM3,000 itu ialah seisi rumah dan bukan individu dan oleh itu mekanisme siasatan akan dilakukan.

Awang Adek pula berkata pendapatan isi rumah akan diambil kira, dengan mencampurkan pendapatan suami, isteri dan anak-anak yang tinggal bersama.

Namun, persoalan bagi anak yang tinggal berasingan, masih dibincangkan.

"Soal isi rumah…seorang, tetapi sudah bekerja dan bayar zakat sendiri, saya rasa dia layak. Namun, ini kita akan pastikan kemudian dan masukkan dalam isu-isu yang perlu diperjelaskan,” katanya. 

Sumber : Berita Harian Online

BERSYUKURLAH DENGAN REZEKI YANG DITERIMA.... ALHAMDULILAH