Wednesday, April 21, 2010

Harga getah tertinggi sejak 40 tahun

HULU SELANGOR 20 April - Harga getah SMR20 meningkat bulan ini dalam lingkungan harga FOB antara RM10.50 ke RM10.60 sekilogram, harga tertinggi sejak 40 tahun lalu.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, ini bermakna harga ladang getah skrap yang diperoleh oleh pekebun kecil adalah antara RM4.50 dan RM5.50 sekilogram.

''Dengan peningkatan harga itu, pekebun kecil boleh menikmati pendapatan lebih daripada RM1,500 sebulan jika memiliki tanah getah seluas dua hektar," katanya yang juga Naib Presiden UMNO.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas majlis penyerahan bantuan rumah dan prasarana asas tanam semula berkelompok negeri Selangor di Kampung Jawa, Kerling di sini hari ini.

Hadir sama Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) RISDA, Datuk Ali Nordin Wahiduddin.

Shafie berkata, kenaikan harga ke RM10.56 bulan ini merupakan petanda baik dalam usaha kerajaan meningkatkan pendapatan pekebun kecil getah di negara ini.

Sementara itu, katanya, Pejabat RISDA Daerah Stesen Hulu Selangor akan dinaik taraf menjadi Pejabat RISDA Daerah Hulu Selangor.

"Ia bertujuan memperbaiki sistem penyampaian perkhidmatan supaya pekebun kecil Hulu Selangor menikmati perkhidmatan yang disediakan oleh kerajaan melalui RISDA dengan lebih berkesan.

''Insya-Allah selepas ini, rakyat Hulu Selangor akan menerima perkhidmatan RISDA secara lebih menyeluruh dan meliputi semua kawasan luar bandar," katanya.

Sumber : Utusan Malaysia Online
HARGA GETAH NAIK LAGI.....
JAGA POKOK GETAH KORANG...
MAKIN RAMAI AKAN MENCURI GETAH KALAU TIDAK DIJAGA DENGAN BAIK...

No comments: