Tuesday, November 10, 2009

Sazali juara dunia kali kelima


SEPANG - Jaguh bina badan negara, Sazali Samad memenangi gelaran juara dunia kelimanya setelah menjuarai kategori bantamweight pada Kejohanan Bina Badan Persekutuan Bina Badan dan Sukan Tubuh Dunia (WBPF) di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Pada kejohanan yang berakhir kelmarin, Sazali berjaya menundukkan empat pencabar terdekatnya iaitu Alaa Hlail Mohsin (Iraq), Somkhit Sumelhowetchakun (Thailand), Nguyen Van Lam (Vietnam) dan Milef Ahmed Alghamdf (Arab Saudi).

Kejayaan itu sekali gus membolehkan Sazali menambah koleksi gelaran juara dunia yang pernah beliau menangi di Melaka (2000); Moscow, Rusia (2004); Ostrava, Republik Czech (2006) dan Jeju Island, Korea Selatan (2007).

Mengulas mengenai kejohanan di Dubai, Sazali berkata, jaguh bina badan dari Malaysia disaingi hebat oleh atlet dari Vietnam, Indonesia, Thailand, Iran dan Iraq.

''Persaingan dalam kejohanan kali ini memang sengit dengan menyaksikan kebangkitan beberapa kuasa baru dalam sukan ini.

''Kita perlu mengatur strategi terbaik dan berusaha bersungguh-sungguh untuk mengekalkan gelaran juara dunia pada kejohanan akan datang," katanya kepada Utusan Malaysia di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di sini, semalam.

Dalam pada itu, Setiausaha Kehormat Persekutuan Bina Badan Malaysia Kamaruzaman Kadir berkata, wakil-wakil Malaysia ke Dubai telah menunjukkan prestasi yang membanggakan.

''Salah seorang atlet kita, Buda Ancang yang membuat penampilan kali pertama berjaya menduduki tempat keempat kategori flyweight.

''Selain Sazali dan Buda, kita turut menghantar Mohd. Syarul Azman Mahen Abdullah dan Othman Yahya untuk menyertai kejohanan di Dubai," katanya.

Sumber : Utusan Malaysia Online

TAHNIAH SAZALI KERANA BERJAYA MENAIKKAN NAMA MALAYSIA

No comments: