Monday, November 16, 2009

Nasib pos di Bangladesh


PEJABAT pos yang suatu ketika mempunyai rangkaian perhubungan yang cukup komprehensif semakin lemah operasinya ekoran penggunaan telefon bimbit dan e-mel.


SEPERTI pagi sebelumnya, Chunnu Biswas membuka pejabat pos kecil dua bilik yang hanya berbumbungkan zink tanpa sebarang surat untuk dihantar.

Hari itu merupakan hari keempat posmen yang berumur 45 tahun yang berasal dari Chowgachi, iaitu sebuah kampung yang terletak di barat Bangladesh, tidak mempunyai urusan jual-beli kecuali melihat habuk yang semakin tebal di meja memproses surat.

"Penduduk kampung hanya datang untuk berbual bukannya menghantar surat. Hanya beberapa lelaki warga emas menulis surat, manakala selebihnya menggunakan telefon bimbit untuk berbual dan menghantar Khidmat Pesanan Ringkas (SMS)," katanya.

Sebagai kakitangan kerajaan, kerjaya Biswas mungkin selamat ketika ini, bagaimanapun penggunaan telefon bimbit yang semakin meningkat membuatkan masa depannya dan 40,000 posmen lain tidak menentu.

Pengarah Besar Pejabat Pos di Dhaka, Bangladesh, Mohasherus Rahman mengakui beliau juga bimbang dengan survival organisasi tempatnya bekerja yang wujud sejak era kolonial British itu.

"Jabatan Pos kini berdepan dengan cabaran yang paling hebat sepanjang 150 tahun perkhidmatannya. Dalam tempoh sedekad lalu, kami menghantar 240 juta pucuk surat, bagaimanapun jumlah tersebut berkurangan kepada 200 juta lima tahun lalu dan tahun lalu kami hanya menghantar 150 juta pucuk surat.


MASTER Pos, Shafia Begum mengenang masa depan pejabat pos di perkampungan Kathal kira-kira 100 kilometer ke utara Dhaka.


"Kecuali pada masa-masa tertentu, rakyat Bangladesh seolah-olah terlupa seni menulis surat. Telefon bimbit ada di mana-mana dan sangat murah. Mereka lebih gemar membuat panggilan atau menghantar mesej."

Sekurang-kurangnya terdapat 10,000 pejabat pos di Bangladesh terutama di kawasan pedalaman. Namun, menurut Rahman, kebanyakan pejabat pos tersebut menerima penghantaran surat yang sedikit dan mungkin akan ditutup dalam tempoh beberapa bulan. Semuanya gara-gara telefon bimbit.

Kemerosotan penghantaran surat yang drastik memaksa pihak berkuasa untuk menukar fungsi pejabat pos dan tentera penghantar surat iaitu lelaki berseluar khaki yang membawa surat ke kawasan-kawasan terpencil.
Negara yang serba daif itu dengan populasi berjumlah 144 juta orang hanya mempunyai 1.5 juta buah telefon bimbit pada 2003. Bagaimanapun, pada bulan lalu jumlah itu meningkat kepada 50 juta.

Kiriman wang
Angka tersebut dijangka meningkat dua kali ganda menjelang 2015. Ini berikutan kiriman wang daripada rakyat Bangladesh yang bekerja di luar negara dan pertumbuhan eksport dagangan yang berganda.

Lonjakan penggunaan telefon bimbit turut memberi impak besar terhadap kos panggilan dalam negara dari tujuh taka (RM0.35) seminit pada 2003, sekali gus memudahkan golongan miskin untuk berkomunikasi dengan saudara-mara mereka yang tinggal di kampung atau bandar-bandar lain.

Kesan penggunaan e-mel juga memberi ancaman kepada perkhidmatan pos walaupun komputer masih jarang digunakan di bandar dan di kawasan pedalaman.

Rahman berkata, dengan kerugian yang dialami oleh Jabatan Pos sebanyak AS$22 juta (RM75.2 juta) tahun lalu, perkhidmatan tersebut perlu dirombak bagi membolehkan posmen mempunyai kerja.

Sebelum ini, jabatan tersebut telah menandatangani satu perjanjian dengan 16 buah bank swasta untuk urusan penghantaran ke kawasan-kawasan yang tidak mempunyai cawangan bank tersebut.


DAIF dan semakin sunyi adalah pemandangan biasa pejabat-pejabat pos di kawasan pedalaman di Bangladesh.


Perjanjian tersebut melibatkan syarikat pemindahan gergasi Western Union untuk menghantar kiriman wang ke 500 buah pejabat pos.

"Kita juga akan cuba memperluaskan perkhidmatan penghantaran surat ekspres untuk menyaingi syarikat penghantaran swasta dalam penghantaran surat rasmi dan bungkusan," kata Rahman.

Ketua Ekonomi dan Analisis Institut Pembangunan Pengajian Bangladesh, Zaid Bakht berkata, pejabat pos perlu memaksimumkan penggunaan struktur tradisi.

"Tiada organisasi di Bangladesh yang mempunyai rangkaian hubungan komprehensif seperti pejabat pos. Sepatutnya ia menggunakan sepenuhnya kekuatan yang ada," kata beliau.

Rahman mempunyai satu lagi perancangan untuk menjadikan Ketua Pegawai Pos Biswas dan rakan-rakannya mendapat keuntungan dalam menjalankan tugas melalui satu pertandingan menulis surat peringkat kebangsaan.
"Kita akan melancarkan pertandingan menulis surat kepada kawan, anak perempuan kepada ibunya, anak lelaki kepada bapanya.

"Kita tidak akan kehilangan hobi manusia yang suka menulis surat yang saya fikirkan sebagai satu bentuk seni yang terlalu indah," katanya. - AFP

Sumber : Kosmo Online

POS DI NEGARA BANGLADESH LEBIH TERUK DARI MALAYSIA....
HARAP-HARAP DI MALAYSIA TIADA PEJABAT POS MACAM TU.............

No comments: