DUBAI 7 Nov. - Datin Seri Rosmah Mansor berjaya mengukir namanya pada Forum Kepimpinan Wanita yang diadakan di sini baru-baru ini, dengan menyampaikan satu ucaptama yang bernas di hadapan 300 wanita berpengaruh dalam pelbagai sektor dari seluruh dunia.
Isteri Perdana Menteri diberi penghormatan sebagai orang pertama untuk berucap pada persidangan yang dihadiri wanita-wanita yang berpengaruh dalam bidang politik, perniagaan dan akademik.
"Marilah kita berganding bahu memperjuangkan kepentingan wanita. Wanita tidak dapat lari daripada saling bergantung dan itulah yang kita perlukan, iaitu agar kita dapat bersatu," katanya pada forum yang berlangsung di Hotel Atlantis di sini.
Rosmah telah berjaya menarik perhatian hadirin terhadap peranan yang harus dimain oleh wanita untuk menghadapi cabaran dalam apa juga bidang yang mereka ceburi.
Lebih penting lagi, beliau menyebut mengenai pengalaman Malaysia dalam menangani isu melibatkan wanita selain menyentuh peranan Wanita Pertama dalam memperjuangkan agenda wanita.
Di Malaysia, katanya, wanita dilantik mengetuai kementerian, bank pusat, suruhanjaya sekuriti, universiti dan bank serta syarikat multinasional.
Menyedari pengaruh Wanita Pertama di seluruh dunia, Rosmah mencadangkan agar diadakan Sidang Kemuncak Wanita Pertama bagi Membentuk Pemimpin Wanita di Malaysia tahun depan.
Dalam senario ketidaktentuan dalam arena politik dan ekonomi antarabangsa pula, beliau berkata: "Kadangkala saya terfikir, bagaimana pula keadaannya jika dunia ini mempunyai lebih ramai wanita sebagai pemimpin."
Ini, kata isteri Perdana Menteri, adalah kerana wanita bersifat lebih halus dan bencikan keganasan.
"Mereka lebih suka mengukuhkan hubungan, lebih pandai menawan hati daripada menawan negara," katanya.
Seorang peserta forum itu dari sebuah negara Asia Barat menyifatkan ucapan Rosmah itu sebagai satu peringatan kepada wanita kerana ia mengandungi banyak petunjuk ke arah kejayaan kaum hawa.
Di sebalik ucapannya yang tegas itu untuk membuka mata wanita, lawatan Rosmah ke Pusat Latihan Al Noor Untuk Kanak-kanak Istimewa pula membuktikan bahawa beliau juga tidak mengenal sempadan dalam soal mencurah kasih sayang kepada kanak-kanak.
Di kelilingi kanak-kanak dan remaja kurang cerdas, Rosmah kelihatan terharu khususnya melihat Safiya Fairooz, 4, seorang penghidap sindrom Down.
Beliau dan rombongan turut menderma RM20,000 kepada pusat itu.
Sempena kunjungannya ke sini, Rosmah turut mengadakan pertemuan dengan Puteri Haya Al Hussein, isteri Sheikh Mohammed Bin Rashid Al Maktoum, pemerintah Dubai dan juga Naib Presiden dan Perdana Menteri Emiriyah Arab Bersatu (UAE).
Antara yang dibincangkan ialah bagaimana Malaysia dan UAE, khususnya Dubai, dapat saling belajar daripada pengalaman masing-masing mengenai penjagaan dan pembangunan kanak-kanak istimewa. - BERNAMA
WANITA JE KE ?
No comments:
Post a Comment