Saturday, October 31, 2009

Semangat juang Dr. M dikagumi diplomat PBB


KUALA LUMPUR 30 Okt. - Dua diplomat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) kagum dengan semangat juang dan 'kedegilan' bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk menjenamakan perang sebagai satu jenayah. 

Bekas Penolong Setiausaha Agung PBB, Dennis J. Halliday berkata, beliau mengenali Dr. Mahathir sejak 1970-an lagi semasa bertugas dengan Program Pembangunan PBB (UNDP) di sini.
"Ketika itu Dr. Mahathir merupakan Menteri Pelajaran. Kini beliau begitu komited dalam memastikan peperangan dianggap sebagai satu jenayah.

"Ini satu perjuangan yang sukar untuk dijual namun saya percaya Dr. Mahathir mampu memainkan peranan kerana beliau merupakan seorang yang unik," katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di lobi hotel penginapannya di sini.
Beliau merupakan salah seorang ahli panel dalam Persidangan Antarabangsa Menjenayahkan Perang yang bermula kelmarin di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).
Tambah Halliday, beliau turut kagum dengan blog Dr. Mahathir yang sudah dikunjungi 23 juta orang dalam masa yang singkat.

Halliday tidak menafikan perjuangan Dr. Mahathir dalam menjadikan peperangan satu jenayah bukan tugas mudah.
"Ini kerana negara anggota Majlis Keselamatan PBB gemar menggunakan perang. Dr. Mahathir juga sedar beliau akan mengambil masa yang panjang. 

"Apa yang penting ialah semangat perjuangan berterusan yang dimiliki beliau. Itu yang kita perlukan. Semangat Dr. Mahathir tidak akan hilang," katanya.
Sementara itu, seorang lagi bekas Penolong Setiausaha PBB yang turut menjadi ahli panel persidangan, H.C. Graf Sponeck turut berkongsi pandangan dengan Halliday. 

Katanya, beliau sering mengikuti aktiviti Dr. Mahathir dari jauh dan baginya 'kedegilan' beliau adalah sesuatu yang mengagumkan.
"Jika kita tidak ada semangat untuk mengulangi perkara yang sama berkali-kali kita tidak akan berupaya melihat sebarang kesan dari apa yang kita perjuangkan.

"Dr. Mahathir sudah memberikan seluruh hidupnya kepada hak asasi manusia dan keselamatan manusia," tambahnya.
Kata Sponeck, Dr. Mahathir tidak keseorangan dalam perjuangan 'menjenayahkan perang' kerana terdapat banyak suara yang menentang peperangan di seluruh dunia.

No comments: