UMUM sedia maklum, penyanyi yang pernah popular dengan lagu Untukmu Ibu, Mamat Exist atau nama sebenarnya, Mohd. Ali Kamarudin, sedang bersendirian tanpa isteri dan anak-anak di sisi sejak beberapa bulan yang lalu.
Pergolakan rumah tangga yang berlaku antaranya dan isteri, Marshila Mustapa Kamal, membuatkan kedua mereka tidak lagi tinggal sebumbung dan sedang mencari jalan penyelesaian terbaik untuk dirinya, isteri serta tiga orang anaknya iaitu, Aleeya Mysara, 7, Mohd. Eiki Daniell, 5 dan Dylea Mysara, 3.
Mamat telah membawa diri ke kota Singapura untuk mencari peluang perniagaan serta menyiapkan album barunya di sana.
Sehingga kini, Mamat belum nampak petanda-petanda positif yang akan berlaku kepada keluarga yang dibinanya sejak lapan tahun dahulu.
Bagaimanapun, saat Mamat cuba menenangkan fikiran untuk memikirkan penyelesaian yang terbaik buat keluarga, ada khabar angin mengatakan Mamat sudah menemui pengganti cinta baru di Singapura.
Malah, Mamat dilihat sering bersama kekasihnya ke mana-mana sahaja serta dikatakan pernah berciuman di khalayak ramai.
Sejauh mana kebenaran itu, Kosmo! telah menghubunginya untuk mendapatkan penjelasan yang sebenar.
Mengakui dia mempunyai hubungan rapat dengan seorang wanita yang sangat memahaminya, bagaimanapun Mamat menolak yang mereka sedang mempunyai hubungan yang serius.
"Saya akui, sepanjang berada di Singapura, saya mempunyai seseorang yang faham dan mengambil berat tentang saya. Hakikatnya kami tidak mempunyai ikatan yang serius.
"Cuma dia faham apa yang saya sedang alami. Kami berkawan bukan berniat untuk merosakkan rumah tangga saya. Kami cuma rapat, bukan bercinta.
"Saya juga akui memang saya ada ramai teman wanita, tetapi bukan yang istimewa. Takkan nak berkawan pun tak boleh," tegas Mamat.
Tambahnya, khabar angin tentang ternampak dirinya sedang berciuman dan bermesra di khalayak ramai adalah tidak benar sama sekali.
"Saya tahu batasan saya. Terpulanglah apa orang nak cakap, yang penting, saya masih menjaga rumah tangga saya," katanya.
Masih lagi tidak tinggal sebumbung dengan isteri, Mamat mungkin akan menemui jalan penyelesaian pergolakan rumah tangganya di mana dia sendiri tidak sanggup untuk lakukan.
Pada tarikh 19 November ini, Mamat dan Marshila terpaksa membawa masalah mereka ke Mahkamah Syariah untuk menyelesaikan konflik yang dialami mereka berdua.
Cerai atau tidak, Mamat sendiri tidak tahu keputusannya. Bahkan, dia sendiri tidak pernah mengungkap perkataan berat itu lagi.
"Penceraian bukanlah satu perkara yang boleh dimain-mainkan. Sebab itu saya dan isteri memberi ruang kepada masing-masing untuk berfikir sama ada mahu mengekalkan ikatan suami isteri ataupun tidak.
"Saya pun tak berani nak cerita tentang hal ini lebih-lebih sebab kalau boleh, saya tidak mahu rumah tangga saya runtuh.
"Saya sayangkan anak-anak dan isteri. Mana tahu, ketika perbicaraan nanti, ada perkara positif yang akan berlaku antara kami dan bolehlah kami hidup dalam satu keluarga seperti dahulu.
"Tapi setakat ini, hati saya mengatakan tiada yang positif akan berlaku nanti. Bagaimanapun saya terima dengan reda kerana ini semua ketentuan Ilahi," jelasnya.
Enggan memberitahu punca keretakan rumah tangganya, Mamat menganggap hal rumah tangganya terlalu peribadi untuk diketahui umum.
Apa pun, seboleh-bolehnya penyanyi itu tidak mahu orang ketiga dipersalahkan. Antara mereka, mungkin tiada lagi persefahaman dalam memainkan peranan sebagai suami isteri.
"Sejak saya dalam industri muzik, saya tidak ada pun gosip-gosip berkaitan bermain kayu tiga. Gosip ini satu perkara yang baru untuk saya dan saya pun tidak boleh nak mengelak.
"Isteri saya juga hampir mempercayai khabar angin yang tersebar di Internet. Tetapi selepas berbincang dan menerangkan perkara yang sebenar, dia faham.
"Yang penting sekarang anak-anak. Mereka masih kecil lagi untuk memahami keadaan kami. Bagaimanapun, anak sulung kami, Alia, dapat merasakan sesuatu yang tidak kena dengan ibu dan ayahnya.
"Dia akan menangis setiap kali saya meluangkan masa dan meninggalkan mereka," tuturnya yang akan menerima sebarang keputusan di mahkamah dengan reda.
Rezeki di Singapura
Tidak tahu apa yang bakal terjadi dengan masalah rumah tangganya di mahkamah nanti, Mamat bagaimanapun perlu meneruskan kehidupannya seperti biasa.
Mahu melebarkan pemikiran mengenai perniagaan hartanah, Mamat masih lagi tidak lupa dengan bidang muzik yang disayanginya itu.
Hasil penghijrahan selama tujuh bulan ke Singapura, Mamat sibuk dengan proses rakaman albumnya.
"Alhamdulillah rezeki saya banyak di Singapura. Kini saya di bawah label Life Records Singapura. Tidak lama lagi lagu duet saya bersama penyanyi Singapura, Noryz berjudul Kerna Setiaku akan diedarkan di stesen radio Singapura dan Malaysia.
"Selepas itu lagu solo saya berjudul Bintang Cinta akan menyusul. Untuk album kali ini, saya merakamkan lagu-lagu evergreen tahun 50-an.
Sumber : Kosmo Online
ARTIS CERAI LAGI.....
No comments:
Post a Comment