Kejadian terbabit dikesan didalangi oleh Geng Colombia yang terlebih dahulu mengekori lelaki warga Hong Kong itu yang dalam perjalanan untuk mengambil penerbangan pulang ke negara asal.
Sumber polis berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 2 petang, 29 Oktober lalu apabila mangsa yang juga seorang ahli perniagaan batu permata dan berlian dari Hong Kong dalam perjalanan menuju ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Mangsa berada di negara ini untuk menjalankan urusan perniagaan, terutama dengan peniaga tempatan yang membuat tempahan.
Bagaimanapun, hanya sebahagian daripada batu permata berkenaan yang dibeli manakala baki dibawa pulang oleh mangsa ke negara asal.
Difahamkan mangsa yang berusia 40-an ketika itu menaiki teksi sambil membawa beg berisi penuh batu permata yang dianggarkan bernilai AS$500,000 (RM1.7 juta).
Sebaik melepasi tol Sepang, teksi yang dinaiki mangsa tiba-tiba dilanggar sebuah kenderaan model Kia Citra dinaiki beberapa lelaki tidak dikenali. Suspek kemudian menyerbu ke arah teksi terbabit sebelum merampas beg berisi batu berlian berkenaan sebelum melarikan diri.
Susulan kejadian itu, mangsa bertindak membuat laporan polis sebelum pulang ke Hong Kong.
Menurut sumber, polis sudah menubuhkan pasukan khas bagi memburu dalang kes rompakan berkumpulan berkenaan.
“Hasil risikan dan siasatan dilakukan, polis Selangor berjaya memberkas enam suspek utama berusia 24 hingga 45 tahun . Siasatan mendapati suspek, termasuk beberapa wanita berkenaan berasal dari Colombia, Amerika Selatan.
“Polis mengesyaki, kumpulan penjenayah terbabit memang mengatur rancangan untuk merompak ahli perniagaan batu permata berkenaan sebelum mengekori teksi itu yang ingin dirompak,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar yang dihubungi mengesahkan kejadian itu dan memberitahu, polis masih mengesan saki baki kumpulan penjenayah Amerika Latin berkenaan.
“Agak sukar untuk memaksa suspek membuka mulut berikutan masalah bahasa ketika berkomunikasi. Namun, polis akan memanggil semula ahli perniagaan Hong Kong yang menjadi mangsa itu datang semula ke Malaysia untuk melakukan pengecaman.
“Kejayaan menumpaskan geng Timur Latin ini adalah hasil tindakan pantas pasukan polis khas menghidu gerak geri penjenayah yang sebelum ini gemar melakukan kes curi, pecah rumah dan samun di sekitar Selangor sebelum ini,” katanya,.
Geng penjenayah berasal dari Colombia, Amerika Selatan pernah menggemparkan negara apabila terbabit dalam kejadian memperdayakan tiga pengawal keselamatan sebelum melarikan wang tunai RM1 juta di KLCC pada 22 April 2004.
Berikutan itu, polis melancarkan operasi dan menahan 15 warga Colombia, termasuk empat wanita yang dikesan menggunakan taktik menaburkan wang ke lantai untuk memperdaya mangsa sebelum melarikan wang.
Malah, sehingga kini berpuluh ahli sindiket pecah rumah membabitkan warga asing dari Amerika Selatan dari Colombia dan Mexico diberkas polis selepas dikesan aktif melakukan jenayah pecah rumah, termasuk di Putrajaya.
Sumber : Harian Metro
JANGAN BAWA DUIT BANYAK SANGAT. KAN DAH KENA !!!
No comments:
Post a Comment