Monday, November 09, 2009

Pelajar Gali Janin Ditanam Pasangan

KUANTAN: Sekumpulan pelajar sekolah yang curiga dengan perbuatan seorang lelaki dan wanita menggali tanah berhampiran kawasan taman permainan di Taman Sepakat di sini, terkejut apabila menemui janin.

Salah seorang pelajar terbabit, Mohd Amin Fikri Azhar, 13, berkata kira-kira jam 7 malam semalam, dia dan beberapa rakannya melihat pasangan berkenaan sibuk menggali lubang dengan cangkul.

Katanya, seorang rakannya, Mohd Alif Taslim Ramli, 15, kemudian bertindak menegur perbuatan pasangan terbabit namun dihalau oleh lelaki berkenaan sementara pasangannya terus menggali tanah.

Mohd Amin Fikri berkata, mereka kemudian berlalu dari tempat berkenaan namun memerhatikan perbuatan pasangan terbabit dari jauh berikutan perasaan ingin tahu.

"Selepas pasangan itu beredar menaiki kereta jenis Proton Wira, kami memberanikan diri untuk menghampiri kawasan itu dan menggali semula lubang dan menemui bungkusan kain hijau yang dibalut dengan plastik," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Paya Besar itu berkata, mereka kemudian menghubungi polis selepas curiga dengan bau busuk serta isi kandungan plastik berkenaan yang terasa lembut.
Katanya, ketika kejadian, bekalan elektrik di kawasan perumahan itu terputus lebih sejam dan menyukarkan penglihatan namun mereka terkejut selepas mengetahui isi kandungan plastik berkenaan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuantan, ACP Mohd Jasmani Yusoff, mengesahkan kejadian berkenaan.

Beliau berkata, janin tersebut telah dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan untuk bedah siasat. - Bernama

Sumber : Berita Harian Online

KENAPA SUKA SANGAT BUANG ANAK ??

No comments: