Saturday, October 31, 2009

Tarikh pemeriksaan wajib kereta tua belum putus


KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) semalam menjelaskan tarikh pelaksanaan pemeriksaan mandatori bagi kenderaan penumpang persendirian berusia lebih 15 tahun bukan 1 Januari 2010 seperti dilaporkan.

Ketua Setiausahanya, Tan Sri Abdul Rahman Mamat, dalam satu kenyataan semalam berkata, tarikh pelaksanaan itu hanya akan diumumkan selepas Kementerian Pengangkutan menyiapkan pelan jangka panjang Dasar Tempoh Jangka Hayat Kenderaan (ELV).
Abdul Rahman berkata, penyediaan pelan jangka panjang itu akan mengambil kira pandangan semua pihak melalui perbincangan bersama persatuan pengguna dan badan bukan kerajaan (NGO).

Miti merujuk kepada beberapa isu yang dibangkitkan orang ramai mengenai pemeriksaan mandatori tahunan sebagai syarat bagi pembaharuan cukai jalan untuk semua kenderaan berusia 15 tahun atau lebih dan pemansuhan secara berperingkat pengimportan alat ganti dan komponen terpakai di bawah Kajian Automotif Nasional yang diumumkan pada 28 Oktober 2009.

Abdul Rahman berkata, tujuan utama kerajaan memperkenalkan pemeriksaan mandatori tahunan itu adalah untuk memastikan setiap kenderaan adalah selamat dan sesuai digunakan serta tidak bermaksud kerajaan mahu melupuskan kenderaan berusia lebih 15 tahun.
Katanya, kenderaan itu masih dibenarkan berada di jalan raya sekiranya lulus pemeriksaan keselamatan, malah sekarang pun, pemeriksaan seumpama sedang dilaksanakan bagi pertukaran hak milik kenderaan persendirian dan pembaharuan cukai jalan bagi kenderaan perdagangan.

Pada masa ini, ada 2.7 juta kenderaan penumpang melebihi usia 10 tahun, merangkumi 14.5 peratus daripada keseluruhan kenderaan berdaftar di negara ini.

"Berbanding Australia, Amerika Syarikat, Korea Selatan, Indonesia, Thailand dan India, Malaysia mempunyai kadar pelupusan kenderaan lama yang rendah dan purata usia kenderaan yang tinggi," katanya.

Miti juga berkata, pemansuhan berperingkat pengimportan alat ganti dan komponen terpakai akan berkuat kuasa pada Jun 2011.
"Langkah ini hanya membabitkan alat ganti dan komponen terpakai yang diimport saja dan ini selaras dengan usaha jangka panjang kerajaan untuk tidak membenarkan lagi pengimportan produk automotif terpakai yang standardnya rendah dan tidak selamat," katanya. � Bernama

No comments: