Tuesday, November 10, 2009

Mayat bayi ditemui dalam surau

KUALA TERENGGANU: Penduduk kampung Budiman, Batu Buruk di sini gempar dengan penemuan mayat seorang bayi lelaki di dalam Surau Budiman petang ini.

Mayat bayi yang masih bertali pusat itu ditemui bilal surau berkenaan, Mohamed Embong, 60, yang datang datang pada jam 4.10 petang untuk melaungkan azan dan menunaikan solat Asar.

Katanya, semasa beliau membuka pintu surau, beliau ternampak satu benda seperti anak patung dibungkus dengan sehelai tuala yang diletakkan di tengah dewan pelbagai guna surau itu.

"Setelah diperiksa saya terkejut mendapati benda yang disangkakan anak patung itu adalah mayat seorang bayi lelaki," katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Mohamed berkata, beliau yakin mayat bayi itu diletakkan di situ selepas waktu Zohor kerana semasa beliau datang untuk mengerjakan solat Zohor dewan itu masih kosong.

Katanya, beliau terus menghubungi Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Mhd Khani Mhd Biku, memaklumkan mengenai penemuan mayat bayi itu.
Mhd Khani, 57, ketika ditemui, berkata beliau berada di pusat Dewan Undangan Batu Buruk tidak jauh dari surau berkenaan semasa dihubungi Mohamed.

"Saya kemudiannya terus menghubungi polis," katanya. - Bernama

Sumber : Berita Harian

BUANG BAYI LAGI ?

No comments: