Monday, November 16, 2009

Bapa dipenjara 140 tahun dan 40 sebatan kerana rogol anak

KUALA LUMPUR: Seorang bapa dihukum penjara 140 tahun dan 40 kali sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah terhadap sembilan pertuduhan merogol dan mencabul dua anak perempuannya berusia 13 tahun dan 15 tahun.

Hakim Fathiyah Idris membuat keputusan itu sambil menyifatkan perbuatan tertuduh berusia 43 tahun itu sangat menjijikkan dan keji.

Berdasarkan pertuduhan pertama, bapa kepada lima orang anak itu dikenakan penjara 25 tahun dan 15 kali sebatan mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan, manakala bagi pertuduhan kedua turut dikenakan hukuman yang sama.

Bagi pertuduhan ketiga iaitu merogol mangsa, tertuduh dikenakan penjara 20 tahun dan 10 kali sebatan, dan bagi pertuduhan keempat dan kelima tertuduh dikenakan masing-masing 10 tahun penjara kerana mencabul mangsa dengan menggunakan jari, mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu antara 7 pagi dan 2 petang pada Januari 2006 hingga Jun 2008.

Tertuduh turut dikenakan penjara 50 tahun selepas mengaku bersalah terhadap empat pertuduhan melakukan kesalahan mencabul anak keduanya mengikut Seksyen 377CA dan Seksyen 354 Kanun Keseksaan.

Bagaimanapun Fathiyah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman itu berjalan serentak iaitu hanya penjara 25 tahun dan 40 kali sebatan bermula dari tarikh dia ditangkap pada 25 Jun 2008.

Fathiyah turut mengarahkan tertuduh diawasi oleh polis selama dua tahun dan menjalani sesi kaunseling sepanjang tempoh penjara.

Tertuduh seorang bekas tentera yang diwakili peguam bela P Gunalan, tidak menunjukkan sebarang reaksi dan hanya tenang sepanjang hukuman dibacakan terhadapnya.

Fathiyah berkata, anak-anak tertuduh masih mentah dan memerlukan bimbingan dan perlindungan daripada seorang bapa tetapi berlaku sebaliknya dan mahkamah juga percaya jika mangsa tidak melaporkan kepada guru kaunseling sekolah, tertuduh masih melakukan perbuatan yang sama.-Bernama


Sumber : Harian Metro Online


BAPA BENGONG MACAM NI!!!

No comments: