Najib telah memperkenalkan Indeks Petunjuk Utama (KPI) untuk menilai prestasi setiap menteri dan terbaru memperkenalkan Keberhasilan Utama Negara (NKRA) bagi memantapkan program pembangunan negara untuk dicapai dalam tempoh tiga tahun.
Komitmen yang ditunjukkan oleh Perdana Menteri itu, kata timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin membuktikan apa pun situasi dan keadaan Barisan Nasional (BN) tetap parti yang lebih berwibawa dan berkemampuan untuk menyelesaikan, membantu serta membela nasib rakyat negara ini.
''Ini dibuat oleh Perdana Menteri sendiri maka tidak boleh main-main.
''Ia contoh yang disebut oleh kerajaan dan tidak dilakukan sebelum ini malah sesetengah pihak merasa mustahil perkara itu hendak dilaksanakan.
''Tetapi beliau yakin kalau kita berusaha bersungguh-sungguh, ada komitmen, buat kerja secara fokus dengan langkah-langkah berkesan maka semua perkara yang dianggap risiko insyaallah kita boleh capai dalam tempoh terdekat," katanya.
Muhyiddin yang juga Timbalan Presiden UMNO menyatakan demikian ketika berucap pada majlis Sepetang Bersama Timbalan Perdana Menteri di Kompleks Warga Emas di sini hari ini.
Majlis itu turut dihadiri oleh Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Noh Omar, pemimpin-pemimpin UMNO bahagian serta Ketua UMNO Bahagian Shah Alam, Datuk Ahmad Nawawi M. Zin selaku tuan rumah.
Muhyiddin menyeru semua ahli parti dari peringkat tertinggi ke akar umbi supaya bersama-sama terlibat dan berusaha untuk mempercepatkan proses pemulihan yang sudah mula diterima bukan sahaja di kalangan orang Melayu tetapi juga dari kaum-kaum lain.
''Sudah ada penerimaan yang lebih baik dari peringkat bawah, ini perlu diperkembangkan seperti disebut oleh presiden kita," ujarnya.
Beliau berkata, keadaan itu berbeza dengan apa yang berlaku pada parti pembangkang yang sudah agak berkecamuk hingga ada wakil rakyatnya Ahli Dewan Undangan Negeri Pelabuhan Klang, Badrul Hisham Abdullah keluar dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) menjadi calon bebas.
Jelas Muhyiddin, beliau difahamkan lebih ramai akan keluar meninggalkan parti pembangkang seperti Badrul Hisham yang tidak menyertai UMNO tetapi menyokong parti tersebut.
''Ini kerana orang sudah hilang keyakinan terhadap parti pembangkang dan tidak ada kemampuan.
''Pelbagai masalah berbangkit menunjukkan kemungkinan mereka tidak boleh mentadbir sebuah negeri sebaik mana yang dilakukan sewaktu kita mentadbir negeri Selangor dulu," ujarnya.
Tegas beliau, maka itu UMNO dan BN berada di atas landsaran yang jauh lebih baik kalau dibandingkan setahun lalu, situasinya mungkin berubah kerana sudah ada satu harapan dan keyakinan di kalangan rakyat yang perlu disemarakkan untuk masa akan datang.
Utusan Malaysia
Berapai Ramai Menteri Mencapai Sasaran KPI ?
No comments:
Post a Comment