Tuesday, December 01, 2009

Nik Aziz Perlu Letak Jawatan


KUALA LUMPUR 30 Nov. - Penganalisis politik menggesa Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat melepaskan jawatan berikutan tindak-tanduk politik beliau yang semakin menyeleweng daripada ideologi parti sehingga mencetuskan kegelisahan umat Islam.

Menurut mereka, jika Menteri Besar Kelantan itu tidak berundur, dikhuatiri parti itu semakin lemah dan bakal berkubur khasnya di Kelantan.

Kata mereka, Pas 'hilang maruah' apabila Nik Abdul Aziz sanggup membiarkan diri menjadi 'kuda tunggangan' orang bukan Islam khasnya pemimpin DAP demi kelangsungan hayat politiknya.

Prof. Datuk Zainal Kling berkata, Mursyidul Am Pas itu sudah mula memesongkan ahli Pas supaya turut mengikut telunjuk orang bukan Islam demi menjaga hati mereka.

Sambil memberi contoh beberapa isu berkaitan kepentingan orang Islam di Selangor, Perak, Pulau Pinang dan Selangor, Nik Abdul Aziz tidak membela Islam tetapi sebaliknya mencari helah mempertahan pemimpin DAP yang menghina Islam dengan alasan 'mereka tidak faham Islam'.

"Sudah wajar beliau (Nik Abdul Aziz) meletakkan jawatan dalam politik dan sebagai Menteri Besar kerana tindakannya semakin menggusarkan orang Islam.

"Beliau tidak lagi dapat mempertahankan prinsip-prinsip persaudaraan Islam dalam menghadapi serangan dan ejekan orang bukan Islam demi kepentingan politiknya.

"Beliau membiarkan orang bukan Islam meremehkan al-Quran dan menghina pemimpin Islam,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Serentak dengan itu, beliau yang juga Penyandang Kursi Tun Ghafar Baba Universiti Sultan Idris (UPSI) meminta ahli Pas meneliti secara mendalam perkembangan kepimpinan parti tersebut yang sudah tersasar daripada perjuangan asal untuk memartabatkan Islam.

Pendapat itu disokong oleh Profesor Politik dan Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Dr. Mustafa Ishak yang menyatakan tempoh 18 tahun sudah terlalu lama untuk Nik Abdul Aziz berkuasa dan wajar bersara daripada politik.

"Beliau mengorbankan banyak prinsip perjuangan Islam demi keutuhan dirinya dan bukan parti. Sikap ini sungguh mengecewakan ahli Pas.

"Jika beliau tidak melepaskan jawatan, Pas akan semakin lemah kerana terlalu mengikut telunjuk DAP dan PKR,'' katanya.

Beliau berkata, makin lama Nik Abdul Aziz berkuasa, Pas akan semakin tidak dihormati dan boleh berkubur khususnya di Kelantan.

Presiden Pertubuhan Pemikir Profesional Melayu Malaysia (PPPMM) Prof. Datuk Dr. Kamarudin Kachar berkata, tindakan Nik Abdul Aziz mendoakan orang lain ditimpa bala sudah membuktikan bahawa beliau bukan lagi ulama atau pemimpin Islam tulen.

"Beliau patut letak jawatan. Beliau sudah tidak layak menjadi pemimpin yang mendakwa parti Islam.
"Nik Abdul Aziz sudah terkeluar daripada ajaran agama Islam dan juga pemikirannya sudah gila,'' tegasnya.

Beliau berkata, tidak ada seseorang beragama Islam dan berfikiran waras mendoakan orang lain ditimpa bala.
"Terbukti beliau bukan lagi ulama. Tindak-tanduknya memalukan umat Islam Malaysia di seluruh dunia. Nik Abdul Aziz patut bertaubat dan meminta keampunan pada Allah atas perbuatan itu,'' ujarnya.

Pensyarah Jabatan Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Dr. Ahmad Nidzamuddin Sulaiman berkata, isu 'menantu dan penajaan haji' telah mencalarkan imej tok guru itu.

"Beliau sudah lama menjadi pemimpin Pas. Keadaan kesihatannya juga tidak menentu. Lama atau cepat pengganti Nik Abdul Aziz perlu dicari jika Pas mahu terus hidup,'' katanya.

Pensyarah Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Politik Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Dungun, Terengganu, Asri Salleh berkata, Nik Abdul Aziz memperalatkan agama untuk kepentingan politik.

"Sudah patut sangat beliau mengundur diri kerana integriti sudah makin tercalar.

"Cara politik beliau yang memperalatkan agama juga sangat mendukacitakan umat Islam dan tidak sihat,'' katanya.

Sumber : Utusan Malaysia Online

PENDAPAT ANDA PULA, BAGAIMANA ?

No comments: