Tuesday, November 10, 2009

Google diarah bayar ganti rugi AS$500,000 kepada Barrichelo


SAO PAULO: Gergasi internet, Google diarah membayar ganti rugi AS$500,000 (RM1.7 juta) kepada pemandu Formula Satu (F1), Rubens Barrichelo kerana menyediakan profil palsu dalam lamam web sosialnya, Orkut.

Keputusan itu dibuat mahkamah di Sao Paulo dan disiarkan dalam akhbar rasmi kerajaan Brazil, semalam.

Ganti rugi itu hampir meningkat kepada AS$700,000 kerana kes itu difailkan pada Julai 2006 dengan Google dikenakan denda harian AS$590 sehingga laman profil mengenai Barrichelo itu dikeluarkan daripada rangkaian milik Google itu.

Orkut yang dimiliki Google mempunyai pengikut yang ramai di Brazil, walaupun disaingi hebat oleh Facebook yang mengeluarkan versi baru dalam bahasa Portugis. - AF

Sumber : Berita Harian Online

MACAM TU PUN ADA ?

Fergie marah pengadil lagi


LONDON - Pengurus Manchester United, Sir Alex Ferguson menyalahkan pengadil perlawanan, Martin Atkinson sebagai punca pasukannya tewas 0-1 kepada Chelsea dalam saingan Liga Perdana England, kelmarin.

Atkinson menghadiahkan sepakan percuma kontroversi yang diambil Frank Lampard sebelum membolehkan John Terry menanduk masuk gol tunggal perlawanan di Stamford Bridge itu.

Terdahulu sepakan percuma itu diberikan selepas Darren Fletcher didakwa Atkinson telah mengkasari Ashley Cole walaupun rakaman semula menunjukkan sebaliknya.

"Memang jelas Darren merampas bola dengan bersih tanpa langsung menyentuh Ashley walaupun dia nampak melambung ke udara.

"Malah sebelum John (Terry) menanduk masuk gol pun, Didier (Drogba) telah lebih dulu menarik (Wes) Brown yang cuba menghalang tandukan itu," kata Ferguson.

Kekalahan itu menyebabkan United kini ketinggalan lima mata di belakang Chelsea dan tercicir ke tangga ketiga liga berbanding kedua sebelum ini.

Arsenal memintas United di tangga kedua walaupun mempunyai jumlah mata sama tetapi dibezakan dengan jumlah perbezaan gol.

Ferguson turut mendakwa pengadil tidak berada di posisi yang tepat untuk membuat keputusan itu (beri sepakan percuma) kerana penglihatannya dihalang di samping tidak bergerak.

"Gol itu tidak sepatutnya dibenarkan. Satu keputusan yang teruk tetapi kami tidak mampu berbuat apa-apa. Ia juga kini menjadi bualan pemain," tegasnya.

Beliau bagaimanapun menegaskan, pasukannya bermain lebih baik tetapi perlu menyalahkan diri sendiri kerana tidak memanfaatkan peluang yang ada biar pun menguasai permainan.

"Kami menguasai permainan dan bermain lebih baik. Juga memperoleh banyak peluang tetapi tidak menyudahkannya dengan baik," katanya lagi.

Justeru, beliau menyifatkan kekalahan kepada Chelsea ini memberi impak lebih besar berbanding kalah 0-2 kepada Liverpool sebelum ini.

"Chelsea kini lima mata di depan. Kalah kepada Liverpool tidak menjejaskan kedudukan kami tetapi kalah kepada Chelsea kami terlepas untuk menguasai takhta liga," ujarnya. - AFP

Sumber : Utusan Malaysia Online


DAH KALAH, SALAHKAN PENGANDIL PULAK!! LEPAS NI MAIN TAK PAYAH PAKAI PENGADIL.. SENANG!!

Sazali juara dunia kali kelima


SEPANG - Jaguh bina badan negara, Sazali Samad memenangi gelaran juara dunia kelimanya setelah menjuarai kategori bantamweight pada Kejohanan Bina Badan Persekutuan Bina Badan dan Sukan Tubuh Dunia (WBPF) di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Pada kejohanan yang berakhir kelmarin, Sazali berjaya menundukkan empat pencabar terdekatnya iaitu Alaa Hlail Mohsin (Iraq), Somkhit Sumelhowetchakun (Thailand), Nguyen Van Lam (Vietnam) dan Milef Ahmed Alghamdf (Arab Saudi).

Kejayaan itu sekali gus membolehkan Sazali menambah koleksi gelaran juara dunia yang pernah beliau menangi di Melaka (2000); Moscow, Rusia (2004); Ostrava, Republik Czech (2006) dan Jeju Island, Korea Selatan (2007).

Mengulas mengenai kejohanan di Dubai, Sazali berkata, jaguh bina badan dari Malaysia disaingi hebat oleh atlet dari Vietnam, Indonesia, Thailand, Iran dan Iraq.

''Persaingan dalam kejohanan kali ini memang sengit dengan menyaksikan kebangkitan beberapa kuasa baru dalam sukan ini.

''Kita perlu mengatur strategi terbaik dan berusaha bersungguh-sungguh untuk mengekalkan gelaran juara dunia pada kejohanan akan datang," katanya kepada Utusan Malaysia di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di sini, semalam.

Dalam pada itu, Setiausaha Kehormat Persekutuan Bina Badan Malaysia Kamaruzaman Kadir berkata, wakil-wakil Malaysia ke Dubai telah menunjukkan prestasi yang membanggakan.

''Salah seorang atlet kita, Buda Ancang yang membuat penampilan kali pertama berjaya menduduki tempat keempat kategori flyweight.

''Selain Sazali dan Buda, kita turut menghantar Mohd. Syarul Azman Mahen Abdullah dan Othman Yahya untuk menyertai kejohanan di Dubai," katanya.

Sumber : Utusan Malaysia Online

TAHNIAH SAZALI KERANA BERJAYA MENAIKKAN NAMA MALAYSIA

Tip pemanduan berhemah

Menjadi pemandu yang berhemah di jalan raya adalah penting bagi mengelak berlakunya kemalangan. Namun begitu, kebanyakan pemandu yang ada di jalan raya tidak memiliki ciri-ciri tersebut.
KECUAIAN boleh mengakibatkan kemalangan maut.


SERINGKALI kita berdepan dengan pemandu yang tidak sopan dan gopoh di jalan raya. Mereka dengan sewenang-wenangnya membunyikan hon atau memotong barisan tanpa memberikan lampu isyarat. Ini akan membahayakan pemandu lain terutama bagi mereka yang baru memiliki lesen.

Remaja mungkin terdedah dengan bahaya apabila sesetengah daripadanya begitu ego di jalan raya. Pantang dicabar pasti mereka akan melenting.

MEMANDU sambil bercakap dengan telefon atau makan ditegah kerana mengganggu konsentrasi pada pemanduan.


GenK senaraikan beberapa tip pemanduan berhemah buat remaja:

Tali pinggang: Pakai tali pinggang keledar ketika memandu dan tegaskan penggunaannya kepada penumpang lain.
Rancang perjalanan: Dapatkan maklumat secukupnya jika anda tidak tahu destinasi yang ingin dituju. Anda perlu mengenal pasti laluan yang akan diambil untuk mengelakkan diri daripada memandu dalam keadaan teragak-agak. Memasuki lorong secara tiba-tiba akan menyebabkan anda atau pemandu lain berdepan dengan bahaya.

Rehat: Elakkan diri memandu pada tengah malam atau awal pagi kerana ketika itu tubuh memerlukan rehat. Perjalanan jauh selepas bekerja atau makan menyebabkan anda letih dan mengantuk.

Ubat-ubatan: Elak mengambil minuman atau ubat yang memberi kesan mengantuk seperti minuman bersusu, ubat selesema atau demam.

MEMANDU dengan tenang dapat menjamin perjalanan yang selamat.


Perasaan negatif: Tenangkan diri dahulu sebelum memandu. Ini kerana jika memandu dalam keadaan marah atau sedih, ia bakal mendorong anda melanggar peraturan jalan raya seperti memandu laju atau secara berbahaya.

Jarak: Kekalkan jarak selamat antara kereta anda dengan kenderaan di hadapan. Jika memandu ketika hujan lebat, kekalkan jarak yang jauh sedikit antara kereta dengan kenderaan di hadapan atau belakang anda.

Peka: Peka dan berhati-hati jika sesebuah kereta membelok dengan tiba-tiba untuk mengelak daripada masuk ke dalam lubang besar atau lopak air di jalan raya.

Tayar: Periksa keadaan tayar kereta anda. Pastikan tekanan angin mencukupi dan bunga tayar masih ada untuk mendapat pemanduan serta cengkaman yang baik. Ia penting untuk menjamin keselamatan anda ketika memandu di jalan raya terutamanya ketika hujan.

Sumber : Kosmo Online

HARAP DAPAT MANFAAT DARI TIP INI

Misi B-23 sukar di Laos


SKUAD bola sepak bawah 23 tahun (B-23) kebangsaan diundi dalam Kumpulan A bersama juara bertahan, Thailand, Vietnam, Kemboja dan Timor Leste untuk saingan Sukan SEA 2009 di Vientiane, Laos bermula awal bulan depan.

Kumpulan B pula hanya menampilkan empat pasukan iaitu naib juara 2007, Myanmar, Singapura, Indonesia dan tuan rumah, Laos.

Pada Sukan SEA 2007 di Korat, skuad bola sepak negara yang dibimbing B. Sathianathan gagal melangkah ke separuh akhir setelah hanya menduduki tempat ketiga dalam Kumpulan B di bela- kang Vietnam dan Singapura.

Kali ini, skuad negara dibimbing pula oleh K. Rajagobal dan mereka perlu mengelak kekalahan ketika bertemu Thailand dan Vietnam bagi mencerahkan peluang layak ke separuh akhir.

Selain itu, pertemuan dengan Kemboja dan Timor Leste juga tidak boleh diambil mudah kerana jumlah jaringan besar diperlukan memandangkan perbezaan gol mungkin menjadi penentu.

"Kita telah diundi dalam kumpulan yang kuat. Jadi saya akan gunakan pendekatan fokus daripada satu perlawanan ke satu perlawanan dan mempamerkan usaha keras dalam setiap perlawanan.

"Kita akan mengharungi empat perlawanan kumpulan dan mungkin faktor keletihan dan kecederaan bakal mempengaruhi situasi sewaktu pertandingan itu berlangsung nanti," katanya ketika dihubungi Kosmo! di Palembang, Indonesia malam tadi.

Skuad kebangsaan yang dalam persiapan menghadapi Uzbekistan pada 14 dan 18 November ini untuk aksi kelayakan Piala Asia 2011 telah mencatat kemenangan 3-1 ke atas skuad B-23 Indonesia pada aksi persahabatan di Stadium Gelora Sriwijaya Jakabaring, Palembang petang semalam.

Tiga gol skuad kebangsaan dijaringkan Amri Yahyah (28), Bad- drol Bakhtiar (31) dan Safiq Rahim (34) manakala jaringan pasukan tuan rumah diperoleh menerusi sepakan penalti Sultan Sama pada minit ke-40.
"Sama seperti ketika kita menewaskan mereka 1-0 di Cheras (13 Jun lalu), Indonesia bermain agresif. Saya risau pemain akan cedera tetapi mujur ia tak berlaku.

"Saya tidak berpuas hati dengan prestasi pemain saya. Tetapi kemenangan ini mampu meningkatkan moral pemain menjelang aksi bertemu Uzbekistan," jelasnya.

Sumber : Kosmo Online

MENANG PERSAHABATAN BUKAN PENENTU KECEMERLANGAN
BUKTIKAN PADA SUKAN SEA LAOS NANTI

Mangsa Banjir Kembali Meningkat


RANTAU PANJANG 9 Nov. - Jumlah mangsa yang ditempatkan di beberapa pusat pemindahan banjir di negeri ini meningkat kepada 3,947 orang lewat petang ini.

Kesemua mangsa adalah dari jajahan Pasir Mas terutama di Rantau Panjang dan jajahan Tumpat.

Ini berikutan air Sungai Golok yang masih melimpah ke beberapa kawasan rendah di jajahan itu.

Sehingga kini, 18 sekolah terpaksa ditutup akibat banjir dan dijadikan pusat pemindahan selain 13 taman bimbingan kanak-kanak (Tabika) Kemas.

Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Negeri ketika dihubungi Utusan Malaysia mengesahkan jajahan Tumpat dan Pasir Mas masih terjejas teruk.

Menurutnya, di Tumpat, 1,246 orang mangsa dipindahkan ke tiga pusat pemindahan iaitu Sekolah Kebangsaan Pengkalan Kubor (SKPK) 1 dan SKPK 2 serta SK Bunohan.

"Mangsa banjir di Rantau Panjang makin berkurangan iaitu 2,701 orang yang ditempatkan di 13 pusat pemindahan di Pasir Mas," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Tambahnya, walaupun paras air Sungai Golok dan Jenob menurun namun ia masih di paras bahaya iaitu 9.77 meter (bahaya 9 meter) dan 20.43 meter (bahaya 23.50 meter).

Ujar beliau, paras air di sungai lain masih di tahap normal dan berjaga-jaga iaitu Sungai Kelantan di Tangga Krai ialah 19.40 meter (bahaya 25 meter), Tambatan Diraja 1.44 meter (bahaya 5 meter), dan Sungai Lebir 24.84 meter (bahaya 35 meter).

Sementara itu, Pengarah Pelajaran negeri, Ghazali Abdul Rahman berkata, 18 sekolah ditutup sehingga kini dan notis penutupan telah dikeluarkan kepada semua sekolah.

"Semua sekolah ini hanya dibuka semula selepas keadaan kembali pulih manakala jumlah kerugian akan dibincangkan nanti," ujarnya.

Penyelia Kanan Kemas Rantau Panjang, Mukhtar Mustafa berkata, beberapa tabika ditutup kerana ditenggelami air sedalam satu hingga dua meter sejak semalam.

"Seramai 450 kanak-kanak terlibat dengan penutupan itu dan beberapa Tabika ditutup kerana guru berada di kawasan yang ditenggelami air dan terpaksa berpindah," ujarnya.

Sumber : Utusan Malaysia

BANJIR, IBU BAPA DINASIHATKAN SUPAYA MENJAGA ANAK-ANAK DENGAN BAIK.

Budak Melecur Kena Kopi Panas

KUANTAN 9 Nov. - Sepasang suami isteri tidak menyangka keriangan menyambut ulang tahun hari lahir anak lelaki mereka semalam bertukar duka apabila anak perempuan mereka melecur di dada akibat tersimbah kopi panas.

Kejadian di Perumahan Tanah Putih Baru di sini, malam tadi mengakibatkan kanak-kanak terbabit, Nely Iris Fariesya Mossen, 2, melecur di seluruh dada sehingga ke pusat selepas teko plastik berisi air kopi panas tertumpah lalu mengenainya.

Menurut ibu mangsa, Fazeedah Abdul Manaf, 34, kejadian pukul 10.30 malam itu berlaku apabila mangsa secara tiba-tiba menarik teko plastik tersebut yang diletakkannya di atas meja.

''Selepas menyambut ulang tahun hari lahir abangnya, saya menyediakan Nescafe panas untuk suami.

''Nely ketika itu sedang berbaring di tilamnya dan merengek meminta susu,'' katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Mendengarkan rengekan Nely, Fazeedah memberitahu, suaminya, Mossen Mohamad, 36, segera ke dapur membuat susu manakala dia masuk ke bilik untuk menggosok baju sekolah anak sulungnya.

''Tanpa disedari, Nely mengekori suami ke dapur dan secara tiba-tiba menarik teko air Nescafe yang masih panas di atas meja.

''Setelah terdengar jeritan Nely, saya berkejar mendapatkannya dan terkejut mendapati air minuman itu membasahi hampir keseluruhan baju tidur yang dipakainya," katanya.

Dia dan suami segera membawa anak bongsu daripada tiga beradik itu ke Pusat Perubatan Kuantan di sini untuk mendapatkan rawatan.

''Anak saya kini ditahan di wad untuk rawatan lanjut selepas melecur sebahagian badannya,'' ujarnya.

Sumber : Utusan Malaysia Online

KECUAIAN IBU BAPA. BETUL KAN ?

Dua Kanak-Kanak 10, 11 Tahun Maut Motosikal Langgar Pokok

IPOH 9 Nov. - Dua kanak-kanak yang masing-masing berusia 10 dan 11 tahun gembira apabila 'mendapat peluang' menunggang serta membonceng motosikal untuk bersiar-siar.

Namun kegembiraan yang dikecapi itu bertukar tragedi apabila mereka menemui ajal selepas terbabit dalam kemalangan di Lumut dekat sini petang semalam.

Kejadian berlaku di Kilometer 8 Jalan Lumut-Teluk Batik.

Mangsa yang menunggang motosikal dikenali sebagai Mohamad Firdaus Roslan baru berusia 11 tahun dan pembonceng pula, Mohamad Azrul Shafik Ariffin setahun lebih muda
Dalam kejadian kira-kira pukul 1 petang itu, motosikal tersebut gagal dikawal lalu terbabas sebelum merempuh sebatang pokok.

Kedua-dua mangsa yang berasal dari Kampung Teluk Batik, Lumut cedera parah di kepala dan meninggal dunia semasa dikejarkan ke Hospital Manjung.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Mohd. Jamil Osman yang dihubungi Utusan Malaysia berkata, kedua-dua kanak-kanak itu menaiki motosikal tersebut yang diletakkan di sebuah kedai di Teluk Batik, untuk bersiar-siar di kampung mereka.

''Semasa sedang bersiar-siar di kampung tersebut, tiba-tiba motosikal yang mereka naiki terbabas lalu merempuh sebatang pokok di tepi jalan.

''Kedua-duanya kemudian tercampak ke dalam parit dan dibawa ke Hospital Manjung oleh orang ramai. Mangsa meninggal dunia ketika dalam perjalanan,'' katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Mayat kedua-dua mangsa kemudian dibedah siasat di Hospital Manjung sebelum dituntut oleh keluarga mereka pada pukul 5 petang semalam.

Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 41, Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Dalam perkembangan sama, Mohd. Jamil memberitahu, pemilik motosikal itu, seorang lelaki berusia 30-an dari Ipoh membuat laporan polis di Lumut semalam mendakwa motosikalnya dibawa tanpa kebenaran oleh kanak-kanak terbabit.

Menurutnya, lelaki berkenaan mendakwa datang ke Teluk Batik untuk memancing di pantai berhampiran dan meletakkan motosikalnya di sebuah kedai berhampiran.

''Lelaki berkenaan membuat laporan polis apabila menyedari motosikalnya telah diambil tanpa kebenaran oleh kanak-kanak tersebut,'' katanya.

Beliau turut menasihati ibu bapa dan orang ramai tidak sesekali membenarkan anak-anak yang tidak mempunyai lesen memandu daripada menunggang motosikal.

Sumber : Utusan Malaysia Online

SALAH SIAPA ? IBU BAPA ATAU SIKAP KANAK-KANAK TERSEBUT ?