Wednesday, April 21, 2010

Datuk Bung Mokhtar, Zizie Ezette Abd Samad Didakwa Poligami Tanpa Izin

KUALA LUMPUR: Episod perkahwinan yang menjadi bualan antara Ahli Parlimen Kinabatangan, Sabah, Datuk Bung Mokhtar dan isterinya aktres popular, Zizie Ezette Abd Samad kembali 'hangat 'selepas mereka dihadapkan ke Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur di sini, semalam atas tuduhan berpoligami dan bernikah tanpa kebenaran pendaftar, hujung Disember lalu.

Zizie, 32, dan Bung Mokhtar, 51, masing-masing didakwa bagi kedua-dua pertuduhan itu serta dua lagi pertuduhan bersubahat mengaku salah selepas jurubahasa mahkamah membacakan pertuduhan di hadapan Hakim Syarie Wan Mahyuddin Wan Muhammad.


Bung Mokhtar selaku tertuduh didakwa mengikut Seksyen 124 enakmen sama kerana berpoligami tanpa kebenaran manakala Zizie didakwa mengikut Seksyen 40(2) Enakmen Keluarga Islam Negeri Selangor 2003 kerana bernikah tanpa kebenaran pendaftar. Pasangan itu kemudian didakwa mengikut Seksyen 134 Enakmen Keluarga Islam Negeri Selangor 2003 kerana bersubahat dengan pasangan masing-masing.


Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di rumah No 12, Jalan TC 2B/3, Cemerlang Height, Taman Melati, Gombak kira-kira jam 8.50 malam pada 16 Disember 2009. Zizie dan Bung Mokhtar dibebaskan dengan bon jaminan lisan masing-masing RM500. Turut didakwa empat saksi pernikahan termasuk dua daripadanya adik beradik Zizie iaitu Samzy Fuzette serta adiknya yang dikenali melalui filem Adnan Sempit, Shaheizy Sam. Dua rakan Bung Mokhtar turut didakwa iaitu Titing Putang dari Sabah dan Sahari Ahmad.


Abang Zizie, Ahmad Shahazmi Abd Samad yang mewalikan pernikahan itu turut dituduh bersubahat mengikut Seksyen 40 (1) Enakmen Keluarga Islam Negeri Selangor 2003.


Mahkamah kemudian menetapkan 18 Mei ini untuk kesemua tertuduh mengemukakan rayuan bertulis serta hujahan kedua-dua belah pihak.

Sumber : Harian Metro Online

 
KAHWINLAH IKUT CARA YANG SAH....

No comments: