PARIS - Jika dibandingkan dengan juara Eropah lima kali, Liverpool, keadaan ketika ini lebih menggembirakan buat dua kelab England, Manchester United dan Chelsea apabila mengharungi saingan Liga Juara-Juara Eropah.
Pada ketika hajat Liverpool untuk menggapai kejuaraan Liga Perdana England pertama dalam tempoh 20 tahun semakin samar ekoran kekalahan kelima minggu lalu, skuad Reds itu juga menuju ke ambang penyingkiran di pentas Eropah dengan dua kekalahan daripada tiga perlawanan.
Gagal menang di Lyon esok mampu memusnahkan peluang mereka untuk layak selepas tewas kepada kelab Perancis itu pada pertemuan di Anfield, selain kalah kepada kelab Itali, Fiorentina.
Anak-anak buah Rafael Benitez itu kini menduduki tangga ketiga Kumpulan E, sekadar mengumpul tiga mata daripada tiga perlawanan. Lyon meneraju kumpulan dengan sembilan mata, diikuti Fiorentina enam mata.
Sementara itu, keadaan tampak lebih baik dan ceria buat dua seteru domestik mereka, Chelsea dan United.
Chelsea, pendahulu Liga Perdana dengan dua mata meninggalkan United menang semua tiga perlawanan Kumpulan D manakala United pula mendahului Kumpulan B, juga selepas memenangi kesemua perlawanan.
Bagi United, sekalipun turun tanpa pemain veteran, Ryan Giggs dan Rio Ferdinand hari ini, mereka dijangka tidak menghadapi masalah untuk mencatat kemenangan ke atas kelab Rusia, CSKA Moscow di Old Trafford.
Chelsea, yang sudahpun memalukan Atletico Madrid 4-0 di Stamford Bridge yakin mampu mengutip mata diperlukan apabila berkunjung ke Madrid, hari ini untuk membolehkan mereka layak dari Kumpulan D.
Kehadiran semula bintang penyerang, Didier Drogba, yang sudah melengkapkan penggantungan tiga perlawanan kerana pergaduhan di Barcelona pada separuh akhir, musim lalu akan menguatkan lagi pasukan.
"Memiliki Didier kembali dalam saingan Liga Juara-Juara merupakan penyuntik semangat kami, dia adalah pemain hebat yang kini berada pada prestasi terbaik.
"Dia kini bersaing sengit dengan Fernando Torres dalam carta penjaring terbanyak tetapi pada saya, Didier adalah pemain terbaik di dunia,'' kata pemain tengah Chelsea, Frank Lampard.
Juara Eropah sembilan kali, Real Madrid pula perlu memulihkan prestasi jika mahu menjinakkan juara Eropah tujuh kali, AC Milan dalam perlawanan tumpuan Kumpulan C di San Siro, hari ini.
Kedua-dua pasukan sudah mengumpul enam mata daripada tiga perlawanan tetapi Real akan beraksi tanpa pemain termahal dunia, Cristiano Ronaldo yang belum pulih daripada kecederaan buku lali.
Pemain tengah veteran, Guti juga bakal terlepas perlawanan selepas bertelagah dengan jurulatih, Manuel Pellegrini ketika pasukan itu diaibkan 4-0 oleh kelab divisyen tiga, Alcorcon dalam saingan Piala Raja Sepanyol, minggu lalu.
Milan, yang memulakan musim dengan buruk, termasuk dimalukan 1-0 oleh FC Zurich di tempat sendiri dalam aksi pembukaan Liga Juara-Juara, semakin mengukuhkan kedudukan.
Kemenangan mengejut 3-2 ke atas Real di Madrid, menjadi penyuntik semangat buat skuad bimbingan Leonardo itu, ditambah dengan rekod mengharungi tujuh perlawanan tanpa kalah.
Turut berada dalam keadaan kritikal ketika ini adalah juara Eropah empat kali, Bayern Munich, yang kini menduduki tempat ketiga Kumpulan A, yang diterajui Bordeaux dan Juventus.
Bayern, yang sudahpun tewas 1-2 kepada Bordeaux di tempat sendiri bulan lalu tidak boleh menerima satu lagi kekalahan apabila berkunjung ke Perancis, hari ini.
Juventus, yang memiliki kelebihan satu mata ke atas Bayern dijangka mengutip mata daripada pertemuan dengan Maccabi Haifa di Israel.
Pengurus Bayern, Uli Hoeness percaya, masalah pasukannya akan selesai jika dua perancang utama mereka, Franck Ribery dan Arjen Robben pulih dari kecederaan pada masa yang sesuai.
"Bayern tanpa Franck Ribery atau Arjen Robben pasukan yang berbeza. Apabila mereka kembali, kami dapat mencapai tahap terbaik seperti yang diinginkan,'' kata Hoeness. - AFP
No comments:
Post a Comment