Thursday, December 17, 2009

'Vietnam mampu ditundukkan'

FINAL
BOLA SEPAK SUKAN SEA LAOS



VIENTIANE - Lawan Malaysia pada final acara bola sepak Sukan SEA XXV hari ini, Vietnam mampu ditundukkan, kata penolong pengurus skuad bola sepak negara, Datuk Subahan Kamal.

Beliau berkata, skuad negara tunduk 1-3 kepada Vietnam pada perlawanan peringkat kumpulan disebabkan taktik kotor mereka.

Selain itu, katanya, keputusan pengadil yang tidak memihak kepada skuad kebangsaan aksi peringkat kumpulan menjejaskan tumpuan pemain.

"Kekalahan kita kepada Vietnam tempoh hari ada rahmatnya.

"Kita kalah bukan kerana kita tidak beraksi dengan baik tetapi mental para pemain telah diganggu oleh mutu pengadilan yang lemah.

"Namun, kita telah belajar daripada perlawanan tersebut dan bersedia untuk menebus kehampaan apabila sekali lagi bertemu di final, hari ini," katanya.

Malaysia akan menentang Vietnam pada perlawanan akhir acara bola sepak Sukan SEA XXV di Stadium Utama Kompleks Sukan Nasional Laos pada pukul 6 waktu Malaysia.

Tambah Subahan, final hari ini akan menentukan siapa lebih bagus setelah perlawanan peringkat kumpulan menentang Vietnam tidak diadili dengan baik.

"Para pemain sudah bersiap sedia jika mutu pengadil tidak memihak kepada kita seperti mana yang berlaku pada aksi peringkat kumpulan.

"Terus terang saya kata, saya lebih rasa tertekan dan debaran ketika kita menentang Thailand pada peringkat kumpulan, bukan final esok (hari ini).

"Esok kita akan membuktikan bahawa Malaysia adalah yang terbaik di Asia Tenggara, bukannya Vietnam," katanya.
Menurut Subahan, Vietnam lebih tertekan pada final hari ini kerana mereka diletakkan sebagai pasukan pilihan.
"Saya percaya Vietnam lebih cemas selepas melihat kesungguhan para pemain kita yang tidak berputus asa ketika mengalahkan Thailand yang membawa kita ke separuh akhir.

"Sedangkan mereka hanya mampu seri dengan Thailand pada perlawanan peringkat kumpulan.

"Kesungguhan seperti mana kita menang ke atas Thailand akan dijelmakan sekali lagi esok," katanya. - UTUSAN

Sumber : Utusan Malaysia Online

MAMPUKAH PASUKAN MALAYSIA MEMENANGI EMAS ??

No comments: