Monday, November 16, 2009

Along Guna Laman Web Sosial Ugut Mangsa

KUALA LUMPUR: Along kini menggunakan laman web sosial percuma popular, Facebook, untuk mengugut dan memalukan peminjam yang gagal menjelas hutang.

Ketua Jabatan Aduan dan Khidmat Awam MCA, Datuk Michael Chong, berkata cara itu diguna bagi menakutkan mangsa dengan menyiarkan identiti mangsa seperti gambar, maklumat peribadi dan jumlah hutang yang tidak dijelaskan.

"Sebelum ini, mereka menggunakan cat dan poster tetapi kini mereka meletakkan maklumat mengenai peminjam di dalam laman web sosial mereka sendiri," katanya kepada pemberita di ibu pejabatnya di Wisma MCA, Jalan Ampang di sini, hari ini.

Dalam kes terbaru ini, seorang pekerja kedai aksesori kereta diugut supaya menjelaskan bayaran menerusi laman web berkenaan.

Beliau berkata, Along turut meletakkan gambar dan memberi amaran supaya menjelaskan bayaran.

Mangsa yang berumur 25 tahun dan berasal dari Batu 9, Cheras itu meminjam RM1,000 September lalu tetapi dipaksa menjelaskan bunga tambahan sebanyak RM80,000.

Bimbang akan ugutan yang semakin banyak diterima dan menjadi-jadi, satu laporan polis dibuat peminjam itu Jumaat lalu di Balai Polis Daerah Kajang. - Bernama
Sumber : Berita Harian Online

JANGAN PINJAM SAMA ALONG, PINJAM PADA BANK LEBIH BAIK

No comments: