Tuesday, November 10, 2009

Dua Kanak-Kanak 10, 11 Tahun Maut Motosikal Langgar Pokok

IPOH 9 Nov. - Dua kanak-kanak yang masing-masing berusia 10 dan 11 tahun gembira apabila 'mendapat peluang' menunggang serta membonceng motosikal untuk bersiar-siar.

Namun kegembiraan yang dikecapi itu bertukar tragedi apabila mereka menemui ajal selepas terbabit dalam kemalangan di Lumut dekat sini petang semalam.

Kejadian berlaku di Kilometer 8 Jalan Lumut-Teluk Batik.

Mangsa yang menunggang motosikal dikenali sebagai Mohamad Firdaus Roslan baru berusia 11 tahun dan pembonceng pula, Mohamad Azrul Shafik Ariffin setahun lebih muda
Dalam kejadian kira-kira pukul 1 petang itu, motosikal tersebut gagal dikawal lalu terbabas sebelum merempuh sebatang pokok.

Kedua-dua mangsa yang berasal dari Kampung Teluk Batik, Lumut cedera parah di kepala dan meninggal dunia semasa dikejarkan ke Hospital Manjung.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Mohd. Jamil Osman yang dihubungi Utusan Malaysia berkata, kedua-dua kanak-kanak itu menaiki motosikal tersebut yang diletakkan di sebuah kedai di Teluk Batik, untuk bersiar-siar di kampung mereka.

''Semasa sedang bersiar-siar di kampung tersebut, tiba-tiba motosikal yang mereka naiki terbabas lalu merempuh sebatang pokok di tepi jalan.

''Kedua-duanya kemudian tercampak ke dalam parit dan dibawa ke Hospital Manjung oleh orang ramai. Mangsa meninggal dunia ketika dalam perjalanan,'' katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Mayat kedua-dua mangsa kemudian dibedah siasat di Hospital Manjung sebelum dituntut oleh keluarga mereka pada pukul 5 petang semalam.

Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 41, Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Dalam perkembangan sama, Mohd. Jamil memberitahu, pemilik motosikal itu, seorang lelaki berusia 30-an dari Ipoh membuat laporan polis di Lumut semalam mendakwa motosikalnya dibawa tanpa kebenaran oleh kanak-kanak terbabit.

Menurutnya, lelaki berkenaan mendakwa datang ke Teluk Batik untuk memancing di pantai berhampiran dan meletakkan motosikalnya di sebuah kedai berhampiran.

''Lelaki berkenaan membuat laporan polis apabila menyedari motosikalnya telah diambil tanpa kebenaran oleh kanak-kanak tersebut,'' katanya.

Beliau turut menasihati ibu bapa dan orang ramai tidak sesekali membenarkan anak-anak yang tidak mempunyai lesen memandu daripada menunggang motosikal.

Sumber : Utusan Malaysia Online

SALAH SIAPA ? IBU BAPA ATAU SIKAP KANAK-KANAK TERSEBUT ?

No comments: