Sunday, November 08, 2009

MAS dinobat Syarikat Penerbangan Utama Asia oleh WTA


LONDON: Penerbangan Malaysia (MAS) mencatat sejarah apabila dinobatkan sebagai Syarikat Penerbangan Utama Asia (WLA) oleh 180,000 golongan profesional di seluruh dunia dalam undian yang dijalankan World Travel Awards (WTA).

Proses undian yang diadakan tahun ini mencatat penyertaan tertinggi dalam sejarah 16 tahun penganjuran WTA dengan golongan profesional dari lebih 160 negara di dunia membuat pilihan mereka bagi menentukan syarikat penerbangan yang menyediakan khidmat dan hospitaliti terbaik di Asia.

Pengerusi MAS, Tan Sri Dr Munir Majid berkata, pengiktirafan yang diterima MAS itu adalah hasil kerja keras semua kakitangan syarikat berkenaan yang sentiasa komited untuk memberi perkhidmatan terbaik kepada pelanggannya.

Berikutan itu, beliau berkata, fokus dalam meningkatkan perkhidmatan serta penyampaian akan dilakukan secara berterusan bagi memenuhi kehendak pelanggan.

"Kami sentiasa menjalankan kaji selidik dalaman dan luaran serta mengumpul semua maklumat dan maklum balas daripada pelanggan serta kabin krew selepas setiap penerbangan untuk mengetahui apa yang harus dilakukan untuk meningkatkan perkhidmatan bagi memuaskan hati pelanggan.

"Hasilnya, kita berjaya memperbaiki mutu perkhidmatan ke tahap lima bintang dan kejayaan yang diperolehi ini membuktikan industri dan pelanggan mengiktiraf perkhidmatan yang disediakan MAS, sekali gus melengkapkan siri kejayaan yang dicapai selama ini.
"Ini kerana untuk empat tahun berterusan bermula 2005, MAS turut diiktiraf sebagai Penerbangan Lima Bintang oleh Skytrax, sekali gus menjadikannya antara enam syarikat penerbangan dunia yang menerima anugerah tertinggi itu," katanya selepas menerima anugerah berkenaan di Grosvenor House, dekat sini, malam tadi.

MAS sebelum ini turut memenangi anugerah `Kakitangan Kabin Terbaik Dunia' oleh Skytrax selama enam tahun iaitu 2001 hingga 2004, 2007 dan 2009.

Sumber : Berita Harian

TAHNIAH MAS MALAYSIA

1 comment:

Jaja said...

Benar. MAS adalah satu-satunya kepunyaan Malaysia yang boleh dikatakan "tip-top" . Tetapi walau pun begitu terdapat controversy dalaman. Berkaitan pramugari yang hanya bertudung semasa penerbangan membawa penumpang bakal-bakal haji sahaja. Penerbangan yang lain pula "diarahkan tanpa tudung".Kalau hendak juga bertudung dibolehkan selepas pesawat mendarat.Benarkah begitu? Kalau benar, alangkah kecewanya.