Thursday, April 15, 2010

Babak 'bogel': Penduduk Mahu Kerajaan Bertindak

JERANTUT 14 April - Penduduk Hulu Tembeling meminta kerajaan negeri bertindak ke atas syarikat filem luar yang dikatakan membuat penggambaran filem mengandungi babak tidak senonoh di Dedari, Taman Negara Kuala Tahan di sini.

Mereka tidak mahu penggambaran filem itu kelak akan memberi imej buruk kepada negara dan menyampaikan mesej yang salah kepada dunia mengenai kehidupan sebenar masyarakat Orang Asli di Taman Negara Kuala Tahan yang kini telah menikmati kemajuan.

Rata-rata penduduk yang ditemui turut kecewa dengan tindakan pihak berwajib meluluskan permit penggambaran filem tersebut tanpa meneliti dahulu skrip filem berkenaan selain gagal membuat pemantauan.

Imam Masjid Kampung Pagi, Mi Hamidi Nipah, 39, berkata, jika perkara itu benar, jelas ia bertentangan dengan norma masyarakat tempatan dan tindakan tegas perlu diambil.

''Jika benar dan sahih, saya minta kerajaan negeri segera menghalang penggambaran filem berkenaan kerana bercanggah dengan nilai Islam," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Semalam, Ketua Pemuda UMNO Jerantut, Datuk Wan Amizan Wan Abdul Razak membantah tindakan sebuah syarikat filem luar kerana membuat penggambaran yang melanggar tata susila budaya tempatan di Taman Negara Kuala Tahan.

Ini kerana ada adegan dalam penggambaran filem di Dedari itu melibatkan pelakonnya hampir berbogel dengan hanya menutup bahagian sulit melibatkan watak Orang Asli.

Seorang suri rumah, Fatimah Noor, 58, pula berkata, penggambaran filem mengandungi babak tidak senonoh itu jelas menyalahi budaya tempatan serta ditegah oleh agama Islam.

''Saya bimbang adegan ini ditonton oleh golongan muda Islam menerusi Internet dan ia dikhuatiri boleh meruntuhkan moral dan akhlak muda-mudi kita," katanya.

Bagi Kamarazira Kamaruzaman, 27, Taman Negara merupakan destinasi pelancongan antarabangsa dan kawasan itu tidak sepatutnya dieksploitasi untuk pembikinan filem tidak bermoral.

"Pelawat singgah di sini untuk mencari ketenangan dan melihat keindahan flora dan fauna, maka tidak sepatutnya kawasan itu didedahkan dengan aktiviti yang tidak sihat," katanya.

Menurut Kamarazira, penggambaran filem terbabit yang dikatakan memaparkan babak pelakon hanya menutup bahagian sulit melibatkan watak Orang Asli amat bercanggah sekali dengan kehidupan masyarakat itu di Taman Negara yang sudah bertamadun dan berpendidikan.

Norazizah Moktar, 27, pula berkata, kerajaan perlu menyekat unsur keruntuhan moral yang cuba difilemkan di negara ini kerana Malaysia memang terkenal dengan masyarakat berbilang kaum yang masih kuat berpegang kepada adat dan agama masing-masing.

Ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Pagi, Shahradin A. Karim, 45, berkata, kerajaan negeri sepatutnya bertindak ke atas pihak luar yang cuba membawa nilai dan budaya buruk kepada masyarakat setempat.

''Kita (JKKK) berasa kesal kerana syarikat berkenaan masuk ke kampung ini tanpa kebenaran dengan membawa peralatan membuat rakit bagi memulakan penggambaran yang difahamkan pada awal bulan Mei ini," katanya.

Seorang pemandu bot penambang, Ahmad Nipah, 55, berkata, syarikat filem berkenaan sebenarnya boleh melakukan penggambaran asalkan bersopan dan memenuhi adab penduduk tempatan.

"Kegiatan perfileman di sini membantu pemandu bot memperoleh pendapatan lumayan apabila membawa krew filem berkenaan termasuk pelakon ke lokasi penggambaran," katanya.

Dia mendakwa, kebanyakan pemandu bot tidak dibenarkan masuk ke kawasan penggambaran dan mereka hanya berulang-alik menurunkan pelakon di jeti.

Sumber : Utusan Malaysia Online
APA PENDAPAT KORANG ???
MAHUKAH MALAYSIA DIJADIKAN TEMPAT BIKIN FILEM AKSI BOGEL ??

No comments: