Saturday, October 31, 2009

Emas dan wanita


'Besi berharga' jadi buruan sejak berzaman terus digilai hingga kini

TIADA sebarang kenyataan rasmi mengenai emas yang perlu dikaitkan dengan wanita, namun masyarakat sejak dulu memperakui emas adalah barang paling akrab dengan golongan hawa itu kerana tanpa secalit kilauan emas pada wanita, penampilan mereka dirasakan seperti tidak sempurna.

Bahkan, pepatah hanya jauhari mengenal manikam wajar ditujukan kepada wanita kerana lazimnya mereka arif mengenai ‘kelas’ barang kemas terutama jika dinilai dari sudut pertukangan, potongan batu dan nilai batu yang digunakan sama ada serasi atau tidak dengan mereka.

Walau seribu tahun akan datang, emas tetap menjadi pilihan wanita kerana kerlipan emas mampu menaikkan seri wanita, melonjakkan nilai kewanitaan pemakai dan meletakkan wanita dalam keadaan selesa untuk tampil yakin.

Hakikatnya, kerlipan emas dikatakan menjadi tarikan sejak beribu tahun dulu, malah ketika itu barang kemas yang diperbuat daripada emas bukan saja menghiasi wanita, bahkan lelaki. Lebih banyak seseorang itu memakai barang kemas, lebih tinggi darjatnya di kalangan masyarakat.

Begitu pun, kedatangan Islam menetapkan bahawa lelaki tidak dibenarkan memakai emas menyebabkan kegunaannya lebih cenderung untuk wanita dan kekal ke hari ini.

Antara mitos popular membabitkan emas, bandar purba di lembah Amazon, Brazil yang dikatakan diperbuat sepenuhnya daripada emas dan diketuai wanita. Walaupun sehingga kini tiada siapa dapat mengesahkan cerita itu, bandar mistik berkenaan popular hingga ke hari ini dan menjadi buruan penjarah harta karun kerana tiada siapa tahu lokasi sebenarnya.

Selain itu, kaum Inca di Peru yang dikatakan rakyatnya disaluti emas turut menjadikan emas sebagai barang keperluan sehinggakan ada cerita yang mengatakan masih banyak lagi harta karun masyarakat yang sudah pupus daripada bumi itu, tersembunyi.

Zaman silih berganti, apabila konsep perdagangan diperkenalkan, emas menjadi antara mata wang utama masyarakat ketika itu untuk berdagang kerana keunikannya. Hari ini, emas masih lagi kekal diminati masyarakat dan di Malaysia, wanita Kelantan antara golongan yang dikatakan pencinta barang kemas itu.

Kecenderungan itu dilihat apabila kebanyakan wanita di negeri Cik Siti Wan Kembang menyuburkan budaya pemakaian barang kemas diperbuat daripada emas sehingga ada yang berjenaka ‘tangan dan leher wanita Kelantan sentiasa disaluti perhiasan emas’ bagi menggambarkan minat mereka.

Sebenarnya bukan saja wanita di Kelantan, sebaliknya wanita Pulau Pinang juga antara pencinta emas. Bukan seurat dua, bahkan penuh di leher dan tangan dihiasi gelang besar atau rantai emas panjang bersaiz besar.

Bagi mereka yang meminati emas, pembelian barang kemas tidak dianggap suatu pembaziran sebaliknya pelaburan kerana jika keadaan terdesak, barang kemas berkenaan boleh dijual balik terutama ketika harga emas meningkat.

Pelengkap penampilan

Bagi Nor Rilly Azmi Hashim, Zaharah Tan Sri CM Hashim dan Toh Puan Zakiah Che Din, perhiasan daripada emas sememangnya tidak dapat dipisahkan daripada mereka sejak dulu kerana yakin perhiasan berkenaan menjadi sebahagian daripada aksesori yang melengkapkan penampilan mereka khususnya dan wanita lain secara amnya.

Dilahirkan di Pulau Pinang pada 1939, Zaharah kali pertama memakai set perhiasan emas ialah ketika majlis perkahwinan beliau. Set barang kemas berkenaan dihadiahkan bapanya kepada beliau memandangkan beliau menghadapi hari penting dalam kehidupan untuk bergelar isteri.

“Ketika itu saya berusia 17 tahun. Bapa membeli satu set barang kemas seperti rantai leher, cincin, gelang dan subang untuk dipakai pada hari perkahwinan saya.

“Mungkin memikirkan saya sudah dewasa dan bakal memasuki gerbang perkahwinan, bapa memberi hadiah barang kemas kepada saya. Sebenarnya beliau memberikan semua anak perempuannya hadiah barang kemas kerana kami akan memakainya,” katanya ketika ditemui di ruang pameran saudagar barang kemas Habib di Ampang Point, baru-baru ini.

Pendapat Zaharah disokong Nor Rilly yang juga gemar memakai barang kemas dalam bentuk set kerana baginya, alang-alang memakai barang kemas, biarlah tampil sedondon dan tidak caca-marba.

Menggemari perhiasan lama seperti intan, Nor Rilly tidak begitu cerewet mengenai reka bentuk kerana menganggap cita rasa setiap individu adalah berbeza, justeru beliau menghargai sama ada barang kemas berkenaan dihasilkan mengikut potongan klasik atau kontemporari.

“Sebagai peminat barang kemas, saya tidak kisah mengenai potongan tetapi sudah tentu himpunan yang lama lebih digemari kerana ia susah untuk diperoleh selain seni pertukangan barang kemas dulu dan kini jauh berbeza.

“Lagipun saya tidak menunggu musim promosi untuk membeli barang kemas kerana ketika promosi lazimnya ramai wanita menyerbu kedai emas, jadi saya tidak selesa untuk memilih atau melihat barang yang dipamerkan. Lebih baik saya datang ketika orang tidak ramai, mudah untuk saya membuat pilihan terhadap barang kemas yang dicari,” katanya.

Antara nama yang diberikan kepada bentuk potongan dan pertukangan barang kemas klasik ialah buah kana, cincin kapal terbang, matahari, anggur, potong wajik, rantai sauh, subang penyapu, bunga cengkih, tampuk manggis dan pelbagai lagi yang diambil daripada unsur alam.

“Saya dan keluarga sejak dulu memilih saudagar permata Habib sekiranya ingin membeli barang kemas kerana yakin dengan mutu yang ditawarkan kepada pelanggan. Ringkasnya, reka bentuk barang kemas di Habib memenuhi cita rasa pelbagai peringkat usia.

“Begitupun, saya ada juga mengunjungi saudagar emas yang lain untuk melihat reka bentuk dan pertukangan kerana setiap tukang berbeza hasil kerjanya. Saya juga tidak kisah sama ada membeli barang kemas siap atau terpaksa merekabentuk sendiri mengikut kehendak kerana apa yang penting, kita akan membeli sekiranya kita minat dengan sesuatu barangan itu,” katanya.

Bagi Zakiah pula, beliau melihat barang kemas sebagai suatu aksesori yang berupaya membawa elemen positif kepada wanita selain cantik dipandang, barang kemas juga boleh menjadi topik perbincangan utama.

“Saya memilih membeli barang kemas di Habib kerana ada pelbagai pilihan. Berbanding dulu, Habib kini semakin banyak pilihan yang itulah yang membuatkan saya sentiasa memilih Habib sekiranya bercakap mengenai barang kemas.

“Selain itu, Habib juga menjadi lokasi perjumpaan saya dan Zaharah serta Nor Rilly kerana mereka juga adalah pelanggan Habib. Sekurang-kurangnya kami dapat bertemu dan bertanya perihal lain daripada barang kemas kerana antara kami ada ikatan kekeluargaan,” katanya yang juga gemar kepada perhiasan lama.

Sementara itu, Penolong Pengurus Pemasaran dan Komunikasi Habib, Yasheedah Yashaiya, berkata sempena ulang ke tahun 51 Habib, terdapat pelbagai tawaran menarik diadakan untuk pelanggan Habib sejak dari dulu.

“Kami amat menghargai pelanggan Habib yang sentiasa memberi sokongan tanpa berbelah-bagi. Sempena ulang tahun kali ini, Habib membuat kejutan dengan menawarkan banyak kejutan sebagai menghargai pelanggan yang memilih barangan Habib sebagai pelengkap penampilan mereka.

“Pelanggan diberi peluang selama empat hari bermula 22 hingga 25 Oktober ini di kiosk KLCC untuk membuat ‘pre-shopping’ sebelum promosi 51 Tahun berlangsung pada 30 Oktober hingga 1 November. Pelanggan juga boleh mendapatkan khidmat penilaian barang kemas berlian, permata dan juga membuat tempahan untuk berlian bersijil GIA, HOF serta HRD yang ditawarkan.

“Untuk hari pertama, 51 pelanggan pertama yang datang ke ruang pameran Habib di Ampang Point berpeluang membeli 51 loket pada harga RM51. Jadi anda tidak wajar melepaskan peluang seperti ini yang julung kali diadakan,” katanya.

Untuk hari kedua promosi, pelanggan yang berbelanja sebanyak RM500 di ruang pameran barang kemas berpeluang memiliki baucar tunai berharga RM51. Tawaran ini hanya tersedia untuk 51 pelanggan saja, manakala pada hari ketiga, 51 jenis barang kemas akan dilelong pada harga rizab.

“Ada lagi tawaran menarik untuk pelanggan yang berbelanja RM5,000 ke atas, mereka berpeluang memiliki beg duit ekslusif bersaiz sederhana dan untuk yang berbelanja sebanyak RM3,000 ke atas pula, mereka akan mendapat beg yang sama, tetapi saiznya kecil sedikit.

“Untuk ketiga-tiga hari itu juga, harga emas ditolak sebanyak RM5.10 untuk setiap gram dan ada sesetengah barangan yang harganya dikurangkan sebanyak 51 peratus. Kami juga menerima barang lama yang ingin dijual pelanggan,” katanya.

Yasheedah berkata, antara faktor kenapa pelanggan menjadikan Habib sebagai tempat untuk mereka membeli barang kemas ialah kerana mutu yang dipamerkan pada setiap barang kemas selain Habib menawarkan barangan bertaraf antarabangsa, tetapi mampu milik.

“Habib mempunyai kumpulan pereka sendiri yang sudah berpengalaman merekabentuk barang kemas sama ada berciri tempatan, kontemporari ataupun potongan moden, tapi dijual pada harga tempatan walaupun mutunya setanding barang kemas jenama tersohor lain,” katanya.

Habib yang ditubuhkan di Pulau Pinang sejak 1958 kini mempunyai 17 cawangan seluruh negara antaranya di Ampang Point, Suria KLCC, Semua House, Pasar Seni, The Curve dan Bangsar Village.

INFO:

Keunikan emas:



  • Air rendaman emas dikatakan mampu menaikkan seri wajah sekiranya anda mengamalkan membasuh muka dengan air berkenaan.


  • Emas juga sering digunakan dalam persolekan dan rawatan wajah. Ada salun spa memperkenalkan rawatan wajah berteraskan emas kepada pelanggan yang ingin menaikkan seri wajah.


  • Pada zaman Firaun, segala harta benda termasuklah emas akan dikebumikan bersama tuan punya hak milik kerana emas dianggap sebagai barang berharga yang wajar dibawa bersama oleh pemiliknya.


  • Lantaran kuasa emas, ada individu yang taksub dengan kecantikan wajah memasukkan susuk diperbuat daripada emas pada wajah mereka walaupun hal ini diharamkan dalam Islam.


  • Terdapat pelbagai panggilan untuk emas antaranya emas paun, emas kuning, emas merah dan emas putih yang setiap jenis mempunyai nilai berbeza.


  • Emas 916 sesuai digandingkan dengan batu permata seperti kecubung, delima, zamrud dan nilam, tapi tidak boleh digandingkan dengan berlian kerana ia menenggelamkan seri dan kilau berlian yang bersifat karbon itu.

  • No comments: