Monday, November 09, 2009

Maafkan dia? Bukan sekarang


PERANG antara pelakon Nora Danish dan pelakon kontroversi Fasha Sandha yang dikatakan menjadi punca utama penceraian pelakon comel itu dengan suaminya Rizal Ashram Ramli bukan lagi rahsia.


Walaupun ketika sesi sidang media drama popular Spa Q yang kini bertukar judul kepada Spa Qistina dua artis jelita itu dilihat masih 'berperang dingin' namun, persoalannya bergandingan bersama dalam sebuah drama adakah perang mereka sudah tamat?

Sebelum ini walaupun diganding bersama dalam drama tersebut hanya Fasha yang menghadirkan diri pada sidang media itu sedangkan bayang Nora tidak kelihatan. Ia seolah-olah menggambarkan status hubungan mereka masih dingin lantaran enggan bersua muka antara satu sama lain.

Namun kenyataan Nora dalam satu temu bual minggu lalu membayangkan mungkin ada bibit damai antara mereka. Nora tanpa dipaksa membuat pengakuan sudi memaafkan Fasha ketika ditemui pada majlis sidang media Anugerah Skrin baru-baru ini.

"Saya memang nak maafkan dia tetapi ambil masa. Akhirnya hati saya lega terbuka hati untuk memberi kemaafan kepada dia tetapi bukan sekarang, saya perlu tunggu sampai masa yang sesuai," ujar Nora dalam nada perlahan.

Bagaimanapun Nora memberitahu kemaafan itu haruslah berlaku tanpa dipaksa dan dia juga tidak mahu apa yang terjadi terhadap mereka berdua dimanipulasikan sesetengah pihak.

"Saya tidak mahu kemaafan ini berlaku di hadapan kamera atau disebab oleh perkara lain. Saya mahu biarlah kemaafan ini berlaku secara semula jadi tanpa dipaksa dan dilakukan dengan ikhlas. Biarlah kemaafan itu terjadi dengan sendirinya. Apa yang sudah terjadi saya anggap ia takdir.

"Saya juga tidak mahu orang mengambil kesempatan atas apa yang telah terjadi terhadap saya kerana saya ingin menjalani hidup dengan tenang tanpa sebarang gangguan," ucap Nora jujur.

Belum bertemu Fasha
Pasti ramai kalangan penonton mahu menyaksikan Nora dan Fasha beraksi dalam satu babak yang sama dalam drama popular itu, tetapi kata Nora pertemuan yang diharapkan itu masih belum terlaksana.

"Setakat hari ini saya masih belum ada sesi penggambaran dengan dia dan kami belum dipertemukan lagi. Sepanjang penggambaran semuanya berjalan dengan lancar cuma tergendala seketika kerana masalah produksi dan akan disambung semula tidak lama lagi," katanya.

Tambah wanita berusia 27 tahun ini lagi, dia menerima tawaran untuk berlakon dalam Spa Qistina bukan kerana publisiti meluas yang bakal diraih sementelah ketika tawaran dibuat dia langsung tidak tahu Fasha turut terlibat.

"Saya terima tawaran berlakon dalam drama Spa Qistina kerana ia ditawarkan oleh Global Station Sdn. Bhd. dan kerana Kak Ton (Datin Zaiton Mohd. Jiwa). Saya memang teringin untuk berlakon dalam drama terbitan Kak Ton.

"Sebelum ini, saya hanya berlakon drama terbitan Aziz M.Osman sahaja, kiranya ini merupakan langkah baru saya. Semasa terima watak itu, saya tidak tahu pun dia berlakon tetapi apabila diberitahu saya tidak kisah kerana saya bekerja secara profesional," ujar Nora.


BARISAN pelakon Spa Qistina (dari kiri) Riezman, Keifli, Faradhiya dan Nanu.


Nora wanita teraniaya?
Drama bersiri 13 episod arahan Zulkifli Arshad itu bakal ditayangkan bukan lagi di stesen percuma TV3 tetapi di Astro dengan menampilkan Nora sebagai Maya yang akan berkahwin dengan watak Dafi.

Seorang wanita yang bahagia pada awal perkahwinan bagaimanpun rasa tergugat apabila suaminya beralih tumpuan kepada wanita lain.

Pelbagai cara dilakukan untuk menambat semula hati suaminya termasuklah mengupah pengawal upahan untuk memantau tindak-tanduk suaminya itu.

Apabila disoal jalan cerita wataknya seolah-olah melakonkan wataknya sendiri, Nora bagaimana enggan komen dan hanya mengatakan sebagai pelakon dia hanya mengikut kehendak skrip yang diberi kepadanya.

Mungkin pengalaman yang dilalui Nora membuatkan dia sering diberi watak wanita baik dan wanita teraniaya. Tidak pernah sekali dalam kerjaya lakonannya, dia diberi watak antagonis. Alasan yang sering diberikan pengarah adalah wajah yang nampak baik.

Menjawab kenyataan itu, Nora tidak menafikan perkara tersebut tetapi sekadar membetulkan kenyataan di atas Nora mengatakan watak baik diterima bukan sahaja selepas penceraian, malah sebelum berkahwin dia memang banyak menerima tawaran untuk watak baik.

"Kalau boleh saya nak watak yang lebih mencabar tetapi rezeki dapat banyak watak baik, sebelum kahwin dan bercerai pun memang selalu dapat wanita baik.

"Saya tidak kisah tetapi kalau boleh memang suka watak lain dari yang lain macam watak jahat tetapi apa boleh buat pengarah kata muka saya muka baik (ketawa)," terangnya.

Selain Spa Qistina, Nora yang bakal terlibat dalam sebuah filem terbitan David Teo dan menjadi pengacara untuk sebuah program carta muzik Bollywood yang berjudul Bolly 10 di Astro menceritakan, meskipun sudah kembali sibuk dia langsung tidak ada masalah untuk menjaga anak tunggalnya Putera Rayqal, 11 bulan.

Ini kerana Rayqal dijaga bergilir-gilir oleh ibunya dan juga bekas ibu mertuanya.

"Saya bertuah kerana dikurniakan bekas keluarga mertua yang cukup memahami dan mengambil berat pasal saya dan Rayqal.

"Walaupun saya dan suami tidak panjang jodoh tetapi dia tetap menjalankan tanggungjawabnya sebagai seorang bapa dengan begitu baik. Saya bahagia dengan apa yang dimiliki hari ini," ucap Nora dalam senyuman.

NORA masih belum bertemu masa yang sesuai untuk memaafkan Fasha.


Drama kontroversi
Menurut Penerbit Eksekutif Global Station, Adila Ramly, dia mengakui sejak Spa Q sehinggalah ditukar nama kepada Spa Qistina drama tersebut sering dilanda kontroversi.

Bukan sahaja kerana jalan cerita tetapi juga disebabkan kisah peribadi setiap pelakon yang menjadi perhatian penonton sekali gus menyumbang kepada jumlah rating.

Bagaimanapun tegas Adila meskipun barisan pelakon drama terbitannya itu tidak pernah lari daripada kontroversi tetapi jika jalan cerita yang dihidangkan kepada penonton tidak menepati selera mereka, pasti drama tersebut tidak akan mendapat perhatian.

"Saya mengakui segala kontroversi yang wujud menyumbang kepada populariti dan rating drama Spa Q dulu. Tetapi harus diingat bukan kontroversi mata-mata yang menyumbang kepada populariti drama ini tetapi juga jalan cerita dan kekuatan lakonan yang ditonjolkan setiap pelakon," ujarnya.

Tambahnya melalui Spa Qistina, pihaknya juga akan menemukan dua pelakon yang sebelum ini satu Malaya sudah tahu perang dingin tidak pernah surut antara mereka dek kontroversi peribadi iaitu Nora Danish dan Fasha Sandha.

"Mungkin orang nampak kami sengaja nak timbulkan lagi kontroversi dengan menyatukan mereka berdua tetapi mereka dipilih kerana kesesuaian watak," ungkapnya.

Spa Qistina telah memulakan penggambaran pada 19 Oktober lalu dan dijangka selesai 20 November ini.

Bakal ditayangkan pada tahun depan, namun, pihak Astro masih belum menetapkan saluran untuk menyiarkan drama bersiri popular itu.

Selain Nora yang pertama kali terlibat dalam Spa Qistina pelakon baru lain yang dibawa masuk ke dalam drama itu adalah Nanu Baharuddin (Qistina), Fasha Sandha (Frieda), Amyza Aznan (Kathy), Riezman Khuzairi (Dr. Zulfadzli), Ainul Aishah (Vina), Watie Sadali (Ninie), Adiputra (Fahmi) Keifli AF3 (Aril) dan Wan Raja (Tarmizi).
Sungguhpun begitu, pihak penerbitan masih mengekalkan muka-muka lama dalam Spa Qistina iaitu Azizah Mahzan selaku Marlia, Faradhiya (Julia), Nik Zaris Nellydya (Melissa), Fazren Rafi (Dafi), Jasmin Hamid (Sofiera) serta Kenchana Dewi (Sheila).

Sumber : Kosmo Online

SPA Q KEMBALI ....

No comments: