Saturday, October 31, 2009

Bapa bunuh anak yang dirogol tentera AS


KUALA LUMPUR 30 Okt. – Seorang bapa terpaksa membunuh dua anak gadisnya kerana tidak sanggup menanggung malu setelah kedua- duanya dirogol oleh tentera Amerika Syarikat (AS) ketika dalam tahanan di penjara Abu Gharib di Baghdad, Iraq. 

Seorang bekas tahanan penjara yang sama, Jameelah Abbas Hameed, 54, mendedahkan seorang rakannya pula membunuh diri selepas membuat pengakuan dirogol oleh tentera AS dalam media Iraq. 

‘‘Kedua-dua beradik berkenaan dirogol sebelum mereka dibenarkan keluar daripada penjara Abu Gharib.
‘‘Memandangkan kami di Iraq merupakan masyarakat yang konservatif, bapa mereka mengambil tindakan membunuh mereka kerana tidak sanggup menanggung malu apabila mengetahui kejadian tersebut,’’ katanya.
Beliau menceritakan penderitaan yang ditanggung wanita Iraq ketika memberi keterangan di hadapan Suruhanjaya Jenayah Perang Kuala Lumpur yang dipengerusikan oleh peguam Zainur Zakaria pada hari ketiga Persidangan Antarabangsa Menjenayahkan Perang di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Menurutnya, dia dibebaskan selepas ditahan kira-kira sebulan dalam penjara tersebut.
‘‘Ketika dibebaskan, tentera AS mengatakan saya hanya dianggap sebagai mangsa perang dan meminta maaf. 

‘‘Saya bertanya kepada mereka kembali apa ertinya ucapan maaf tersebut lagi sedangkan seluruh keluarga saya dan ramai lagi warga Iraq sudah hancur akibat tindakan mereka,’’ katanya.
Tambahnya, apabila dibebaskan dia menyangka dunia seolah-olah sudah kiamat apabila melihat kemusnahan yang disebabkan oleh tentera AS.
‘‘Namun, mereka yang berada di sekeliling saya menyuruh saya bersabar,’’ jelasnya.
Jameelah yang kini menetap di Syria memberitahu, dia ditahan apabila tentera AS menyerbu rumahnya di Kirkuk awal pagi 13 Januari 2004. 

‘‘Saya dan mereka yang lain kemudiannya dibawa menaiki kereta kebal dan helikopter ke Baghdad di mana saya disoal siasat dan diseksa serta dipaksa mengaku membiayai parti Baath.

‘‘Selain itu, tentera AS turut mengugut merogol anak gadis saya jika saya enggan mengaku dakwaan yang mereka lemparkan,’’ katanya.

No comments: