Monday, November 09, 2009

Pemimpin Pas diminta rujuk semula lafaz taklik


KUALA LUMPUR 8 Nov. - Para pemimpin Pas diminta merujuk semula kandungan lafaz taklik pernikahan sebelum terus mempertahankan bai'ah bagi menjamin kesetiaan mereka dalam parti.

Tokoh budayawan, Prof. Dr. Siti Zainun Ismail berkata, antara yang terkandung di dalam lafaz taklik ialah suami tidak boleh sewenang-wenangnya memperlekehkan isteri.

Sehubungan itu jelasnya, maruah perkahwinan tidak boleh dipermainkan dengan meletakkan ia sama taraf dengan parti politik, malah harus diingat bahawa perkahwinan merupakan sunah Nabi Muhammad SAW yang suci.

''Jika mahu mengikut sunah nabi (memperjuangkan Islam) pun biar bertempat. Ini soal talak tiga, kembalilah kepada lafaz taklik dan janganlah mereka (pemimpin Pas) itu terlalu ego semata-mata kerana parti," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas tindakan ahli-ahli Pas yang mempertahankan lafaz bai'ah atau sumpah taat setia iaitu talak tiga akan jatuh ke atas isteri pemimpin Pas yang mengkhianati parti itu seperti melompat ke parti lain.
Siti Zainun berkata, soal bai'ah harus dipandang serius berikutan ia melibatkan masa depan anak-anak mereka.

''Nanti anak-anak menjadi mangsa dan pasti akan timbul kes tidak mahu mengaku anak kerana menjadi terlalu fanatik kepada parti.

''Jangan gunakan politik untuk memajukan peribadi masing-masing. Perlu diingat jodoh adalah urusan tuhan bukan kerja parti," jelas beliau.

Penasihat Persatuan Peguam Muslim Malaysia, Datin Paduka Zaiton Othman turut berpandangan bahawa konsep bai'ah itu tidak adil kerana kaum wanita tidak diberikan peluang untuk mempertahankan diri ketika talak dijatuhkan.

Menurutnya, sedar atau tidak, Pas yang seharusnya memperjuangkan Islam telah melakukan tindakan yang langsung tidak bermoral.

''Bayangkan, wanita diceraikan tanpa diberi peluang mempertahankan diri. Ini kerana mereka telah tersangkut dengan syarat-syarat yang ditetapkan oleh suami mereka sendiri," tegas beliau.

Sementara itu, Profesor di Jabatan Fikh dan Usul Fikh Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof. Datuk Dr. Mahmood Zuhdi Abd. Majid berkata, isteri-isteri pemimpin Pas harus segera mengubah sikap suami masing-masing.

Jelasnya, bai'ah yang diterapkan oleh parti Pas itu bertentangan dengan kaedah pemikiran Islam.
''Terdapat kekeliruan di sini. Memang dalam 'politik Islam' adalah perlu untuk seseorang itu memperdagangkan nilai keluarganya sendiri sekiranya berhadapan dengan perkara yang sangat jelas iaitu 'ijtihadi'.

''Namun, Pas hanya sebuah parti politik dan bukannya 'ijtihadi', maka kita tidak boleh untuk mengorbankan keturunan dan keluarga kerana sebuah parti," ujar beliau.

Sumber : Utusan Malaysia

SAMPAI MACAM TU SEKALI ?? SIAP LAFAZ CERAI TALAK 3 ?? FIKIRKAN.

No comments: