BALING 2 Nov. - Tinggal sembilan hari sahaja lagi untuk keluarga Najwa Nazihah Ridzal Sham mengumpul wang sebanyak RM75,000 bagi menampung kos perbelanjaan merawat jantung kanak-kanak berusia dua tahun itu.
Namun Najwa Nazihah yang menghidapi masalah jantung songsang atau kedudukan jantungnya yang tidak normal, hanya berharap simpati orang ramai bagi mengumpulkan wang tersebut kerana keluarganya memang tidak mampu mengumpul dana sebanyak itu.
Keadaan itu juga merunsingkan ibu bapanya kerana kesihatan anak mereka yang semakin lemah dan kini tidak lagi mampu untuk berjalan.
Ibunya, Nor Hapizah Zakaria, 35, berkata, anaknya akan menjalani pembedahan pertama pada 11 November ini dan pihak Hospital Pulau Pinang memaklumkan, dia memerlukan sekurang-kurangnya dua pembedahan.
Suaminya, Ridzal Sham Abdul Rahman, 41, hanya bekerja sebagai pembantu mekanik dan tidak mampu untuk membiayai kos rawatan anaknya itu.
Katanya, Najwa Nazihah kini tidak boleh berjalan sebaliknya hanya mampu mengengsot kerana sering kepenatan akibat masalah jantung tersebut.
''Dia sering menangis dan terpaksa mengengsot kerana kepenatan,'' ujarnya sedih ketika ditemui di Kampung Telok Temelah, Mukim Bongor dekat sini semalam.
Katanya, penderitaan yang dialami anak bongsunya itu dikesan selepas dia sering menangis siang dan malam ketika bayi.
''Ketika mendapatkan rawatan di Hospital Alor Setar, doktor mengesahkan Najwa Nazihah mengalami saluran jantung yang terbalik,'' jelasnya.
Tiga lagi anak pasangan tersebut ialah Fatin Fasehah, 14, Mohd. Ashraf, 9, dan Nor Ain Zulaikha, 3.
Fatin Fasehah merupakan anak istimewa dan mendapat bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Baling di bawah Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Baling.
Nor Hapizah berkata, anak keduanya, Mohd. Ashraf pula mengalami talasemia dan sering keletihan.
''Setiap tiga bulan sekali, dia perlu ke Hospital Baling (HB) untuk memeriksa kesihatannya bagi memastikan keadaan darah dalam badannya stabil.
''Saya reda dengan apa yang berlaku tetapi ibu mana yang tidak mahu anaknya hidup dalam keadaan sihat seperti orang lain,'' katanya.
Nor Hapizah berkata, keluarganya tidak mampu menyediakan wang sebanyak itu tetapi pada masa yang sama terpaksa berikhtiar bagi menyelamatkan nyawa anaknya.
Sementara itu, UMNO Bahagian Baling yang bersimpati dengan nasib keluarga tersebut akan membantu kanak-kanak berkenaan bagi membolehkannya menjalani pembedahan yang telah dijadualkan.
Ketuanya, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim yang melawat Najwa Nazihah di rumahnya semalam berkata, pihaknya akan mencari dana dengan membuat rayuan kepada ahli korporat dan orang ramai untuk membantu kanak-kanak itu.
''Kita amat sedih dengan nasib yang dialami Najwa Nazihah apatah lagi keluarganya tidak mampu menyediakan kos pembedahan seperti yang diminta pihak hospital,'' katanya.
Mereka yang ingin menghulurkan bantuan kepada Najwa Nazihah boleh memasukkannya ke dalam akaun Bank Islam atas nama Nor Hapizah Zakaria di nombor akaun 02-048-02-019270-4.
No comments:
Post a Comment