Monday, December 21, 2009

Misi Kedah tercapai


KETUA jurulatih Kedah, Mohamed Ramlee teruja dengan kejayaan pasukannya mengatasi Singapura 2-1 di Stadium Darulaman kelmarin pada perlawanan kedua separuh akhir Piala Emas Raja-Raja sekali gus layak ke final menerusi agregat 3-2.

Menurutnya, kehadiran 15,000 peminat setia Kedah di Stadium Darulaman membakar semangat pemainnya untuk mengatasi lawan.

“Saya bersyukur kerana kami berjaya mencapai matlamat beraksi pada perlawanan akhir yang ditentukan gelanggangnya esok (hari ini) oleh Persatuan Bola Sepak Melayu Malaysia (PBMM).

“Saya berdoa agar kami dapat mengulangi kejayaan muncul juara pada musim 2005 apabila bertemu Perlis kelak.

“Anak buah saya tidak akan berehat bagi memastikan Piala Emas Raja-Raja jadi milik kami Sabtu ini sekali gus melegakan ribuan peminat Kedah yang hampa selepas pasukan Liga Super kehilangan tiga kejuaraan yang disandang sejak dua musim lalu,” katanya.

Menurutnya, dia juga yakin setiap ruang tempat duduk Stadium Darulaman dipenuhi jika final diadakan di sana sekali gus pasti memberi kelebihan kepada pasukan bimbingannya.

“Saya tabik dengan kesungguhan serta semangat tinggi pemain dan kelebihan kami sudah pasti kelincahan penyerang muda Mohd Faizal Abu Bakar yang menjaringkan lapan gol sehingga semalam (kelmarin).

“Saya yakin dia mampu mengulanginya pada final untuk kami mengakhiri 2009 dengan kejayaan menjulang Piala Emas Raja-Raja,” kata Mohamed.

Sumber : Harian Metro Online

PULUN KEDAH PULUN....

Aksi Jijik Si Derhaka

PUTRAJAYA: Dia mempunyai tiga anak, semuanya lelaki, tetapi tiada seorang pun sudi menjaganya, malah tergamak menghantar si ibu berusia 60-an ini ke rumah orang tua, dua tahun lalu.

Sejak itu, tiada seorang pun anaknya pernah menjenguknya termasuk ketika dia sedang nazak, baru-baru ini.

Sebaik jenazah si ibu siap dikebumikan, dua daripada tiga anaknya muncul di tanah perkuburan. Itupun, bukan untuk mendoakan kesejahteraannya, tetapi kerana mahu bertanyakan harta ditinggalkan.

Lebih memilukan, dua beradik derhaka itu saling berebut harta peninggalan ibu mereka tanpa menghiraukan orang ramai yang masih berada di kubur kerana menguruskan pengebumian jenazah wanita malang itu.

Malah, mereka juga tidak menunjukkan perasaan menyesal atau bersalah walaupun tidak berkesempatan bertemu arwah ibu buat kali terakhir selepas dua tahun ‘membuangnya’ di Pusat Rawatan dan Jagaan Orang Tua Al-Ikhlas di Pulau Meranti, dekat sini.

Tiga beradik itu menghantar ibu mereka ke pusat berkenaan selepas mengaku tidak sanggup menjaga sendiri ibu yang dianggap satu bebanan, apatah lagi warga emas itu menghidap penyakit kencing manis dan darah tinggi.

Sebagai helah, tiga beradik itu mendakwa tidak mampu menjaga ibu kerana mempunyai tanggungan ramai walaupun pada hakikatnya mereka mempunyai pekerjaan tetap.

Menceritakan peristiwa itu, pengasas pusat berkenaan, Muji Sulaiman berkata sejak warga emas berkenaan terlantar sakit, dia kerap menghubungi ketiga-tiga anak wanita terbabit supaya datang menziarahi ibu mereka berikutan keadaannya agak kritikal.

Namun, semuanya sia-sia apabila mereka memberi alasan terlalu sibuk dan tidak sempat menziarahi ibu walaupun sekejap.

Malah, sehari sebelum wanita itu meninggal, Muji turut menghubungi ketiga-tiga anaknya supaya datang memohon ampun sebelum terlambat selepas mendapati ibu mereka sudah nazak.

Malangnya, akibat keras hati tidak seorang pun anaknya mengunjungi ibu tua berkenaan sehingga dia menghembuskan nafas terakhir Ramadan lalu di sisi Muji dan beberapa rakan yang tinggal di rumah jagaan itu.

“Selepas wanita itu meninggal, saya sekali lagi menghubungi anaknya untuk memberi peluang mereka menatap wajah ibu mereka buat kali terakhir, tapi sia-sia kerana masing-masing tetap memberi alasan sama, iaitu sibuk, sekali gus memaksa kami menguruskan pengebumian tanpa menunggu anaknya.

“Apa yang menyedihkan saya, dua daripada tiga anak lelakinya hanya tiba di tanah perkuburan selepas jenazah ibu mereka selamat dikebumikan dengan satu tujuan, iaitu bertanyakan harta ditinggalkan arwah ibu mereka.

“Abang sulung bertanyakan di mana barang kemas ibunya, manakala si bongsu meminta sijil kematian bagi membolehkannya mengeluarkan wang dari akaun Amanah Saham Bumiputera (ASB) milik arwah ibunya,” katanya kepada Harian Metro, semalam.

Muji berkata, hatinya hancur apabila mendapati dua lelaki terbabit hanya sanggup menziarah kubur ibu mereka semata-mata untuk mendapatkan harta tidak seberapa ditinggalkan arwah ibu tanpa menghiraukan orang ramai yang menguruskan pengebumian wanita terbabit.

Katanya, dia memaklumkan kepada anak sulung wanita terbabit bahawa ibunya tidak pernah memakai barang kemas sepanjang menghuni rumah orang tua berkenaan menyebabkan si anak seolah-olah tidak berpuas hati.

Bagaimanapun, Muji terpaksa menyerahkan surat kematian kepada anak bongsu kerana tidak berhak memegangnya walaupun arwah sudah berpesan supaya menyedekahkan wang ASB miliknya kepada mereka yang memerlukan.

“Tidak sangka ada anak yang tergamak datang pada hari pengebumian ibu untuk berebutkan harta sedangkan sebelum ini mereka tidak pernah datang menjenguk walaupun beberapa kali diminta berbuat demikian.

“Kejadian ini membuka mata saya bahawa segelintir anak hanya sanggup menjaga ibu yang sudah uzur jika mempunyai harta, tapi sanggup membuang orang yang mengandung dan melahirkan mereka sekiranya tidak mempunyai harta untuk menyenangkan kehidupan mereka,” katanya sebak.


Sumber : Harian Metro Online


TERGAMAK MEREKA MEMPERLAKUKAN IBU MEREKA SEBEGITU RUPA....
APA PANDANGAN KORANG SEMUA ????

Tidak tutup aurat, kompaun RM500


ANGGOTA penguat kuasa MPKB-BRI memeriksa peniaga dan pembantu kedai yang tidak menutup aurat di Pasar Borong Wakaf Che Yeh, Kota Bharu malam kelmarin.


KOTA BHARU - Seramai 15 peniaga dan pekerja wanita beragama Islam di Pasar Borong Wakaf Che Yeh di sini dikenakan kompaun RM500 oleh Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) pada operasi tutup aurat di sini malam kelmarin.

Penolong Pengarah Jabatan Pembangunan Islam MPKB-BRI, Wan Sharafi Wan Mustafa berkata, mereka dikenakan tindakan tersebut kerana berpakaian tidak menutup aurat dengan sempurna.

Menurutnya, tindakan tersebut diambil mengikut Undang-undang Kecil Trade Perniagaan MPKB-BRI 1986 (pindaan 2002).

Jelas beliau, penguatkuasaan larangan mendedah aurat itu dikenakan kepada golongan peniaga yang menjalankan aktiviti perniagaan mereka di bandar ini tanpa mengira waktu.

"Operasi itu diadakan selepas mendapati ramai peniaga dan pekerja wanita beragama Islam tidak menutup aurat walaupun pekeliling bertajuk Arahan Mematuhi Etika Berpakaian telah dikeluarkan sebelum ini," katanya.

Mereka yang dikenakan tindakan itu didapati tidak memakai tudung kepala, memakai kemeja-T berlengan pendek dan ketat serta berseluar panjang ketat.

Sumber : Kosmo Online

SETUJU ATAU TIDAK DENGAN KOMPAUN YANG DIKENAKAN OLEH  
Majlis Perbandaran Kota Bharu, Bandar Raya Islam ??