Thursday, November 12, 2009

Polis cabar ikut serta operasi cegah jenayah


( gambar sekadar hiasan )

KUALA LUMPUR: Polis mencabar pihak yang mendakwa mereka sengaja tembak dan bunuh, supaya daftar nama untuk ikut sama operasi polis dan bagi nasihat bagaimana menghadapi saat genting berdepan penjenayah bersenjata.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Bakri Zinin, berkata mereka yang mempertikaikan kewibawaan polis akan ditempatkan di barisan hadapan supaya mereka memahami bahaya dihadapi polis setiap kali bertembung dengan penjenayah bersenjata.

“Polis akan minta nasihat mereka apa yang patut lakukan jika diserang dalam keadaan genting itu.

“Polis tidak menembak orang sesuka hati, sebaliknya hanya bertindak sedemikian jika keadaan membahayakan dan penjenayah boleh mencederakan orang awam jika dibiarkan,” katanya pada sidang media selepas majlis penutup Bengkel Laporan Perdagangan Manusia anjuran Institut Akhbar Malaysia (MPI) di sini, semalam.

Mohd Bakri berkata demikian mengulas dakwaan beberapa badan bukan kerajaan bahawa polis bertindak keterlaluan ketika menembak mati lima perompak di Klang, Ahad lalu.

Dalam perkembangan lain, Mohd Bakri berkata polis menyelamatkan dua gadis Vietnam berusia 20 tahun yang dijadikan hamba seks dan pelacur selepas menahan dua lelaki berusia 40 tahun dalam serbuan di Taman Perusahaan Kepong di sini, malam kelmarin.
“Serbuan dilakukan hasil maklumat badan bukan kerajaan dan mangsa kini ditempatkan di rumah perlindungan.

“Siasatan mendapati mangsa diperdaya sindiket antarabangsa itu untuk bekerja secara sah di Malaysia,” katanya.

Sumber : Berita Harian Online

SIAPA SANGGUP IKUT SERTA DALAM OPERASI CEGAH JENAYAH POLIS ???

No comments: