Sunday, November 08, 2009

Warga emas terperangkap ditemui lesu, kesejukan


ALOR SETAR: Seorang warga emas berusia 85 tahun ditemui dalam keadaan lesu dan kesejukan petang semalam selepas terperangkap dalam rumahnya di Kampung Tanjung, di sini yang ditenggelami banjir akibat hujan lebat berterusan sejak Khamis lalu.

Aishah Ismail diselamatkan petugas Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Unit Tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Nerang, kira-kira jam 4 petang selepas menerima maklumat daripada suaminya berusia 86 tahun yang terperangkap di pekan.

Jurucakap Unit Tindakan Adun Kuala Nerang berkata, sejurus diselamatkan, warga emas itu terus dihantar ke Hospital Kuala Nerang untuk rawatan lanjut kerana kesejukan berikutan seharian terperangkap di rumahnya.

Sementara itu, seramai 474 penduduk membabitkan 119 keluarga dari 11 perkampungan di daerah Kuala Nerang dipindahkan ke sembilan pusat penempatan sementara, tetapi belum ada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan.

Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Kuala Nerang, Shahrul Rizal, berkata hujan lebat menyebabkan air di Sungai Padang Terap naik melebihi paras bahaya 17.17 meter kepada 19.17 meter setakat jam 3 petang semalam.

Antara perkampungan terbabit ialah Kampung Pokka, Kampung Tanjung, Kampung Padang Gelanggang, Kampung Kuala Janing, Kampung Malau, Kampung Sungai Kechik, Kampung Kubang Lintah dan Kampung Seberang.
Dalam perkembangan berkaitan, Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada), Datuk Seri Mahdzir Khalid, berkata pihaknya sentiasa bersedia menghadapi sebarang kemungkinan akibat banjir yang mungkin menjejaskan kawasan sawah.

"Kita belum menerima laporan membabitkan kawasan MADA di Wilayah 2 (Padang Terap, Kuala Nerang) walaupun paras air Sungai Padang Terap dilaporkan melebihi paras bahaya. Kita akan pastikan sistem pengairan sentiasa dipantau supaya banjir tidak menjejaskan kawasan sawah," katanya.

Sumber : Berita Harian

BANJIR LAGI?

No comments: