Monday, November 09, 2009

Laungan hijau Langkawi

Bukan menjadi gerak kempen yang hanya kecoh dicanang mulut, seisi Langkawi begitu komited melakar sejarah sebagai model unggul pelaksanaan polisi hijau di negara ini dan serantau.


ADA beberapa kesimpulan dapat dirumus apabila melihat kira-kira 6,000 orang pelajar yang sanggup berpanas di sepanjang hamparan Pantai Cenang, Langkawi, Sabtu lalu. Antara lain, ia mencerminkan sifat sabar, serius dan beriltizam tinggi dalam melaungkan matlamat mereka.

Nyata ia lebih daripada sekadar gimik. Rantaian abjad daripada formasi dudukan para pelajar dari 30 buah sekolah itu yang membentuk tulisan 'Climate Change, 1Malaysia, Langkawi, Save Our Earth' dapat dilihat jelas dari ruang udara.

Tatkala keriangan acara tersebut dirakamkan oleh jurugambar yang meluncur dengan payung terjun setinggi 300 meter dari aras laut, jelas sudah bahawa isyarat kempen penting itu sudah masuk ke gear seterusnya.

Acara Green Month 2009 Save Our Earth memulakan rentaknya di Langkawi, Kedah pada 31 Oktober lalu sehingga 30 November 2009. Ia dilangsungkan bersempena sambutan 'Bulan Selamatkan Bumi Kita' yang jatuh pada bulan November dan dipadatkan dengan pengisian pelbagai aktiviti bersama komuniti setempat.

"Kesedaran ini sudah bermula lebih awal. Namun, ketika idea kempen hijau ini hendak dimulakan, saya merasakan bahawa laluannya sangat sukar dan sepi. Hampir tiada pihak yang tampil untuk bergerak bersama.
"Sehinggalah selepas tempoh tertentu, ia mendapat sokongan sedikit demi sedikit," ujar Pengarah Urusan Kumpulan, Asian Overland Services (AOS), Anthony Wong dalam ucapan alu-aluannya.

AOS Conventions & Events Sdn. Bhd. yang aktif dalam merintis agenda hijau di bumi Langkawi bergabung tenaga dengan Peratuan Pencinta Alam Malaysia (MNS) serta jabatan dan agensi kerajaan tempatan bagi merealisasikan kempen tersebut.

Kesedaran aset utama
Lanjutan daripada gerak kerja yang telah dilakukan sebelum ini, Green Month 2009 Save Our Earth berlangsung atas landasan objektif bagi memperinci langkah-langkah mengurangkan perbelanjaan, meningkatkan kesedaran dan kuasa pendidikan, serta berkongsi ilmu baru berkaitan pemuliharaan alam.

"Kesedaran yang paling menguntungkan adalah apabila ia disemai di kalangan generasi muda, bermula dengan pelajar prasekolah hinggalah ke peringkat lebih tinggi. Kita mahu bekerjasama dengan Kementerian Pelajaran tentang isu ini.

"Jika generasi semasa sudah faham akan konsep hijau, banyak kaedah yang dapat diterbitkan daripadanya demi kebaikan manusia dan alam sekitar untuk masa akan datang," tambah Anthony.

Selain rantaian formasi pelajar di Pantai Cenang itu, acara hujung minggu lalu turut melibatkan pengelolaan program bengkel berkaitan seni kraf, pengenalan ekoenzim, projek rumah pokok, pertandingan melukis kad dan poster, serta projek akademik berkumpulan.

Kempen tersebut bukan acara untuk mengaut sebarang keuntungan memandangkan setiap hasil sumbangan disalurkan kepada Yayasan Save Our Earth yang diwakili kumpulan organisasi bukan kerajaan dan universiti.
Dana tersebut akan dilaburkan untuk menggerakkan projek-projek penggalakan perlindungan alam sekitar dan penstrukturan semula usaha membangunkan agenda hijau.

Bagi merealisasikannya, matlamat itu memerlukan sokongan semua pihak, baik pihak pemerintah, sektor swasta, badan-badan bukan kerajaan dan juga komuniti setempat.

Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Nor Azmal Mohd Nazir memberitahu, cabaran dalam usaha melestari alam sekitar dan dalam masa yang sama menjaga kepentingan kehidupan manusia adalah usaha yang sangat sukar.

"Kita perlu memikirkan tentang kerja-kerja pemuliharaan juga amat penting. Ia memerlukan penglibatan dan sokongan pelbagai pihak, khususnya masyarakat tanpa mengira usia dan latar ekonomi," terang beliau.

Dengan berlandaskan prinsip hijau yang menjadi teras operasi 4R iaitu Reduce (Mengurangkan), Reuse (Penggunaan Semula), Recycle (Kitar Semula) dan Rethink (Fikir Semula), banyak penjimatan boleh dicapai dan pada masa yang sama menggalakkan manfaat amalan kod hijau.

Tidak ketinggalan
Amalan itu termasuklah mencari mekanisme mengitar semula material buangan untuk dijadikan bahan binaan, mempelbagaikan kegunaan tenaga, penumpuan penuh dalam produksi organik serta meminimumkan impak operasi dalam kehidupan manusia demi menjaga kepentingan alam sejagat.


"Bagi mencapai objektif teknologi hijau, program kesedaran awal seperti acara ini perlu sentiasa dijalankan selain peranan pihak swasta dan badan-badan berkecuali yang berperanan sebagai pemacu.

"Dalam peruntukan bajet 2010 juga, sejumlah wang akan disalurkan bagi tujuan promosi dan penggalakan teknologi hijau," jelas beliau mengenai penyertaan Malaysia dalam banyak pameran bertaraf antarabangsa.

Menurut Nor Azmal, jika bercakap tentang perbandingan teknologi dan polisi hijau yang dijalankan di negara ini, pencapaian Malaysia sebenarnya tidak jauh berbeza dengan kebanyakan negara di rantau asia Tenggara dan di seluruh dunia.

Tambah beliau, Malaysia banyak memantau dan mempelajari modul hijau dari pelbagai negara luar dan sekali gus menjalankan banyak usaha kajian dan pembangunan di dalam negara. Pencapaian yang diraih dalam setiap penemuan itu turut dikongsi dengan banyak negara lain demi manfaat sejagat.

"Kita tidak ketinggalan malah kesungguhan kita diakui oleh pihak luar. Malah, mereka kagum kerana Malaysia berani meletakkan istilah 'teknologi hijau' secara langsung dalam nama kementerian," jelas Nor Azmal.

Hakikatnya, segala usaha pencarian penyelesaian dan impak positif bagi menangani isu perubahan iklim dan cabaran ekonomi terletak di bahu kita semua.

Harapan yang kini terbina lebih tinggi daripada Gunung Mat Chincang adalah untuk berkongsi amalan hijau di pulau legenda ini dan seterusnya dijadikan model unggul kepada seluruh rakyat Malaysia dan dunia.

Di pentas Konvensyen Perubahan Iklim 2010 nanti, banyak perkara bakal diketengahkan.
Nyata, Langkawi kini sedang bersedia dan bersungguh-sungguh memacu mekanisme hijaunya.

Sumber : Kosmo Online

Sudahkah kita memulakan peranan masing-masing?

No comments: