Tuesday, July 28, 2015

Gempak Astro Keluarga Felda di Pendang, Kedah Pada 1 Ogos 2015



KUALA LUMPUR 1 Julai - Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda), Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) dan Yayasan Felda akan bekerjasama dengan Astro Malaysia Holdings Bhd, bagi penganjuran program jelajah 'Gempak Keluarga Felda' di 10 lokasi utama rancangan Felda bermula Ogos ini.

Program yang menyasarkan kumpulan pelanggan dalam kalangan komuniti Felda dan daerah di sekitarnya, akan membuka tirai di Stadium Mini Pendang, Kedah, pada 1 Ogos 2015.

Pengarah Besar Felda, Datuk Hanapi Suhada berkata, program itu dijangka dapat mengetengahkan para usahawan generasi Felda selain memperkenalkan produk-produk mereka di lokasi berdekatan bandar-bandar utama.

"Sehingga kini, terdapat lebih 30,000 usahawan generasi Felda yang terlibat dalam perusahaan, perniagaan, perdagangan, tanaman, akuakultur, kraf dan ternakan," katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Sementara itu, Naib Presiden Bhagian Perniagaan Melayu Astro, Khairul Anwar Salleh dalam satu kenyataan berkata, Astro telah mengatur pelbagai aktiviti menarik sepanjang program yang berkonsepkan Salam Muslim (Santai Rohani) itu.



"Gempak Keluarga Felda menampilkan sedikit kelainan apabila ia menjadikan rancangan berbentuk Islamiah dan kerohanian sebagai asas utama program jelajah ini," katanya.

Menerusi penganjuran program terbabit, Astro akan mewujudkan zon-zon berbeza bagi menampilkan kepelbagaian, variasi serta bersesuaian mengikut setiap peringkat umur kanak-kanak sehingga golongan dewasa.

Program jelajah yang juga antara inisiatif tahunan tanggungjawab sosial korporat Felda, akan meneruskan penjelajahannya di tanah rancangan termasuk Felda Wilayah Terengganu pada 8 Ogos 2015, diikuti Felda Wilayah Trolak (Perak), Felda Wilayah Raja Alias (Negeri Sembilan), Felda Wilayah Segamat (Johor), Felda Wilayah Kuantan (Pahang).- BERNAMA

Sumber : http://www.utusan.com.my/bisnes/ekonomi/felda-astro-bekerjasama-anjur-program-jelajah-gempak-keluarga-felda-1.109420

No comments: