Showing posts with label Banjir. Show all posts
Showing posts with label Banjir. Show all posts

Tuesday, November 16, 2010

Amaran bah besar

Hujan lebat luar biasa diramal landa Pantai Timur, Sabah, Sarawak dan Johor

KUALA LUMPUR: Selepas Kedah dan Perlis, beberapa negeri di Pantai Timur termasuk bahagian Timur Johor serta Sabah dan Sarawak pula dijangka mengalami banjir besar berikutan peningkatan taburan hujan dengan sesetengah tempat diramal melebihi 40 peratus berbanding paras biasa.

Fenomena itu berlaku ekoran perubahan cuaca musim Monsun Timur Laut bermula awal bulan ini dan dijangka berterusan hingga awal Mac depan.

Pengarah Ramalan Jabatan Meteorologi Malaysia, Saw Bun Ling, berkata kadar purata taburan hujan bagi kawasan berkenaan terutama Kelantan, Terengganu, Pahang, Pantai Timur Johor serta Sabah dan Sarawak pada kebiasaannya mencatat 680 milimeter (mm).
“Namun, disebabkan peningkatan dan hujan yang diramal berterusan, taburan purata hujan akan meningkat sehingga 1,000 mm di beberapa kawasan yang akan mengakibatkan banjir.

“Dalam tempoh ini hujan boleh berlaku sepanjang hari dengan hujan yang lebih kerap pada lewat malam dan pagi yang turut disertai ribut petir,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Saw bagaimanapun berkata, fenomena itu biasa berlaku setiap tahun ketika Monsun Timur Laut atau lebih dikaitkan dengan kehadiran musim tengkujuh di Pantai Timur Semenanjung.

Sepanjang tempoh itu, negeri di Pantai Timur Semenanjung, kawasan pantai Sarawak dan pantai Timur Sabah akan mengalami hujan lebat menyeluruh yang berterusan selama dua hingga tiga hari.
“Dalam kes cuaca yang ekstrem, hujan lebat yang menyeluruh ini boleh bertahan selama tiga hingga lapan hari, malah hujan lebat akan berlaku dalam masa yang berlainan di kawasan berkenaan sepanjang musim ini yang akan menyebabkan kemungkinan berlakunya banjir,” katanya.

Beliau menasihatkan orang ramai terutama penduduk di kawasan yang sering mengalami banjir supaya berwaspada dan mengambil berat amaran yang dikeluarkan pihak berkuasa mengenai kemungkinan berlakunya banjir.

Katanya, Jabatan Meteorologi juga sentiasa mengemas kini dan memantau maklumat serta perubahan atmosfera dari semasa ke semasa termasuk mengeluarkan amaran di media massa.

Di KUALA TERENGGANU, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mazlan Ngah, berkata Terengganu kini diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga berikutan kebimbangan pertembungan limpahan hujan dengan air pasang besar yang dijangka berlaku akhir bulan ini dan tiga kali sepanjang bulan depan.

“Jika pertembungan itu berlaku, beberapa kawasan rendah akan ditenggelami air kerana limpahan air hujan tidak mampu mengalir ke laut,” katanya pada sidang media mengenai persiapan banjir di negeri ini.

Difahamkan, Terengganu pernah merekodkan taburan hujan sebanyak 1,006 mm pada November 1998, yang tertinggi bagi tempoh 30 tahun.

Mazlan yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan dan Bantuan Bencana negeri, berkata kerajaan negeri mengenal pasti 198 kawasan yang sering dilanda banjir dan sudah membuat persediaan termasuk menghantar bekalan makanan ke 121 pangkalan hadapan.

Sumber : Berita Harian Online
SEMUA ORANG, DIMINTA BERJAGA-JAGA HARTA BENDA KORANG...

Tuesday, November 09, 2010

Hujan, ribut petir di Kedah, Perlis, Kelantan, Terengganu malam ini, 9 November 2010

INI HANYA RAMALAN!!

 ( gambar hiasan )

KUALA LUMPUR 9 Nov. - Hujan serta ribut petir diramalkan berlaku malam ini di satu dua tempat di Kedah, Perlis, Kelantan, dan Terengganu.

Jabatan Meteorologi Malaysia dalam satu kenyataan hari ini berkata, hujan turut diramalkan pagi esok di beberapa tempat sekitar pantai Kedah dan Perlis.

Pada petang dan malam esok pula hujan berserta ribut petir diramal berlaku di beberapa tempat di Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu. - Bernama

Sumber : Utusan Malaysia Online
INI RAMALAN.. KALAU BENAR, BERSIAP SEDIA BANJIR GELOMBANG KEDUA...

Monday, November 08, 2010

Perhatian !! JKM minta mangsa banjir buat laporan segera untuk bancian ganti rugi

ALOR SETAR: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) meminta mangsa banjir di negeri-negeri yang dilanda banjir terutama Kedah membuat laporan polis dengan segera mengenai kerosakkan peralatan dan rumah akibat bencana yang berlaku sejak 1 November lalu.

Ketua Pengarah JKM, Datuk Meme Zainal Rashid berkata, ia bagi memudahkan pihaknya membuat bancian segera dalam memastikan mangsa yang terjejas banjir mendapat bantuan ganti rugi dengan cepat.


"Saya difahamkan ada sebahagian daripada mangsa banjir yang barangan mereka rosak teruk dan tidak dapat diselamatkan," katanya kepada pemberita selepas melawat keluarga dua kanak-kanak yang mati lemas selepas terjatuh dalam tali air di Tanjung Bendahara, dekat sini hari ini.

Pada 4 Nov lalu, dua kanak-kanak Nur Irshah Rosli, 9, dan Awwab Hakimi Rudaini, 7, dilapor hilang ketika bermain di kawasan tali air berhampiran sawah padi yang dipenuhi air.


Mayat Nur Irshah dijumpai oleh pasukan penyelamat Jumaat lepas dan selamat dikebumikan di tanah perkuburan Masjid Tanjung Bendahara dekat sini, manakala seorang lagi mangsa, Awwab belum ditemui. Hadir sama dalam lawatan itu Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Kedah, Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah yang turut menyampaikan sumbangan kepada keluarga mangsa lemas. Meme berkata, sehingga kini JKM masih menyalurkan bantuan kemanusiaan kepada lebih 28,208 orang mangsa banjir melibatkan 6,874 keluarga yang masih berada di 70 pusat pemindahan banjir di Kedah.


Sementara itu, Bashah berkata, beliau berterima kasih kepada kerajaan persekutuan yang menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi mengurus dan membantu mangsa banjir.

Beliau berkata, ini menunjukkan kerajaan persekutuan amat prihatin dengan nasib yang menimpa rakyat di negeri ini dalam usaha untuk memulihkan kembali mangsa-mangsa yang terjejas banjir.


"Kita akan menggerakkan semua ahli dan pemimpin akar umbi parti komponen Barisan Nasional (BN) untuk membuat bancian terhadap semua rumah yang mengalami kerosakan teruk bagi membolehkan bantuan disalurkan tanpa mengira kaum dan parti politik," katanya.-Bernama

Sumber : Harian Metro Online
KEPADA SEMUA MANGSA BANJIR, 
BUAT LAPORAN POLIS KEROSAKAN HARTA BENDA AKIBAT BANJIR

Saturday, November 06, 2010

Alor Setar semakin 'tenggelam'

 SUNGAI Anak Bukit melimpah berhampiran Masjid Zahir yang berlatar belakang Menara Alor Setar hari ini. Semakin banyak kawasan sekitar bandaraya Alor Setar kini digenangi air dan penduduk berdepan dengan gangguan bekalan air dan elektrik.

 -----------------------------------------------------------------------------------------------

ALOR SETAR: Keadaan banjir di Kedah bertambah buruk dengan jumlah mereka yang dipindahkan kini meningkat kepada 39,785 orang dan hampir semua kawasan di bandar raya ini kini dinaiki air.

Sehingga 4 petang ini, kira-kira 80 peratus kawasan di bandar raya Alor Setar telah digenangi air.
Jumlah penduduk yang dipindahkan di daerah Kota Setar dan Pendang menunjukkan peningkatan manakala Kubang Pasu masih sama dan daerah Padang Terap serta Pokok Sena menunjukkan penurunan.

Di Kota Setar, jumlah mangsa banjir kini 16,376 orang daripada 4,047 keluarga, di Pendang 244 orang daripada 62 keluarga, di Kubang Pasu 21,111 orang membabitkan 5,740 keluarga, di Padang Terap berkurangan kepada 354 orang daripada 92 keluarga dan daerah Pokok Sena 1,738 orang melibatkan 307 keluarga.

Jurucakap bilik gerakan Majlis Keselamatan Negara berkata, sehingga kini, 100 pusat penempatan mangsa banjir dibuka dan daripada jumlah itu, 50 adalah di Kubang Pasu, lapan di Padang Terap, 34 di Kota Setar, tujuh di Pokok Sena dan satu di Pendang.

Beliau berkata, keadaan di Padang Terap semakin pulih apabila 303 orang daripada 112 keluarga dibenar pulang ke rumah masing-masing manakala di Pokok Sena 29 orang daripada enam keluarga dibenarkan pulang.

Tinjauan di sekitar bandar raya Alor Setar mendapati sudah 80 peratus kawasan digenangi air manakala banyak jalan tidak dapat dilalui kenderaan ringan berikutan air yang naik secara mendadak.
Beberapa premis penting termasuk bangunan kerajaan, agensi kerajaan dan pusat membeli-belah telah mula dimasuki air menyebabkan kedai terbabit terpaksa menutup operasi lebih awal.

Beberapa kenderaan ringan yang cuba melalui jalan yang terjejas tersangkut menyebabkan kenderaan lain terpaksa mencari jalan alternatif.

Tinjauan di sekitar pekan Jitra di daerah Kubang Pasu pula mendapati keadaan banjir semakin surut dan ada kawasan yang telah pulih sepenuhnya, namun mangsa masih belum boleh pulang ke rumah masing-masing kerana keadaan terlalu kotor.

Akibat banjir yang melanda sejak 1 November lalu, daerah berkenaan juga terputus hubungan dengan daerah Kota Setar apabila jalan-jalan utama iaitu jalan Hutan Kampung-Alor Setar dan Kepala Batas-Alor Setar ditenggelami air dan tidak boleh dilalui kenderaan ringan.

Sementara itu, tujuh jalan di Kota Setar ditutup untuk semua kenderaan manakala 21 jalan di tiga daerah ditutup kepada kenderaan ringan.

Jalan yang ditutup kepada semua kenderaan ialah di Kota Setar iaitu Jalan Hutan Kampung-Kepala batas; Jalan Langgar-Simpang Hutan Kampung; Jalan Sultanah; Jalan Alor Setar-Kangar; Jalan Alor Setar-Kepala Batas; Jalan Alor Janggus-Gunung Keriang; dan Jalan Gunung Keriang-Sungai Korok.

Jalan-jalan yang dinaiki air dan ditutup kepada kenderaan ringan ialah di Kota Setar iaitu Jalan Kuala Sungai-Sungai Baru; Jalan Alor Setar-Kepala Batas; Jalan Tambang Badak; Jalan Stadium; Lebuhraya Sultanah Bahiyah; Jalan Langgar-Pendang; Jalan Alor Setar-Pokok Sena; Jalan Alor Setar-Pokok Sena-Kuala Nerang; Jalan Pantai Johor-Gunung Keriang; dan Jalan Suka Menanti-Gunung Keriang.

Di daerah Kubang Pasu pula ialah Jalan Titi Besi-Kampung Pasu; Jalan Jitra-Kelubi; Jalan Tunjang-Kampung Teluk Malik-Kampung Naga; Jalan Jitra-Sungai Korok; Jalan Kepala Batas-Kemuning; Jalan Tanah Merah-Wang Tepus; Jalan Batu 9 Jitra-Alor Rambai-Kepala Batas dan Jalan Alor Mengkudu-Tok Keling.

Di Pokok Sena ialah Jalan Lengkuas-Kampung Derang; Batu 11 Jalan Pokok Sena; dan Jalan Bukit Payung-Kampung Cina.

Di KANGAR, keadaan banjir di Perlis semakin pulih dengan 1,475 orang daripada 398 keluarga telah pulang ke rumah masing-masing dan 13 pusat pemindahan telah ditutup.

Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri berkata, sehingga petang ini, jumlah mereka yang masih berada di 40 pusat pemindahan ialah 12,837 orang.

Setiausaha Keselamatan Negeri Majlis Keselamatan Negara, Jabatan Perdana Menteri, Fasrul Faiz Abd Satar, berkata sebanyak 20 tandas mudah alih disediakan di pusat pemindahan yang mempunyai kapasiti yang tinggi.

Beliau berkata, pihaknya juga menyediakan generator untuk digunakan di kawasan yang terputus bekalan elektrik dan sehingga kini sembilan generator telah diagihkan ke pusat pemindahan di sekitar Kangar. - BERNAMA

Sumber : Berita Harian Online
DENGAN HARAPAN, ESOK AIR YANG MELIMPAH KE PEKAN-PEKAN UTAMA DI NEGERI KEDAH BERANSUR SURUT.. AMIN

Friday, November 05, 2010

Galeri Gambar : Banjir di Jitra, Kedah pada 2 Nov 2010



































( KLIK PADA GAMBAR UNTUK GAMBARAN LEBIH JELAS!! )


Sumber : Email Yahoo Group

GAMBARAN BANJIR SEKITAR PEKAN JITRA, KEDAH...
KEPADA ANAK PERANTAUAN, BALIK LA JENGUK KAMPUNG HALAMAN ANDA...
KEMUNGKINAN, AHLI KELUARGA KORANG INGIN ANDA BERSAMA MEREKA...