Monday, November 09, 2009

Warga Emas Dibunuh Suami Kerana Minta Cerai


ALOR SETAR: Seorang wanita warga emas maut dibunuh suaminya sendiri yang dipercayai berang apabila mangsa enggan menerima pujukannya untuk menarik balik hasrat bercerai dengan suspek selepas setahun mendirikan rumahtangga.

Dalam kejadian kira-kira jam 1 tengah hari tadi, Zabedah Ali, 73, ditikam pada bahagian perut sebelah kiri oleh suaminya yang berumur 80-an dengan menggunakan sebilah pisau berukuran tujuh inci di depan pintu masuk rumahnya.

Difahamkan, suspek yang juga suami ke-11 mangsa, dikatakan hilang pertimbangan apabila usaha memujuk mangsa untuk meneruskan perkahwinan mereka menemui jalan buntu selepas mangsa tetap dengan keputusannya untuk berpisah.

Mangsa yang dikatakan sudah hampir dua bulan tidak tinggal sebumbung dengan suspek, melarikan diri ke halaman rumahnya sebelum rebah dan menemui ajal di situ selepas ditikam.

Bapa saudara mangsa, Mustafa Ahmad, 80, ketika ditemui berkata, anak tiri mangsa yang menyaksikan kejadian itu sempat menahan suspek daripada terus menyerang mangsa.

"Mangsa dikunjungi oleh suspek yang tinggal di Kuala Kedah kira-kira jam 12.30 tengahari, dipercayai untuk memujuk mangsa supaya membatalkan hasratnya untuk bercerai. Bagaimanapun, Zabedah enggan menerima pujukan itu dan tetap mahu berpisah.
"Suspek yang berang dengan tindakan mangsa tiba-tiba mengeluarkan sebilah pisau yang terselit pada kain pelikat yang dipakainya sebelum menikam perut kiri mangsa sambil mengajak mangsa mati bersamanya.

"Anak tiri mangsa yang terperanjat dengan tindakan suspek terus menerpa ke arah suspek bagi menghalangnya daripada terus menyerang mangsa. Suspek kemudian cuba melarikan diri, bagaimanapun ditahan anak tiri mangsa," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Star, Asisten Komisioner Abdul Ghafar Rajab, mengesahkan kejadian dan akan menjalankan siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Sumber : Berita Harian Online

APA FAEDAH JIKA MEMBUNUH ???

No comments: